Berapa banyakkah kalori yang perlu diambil sehari dalam proses kurangkan berat badan? Satu soalan yang sering berlegar-legar di minda. Pengurangan berat yang berlebihan sememangnya menjadi matlamat oleh berjuta-juta manusia di luar sana. Ia juga pasti menjadi salah satu resolusi anda juga.
Secara purata, wanita yang sederhana aktif berusia antara 26 hingga 50 tahun seharusnya mengambil 2,000 kalori sehari jika ingin kurangkan berat badan dan mendapatkan berat badan sihat, itu menurut panduan pemakanan USDA. Tetapi apabila ia melibatkan pengurangan berat badan, pengambilan kalori tidak sama bagi semua individu. Ini kerana berapa banyak kalori yang diambil bergantung kepada beberapa faktor seperti umur, tinggi, jantina dan tahap aktiviti yang dilakukan.
Jika anda bertanyakan hal ini kepada Google, pasti anda akan diberikan laman sesawang berkaitan pengurangan berat badan atau aplikasi yang mengguna pelbagai formula untuk kurangkan berat badan. Sebaik sahaja anda mengisi maklumat yang diperlukan, laman sesawang dan aplikasi ini akan menyarankan jumlah kalori yang anda perlukan seharian dalam mendapatkan berat badan yang diidamkan. Nampak mudah bukan?
Apabila anda mendaftar dengan aplikasi seperti MyFitnessPal misalnya, anda akan ditanyakan soalan-soalan yang akan digunakan oleh aplikasi untuk menetapkan matlamat kehilangan berat badan seperti berat sekarang, tinggi, berat idaman, jantina, umur, tahap aktiviti dan berapa masa yang diperlukan untuk kurangkan berat badan dan kalori (bermula dari setengah hingga dua paun setiap minggu).
Pakar kesihatan menyatakan bahawa kebanyakan formula yang digunakan oleh aplikasi sebegini akan mengira berapa banyak kalori yang diperlukan dalam mendapatkan berat badan sedia ada, kemudian menolak sebanyak 500 kalori sehari jika anda ingin mengurangkan satu paun setiap minggu (atau menolak 1,000 setiap hari jika anda ingin kehilangan dua paun setiap minggu). Jumlah yang dikatakan tadi mungkin nampak seperti banyak kalori yang boleh dihilangkan setiap hari, dan pengurangan itu boleh direalisasikan. Namun masalah yang sering dihadapi adalah jumlah kalori yang anda hilangkan selalunya kurang daripada yang anda harapkan, menyebabkan anda tidak berjaya kurangkan berat badan
Idea untuk formula ini adalah 3,500 kalori bersamaan satu paun berat, bermakna jika anda ingin kurangkan 500 kalori setiap hari untuk tujuh hari, maka anda dapat mengurangkan 3,500 kalori, dan mengurangkan satu paun. Tetapi, banyak masalah akan timbul dengan cara ini. Sekiranya seseorang itu ingin kurangkan 500 kalori dalam mendapatkan berat yang diidamkan, ini akan menyebabkan terjadinya masalah rendah metabolisma, kehilangan tisu otot atau tisu tanpa lemak, dan mempunyai kesan sampingan seperti keinginan yang kuat untuk makan banyak atau terlalu lapar, mudah melenting dan cepat marah dan mood tidak menentu.
Jadi bagaimana untuk menentukan berapa banyak jumlah kalori yang perlu dihilangkan untuk kurangkan berat badan tanpa memberi sebarang kesan kemudaratan pada badan? Daripada memasukkan berat sekarang dan berat badan yang diidam-idamkan pada formula atau dalam aplikasi kesihatan, masukkan berat badan idaman anda dalam kotak soalan berat badan sekarang, dan tandakan pada kotak “mengekalkan berat badan sekarang” sebagai berat badan badan idaman daripada menyatakan “ menghilangkan satu paun berat badan dalam masa seminggu”. Misalnya, anda mempunyai berat badan 150 paun tetapi ingin mempunyai berat badan 130 paun, jadi masukkan jumlah 130 sebagai berat badan sekarang, dan hajat anda adalah “ingin mengekalkan berat badan sekarang”.
