Doa Manzil adalah kumpulan ayat dan surah-surah pendek dari Al-Quran yang akan dibacakan sebagai alat perlindungan dan penawar iaitu Ruqyah dari Ilmu Hitam, Jin, Sihir, Mata Jahat dan seumpamanya serta perkara-perkara buruk yang lain.
Doa ini adalah penawar terbaik untuk melawan sihir dan perkara jahat. Doa ini juga sangat berkesan untuk menghilangkan segala jenis penyakit.
Ayat Manzil yang merupakan potongan-potongan dari ayat al-Quran telah diajar oleh Rasulullah saw pada zaman dahulu kepada para sahabat sebagai ayat syifa’ (penawar dan ubat) dari beberapa jenis penyakit rohani dan jasmani. Kelebihan ayat Manzil sebagai pelindung dari gangguan jin dan sihir tidak dapat disangkal lagi dalam Islam.
Perkara yang amat penting dalam beramal dengan ayat-ayat Manzil yang harus diberi perhatian adalah anda perlu membacanya dengan penuh khusyuk, iaitu dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah Yang Maha Besar. Sejauh mana seseorang individu itu mempunyai keyakinan dan keimanan kepada Allah S.W.T, maka sejauh itu juga lah amalan ayat-ayat Manzil ini akan memberi manfaat kepada yang membacanya.
Cara Beramal Dengan Manzil
Firman Allah S.W.T :
وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلً
Maksud: Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. (42)
(Surah al-Ahzab, 33: 42)
Cara Membaca Manzil
Pembacaan Manzil telah dipraktikkan oleh banyak sarjana terkemuka dan diketahui telah disusun oleh Syeikh Zakariyya dari Saharanpur Daruloom beberapa dekad yang lalu.
Pelbagai ayat al-Quran yang termasuk dalam Manzil biasanya disusun bersama dalam risalah pendek untuk kemudahan membaca. Buku-buku yang mengandungi ayat-ayat Manzil juga mudah didapati dalam talian dan di kedai-kedai buku Islam.
Manzil dibaca sebanyak dua kali dalam sehari, iaitu pada waktu pagi dan petang sebagaimana Allah menggalakkan hambanya untuk bertasbih dan mengingati-Nya pada waktu pagi dan petang.
Nabi SAW mengamalkan pembacaan ayat-ayat Al-Quran semasa sakit dan penyakit lain untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT selama berabad-abad dan sememangnya menjadi amalan umat Islam.
Kelebihan Membaca Doa Manzil
- Memohon perlindungan daripada Allah SWT
Tujuan utama Manzil adalah untuk memohon perlindungan daripada Allah dalam kehidupan kita. Walaupun kita memiliki kekayaan, keluarga, dan kebahagiaan, namun perlindungan daripada Allah adalah sangat penting kerana kita tidak tahu jika terdapat syaitan atau Iblis yang ingin mengganggu kita.
Manusia juga boleh berada di bawah kawalan jin seperti ketika dirasuki sesuatu. Oleh itu, kita boleh beramal dengan bacaan Manzil untuk berlindung daripada gangguan jin dan syaitan.
2. Mengelakkan sihir jahat
Menurut pengalaman seorang perawat perubatan Islam, Dr Amirul Amin, penyakit sihir sangat mujarab disembuhkan melalui ayat Manzil. Pesakit boleh diubati dengan dua cara iaitu pesakit itu sendiri membaca ayat Manzil ataupun seseorang membacakan ayat Manzil lalu meniupnya ke dalam air untuk diminum oleh pesakit.
3. Memohon daripada Allah SWT untuk kesihatan dan kesembuhan dari penyakit
Nabi SAW mengajarkan penyembuhan melalui pembacaan ayat-ayat al-Quran kerana ia juga merupakan penawar yang sempurna.
Firman Allah SWT:
قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ
Maksudnya, “Katakanlah al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Fushshilat, Ayat 44)
Kesimpulan
Kita boleh mengamalkan ayat Manzil untuk berusaha mengelakkan diri daripada gangguan syaitan dan sebarang musibah yang buruk. Bagi mereka yang mengalami gangguan sihir dan penyakit, bolehlah mengamalkan ayat Manzil sebagai penawar.
Walau bagaimana pun, kita haruslah yakin bahawa Allah lah yang memberi keizinan untuk memberi kita kesembuhan, tanpa izin daripada Allah SWT nescaya kita tidak akan memperoleh kesembuhan itu.
Tidak syak lagi bahawa nama-nama Allah S.W.T dan juga kalimat-kalimat suciNya mempunyai banyak berkat untuk umat manusia di dunia ini.
Sumber:
https://mostpowerfulwazifas.blogspot.com/p/manzil-dua.html
https://bidadari.my/ayat-manzil/
https://m.facebook.com/DrAmirulAmin/photos/a.274662972554720/543762605644754/?type=3