Apabila anda mengisi maklumat begitu, aplikasi tersebut akan memberi jumlah kalori yang anda perlukan dalam mendapatkan berat badan 130, dan anda tidak perlu lagi kurangkan berat badan atau membuang kalori yang tidak sepatutnya dan menerima kesan sampingan yang boleh merosakkan kesihatan.
Kami telah mencuba melakukannya di MyFitnessPal, meletakkan 150 paun sebagai berat badan sekarang dan 130 paun sebagai berat badan idaman untuk wanita berusia 35 tahun, sederhana aktif dengan melakukan senaman sebanyak 4 kali seminggu, dengan 6 minit setiap kali. Kami meletakkan matlamatnya “mengurangkan berat 1 paun setiap minggu”. Aplikasi itu kemudiannya menyarankan agar wanita itu mengambil 1,400 kalori setiap hari untuk mendapatkan berat yang diidamkan. Kemudian, kami meletakkan maklumat yang sama, Cuma berat badan tersebut adalah 130 paun dan matlamatnya adalah “mengekalkan berat sekarang’. Pengambilan kalori seharian berubah kepada 1,780. Satu jumlah yang sangat besar perbezaannya.
Kemungkinan besar, cara ini berjaya kurangkan berat badan dengan lebih perlahan berbanding dengan menurunkan sehingga 500 kalori sehari, tetapi ia tidak menjejaskan metabolism anda, membakar otot dan adanya perubahan mood yang membawa kepada perasaan cepat marah dan mudah melenting. Tambahan lagi, menghilangkan 500 kalori sehari tidak semuanya boleh dilakukan oleh kebanyakan individu. Apabila kehilangan kalori sebanyak itu, ada yang mudah berasa lapar, cepat penat dan ia menyebabkan seseorang itu mengambil kalori berlebihan dan tanpa disedari menambah lagi berat badan.
Meskipun mengambil sejumlah kalori perlu diselaraskan dalam kurangkan berat badan idaman namun tidak semua berjaya mengira kalori yang diperlukan. Yang penting, individu itu perlu mengetahui personalitinya sendiri. Ada yang memang sukakan data, dan suka menggunakan nombor dan pencatatan kalori, dan hanya daripada maklumat seperti itu, sudah cukup dijadikan sebagai data. Ada pula yang mempunyai pertalian emosi dengan badannya sendiri serta angka, dan mudah merasa risau apabila melihat angka, dan ini sebenarnya sangat membimbangkan.
Sebaiknya, elak dari memaksa diri membuat pencatatan kalori jika ia menambahkan tekanan diri. Ini kerana ia akan menjadikan anda tidak aktif malah mendorong anda makan berlebihan setiap kali anda tidak berjaya kurangkan berat badan dan kalori yang diingini. Apabila emosi dan tekanan semuanya bercampur-baur, ia berpotensi mencetuskan hormon stress yang mampu menambahkan lagi lemak di perut.
Dan jika mencatat kalori tidak menjadi isu yang penting bagi anda, banyak cara lain yang boleh digunakan untuk kurangkan berat badan dan kalori antaranya memfokuskan kepada saiz hidangan daripada jumlah kalori makanan. Misalnya, memasak lebih banyak makanan berasaskan bayam, brokoli dan cendawan dan mengurangkan hidangan seperti beras perang, kuinoa dan kentang manis, secara automatik mengurangkan pengambilan kalori.
Satu lagi yang perlu diingati. Tidak semua kalori itu dicipta sama. Meskipun anda berjaya mendapatkan kalori harian yang diingini tetapi jikalau masih mengambil makanan segera setiap hari, anda mungkin berjaya kurangkan berat badan tetapi pasti kurang selesa dengan corak pemakanan anda. Jika anda ingin menurunkan berat badan dan meningkatkan kualiti kesihatan anda, makan makanan yang dapat membantu meningkatkan gaya kehidupan anda.
SUMBER
https://www.healthline.com/nutrition/how-many-calories-per-day
https://www.precisionnutrition.com/weight-loss-calculator
https://www.verywellfit.com/how-many-calories-to-lose-weight-3495659
https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/weight-loss/in-depth/calories/art-20048065