Solat Taubat Nasuha ialah sebenar-benar taubat dengan janji yang kita tidak akan mengulangi lagi segala perbuatan yang salah atau dosa tersebut. Kita mestilah melakukan taubat Nasuha dengan kesungguhan diri, memohon keampunan daripada Allah dan bertekad untuk tidak mengulangi segala dosa yang lepas.
Taubat Nasuha merupakan peluang untuk kita kembali kepada Allah setelah melakukan perbuatan yang mungkar. Pintu taubat Allah sentiasa terbuka kepada hamba-Nya yang ingin bertaubat. Di bawah ialah panduan lengkap bagi melakukan solat sunat taubat Nasuha yang diterbitkan oleh penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Maksud Solat Sunat Taubat Nasuha
Solat sunat taubat Nasuha bermaksud solat yang dikerjakan bagi memohon pengampunan dan taubat daripada Allah.
Solat sunat ini dilakukan sebanyak dua rakaat dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Namun waktu yang paling afdhal untuk mengerjakan solat sunat taubat Nasuha ialah ketika kita terjaga dari tidur untuk mengerjakan ibadah solat malam. Pada waktu ini, kita akan merasakan yang diri kita lebih dekat dengan Allah, dan antara sebab solat ini dilakukan ialah;
- Menyesal atas segala dosa yang dilakukan.
- Menyucikan diri daripada perbuatan dosa dan berhenti daripada melakukan maksiat serta meminta ampun daripada Allah di atas perbuatan dosa lampau, serta memohon maaf kepada manusia dan qadha segala amalan yang telah terluput seperti solat, puasa dan amalan lain yang diwajibkan di dalam Islam.
- Berazam untuk tidak mengulangi segala perbuatan dosa yang lampau
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesiapa yang pernah melakukan perbuatan dosa, bersegeralah berwudhu kemudian mendirikan solat dan memohon pengampunan daripada Allah, Allah pasti akan menerima permohonannya itu.”
Kemudian bacalah ayat ini:
“mereka yang pernah melakukan sesuatu perbuatan dosa terhadap dirinya sendiri lalu mereka segera mengingati Allah lalu memohon keampunan-Nya. Siapakah yang akan mengampuni segala dosa, selain daripada Allah? Kemudian mereka berasa insaf dan sedar untuk tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi, maka mereka akan diberi pahala dan ganjaran syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan disirulah tempat mereka selamanya.”
(Riwayat Abu Daud, Nasa’I, Ibnu Majah dan Baihaqi r.a.)
Cara Solat Taubat Nasuha
- Niat
“Sahaja aku sembahyang sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Taala.”
2. Bacaan Dalam Solat
Rakaat Pertama:
Bacaan surah Al-Fatihah dan kemudiannya surah Al-Kafirun
Rakaat Kedua:
Bacaan surah Al-Fatihah dan disambung dengan surah Al-Ikhlas
Pada sujud terakhir, setelah membaca tasbih sujud, bacalah ayat berikut sebanyak 44 kali:
Maksud: “Tiada Tuhan melainkan Engkau, Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim.”
3. Setelah anda memberi salam, amalkan zikir di bawah sebelum meneruskan bacaan doa.
i. Istighfar 70 kali – أَسْتَغْفِرَاللهَ الْعَظِيْمَ الَّذِيْ لَاإِلَهَ إِلَّا هُوَالْحَيُّ الْقَيُّوْمُ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ Astagfirullahal’adzim Alladzi laa ilaaha illa hual hayyul qayyum watubu ilaih
ii. Wirid 100 kali – لاَاِلهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ, لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِى وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْئٍ قَدِيْرٌ Laa Ilaha illallah wahdahu laa syarikalah lahul mulku walhul hamdu, yuhyi wa yumitu wahua ‘ala kulli syaiin qadir
Doa Selepas Solat Sunat Taubat Nasuha
“Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai dengan kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau. Aku mohon ampun kepadaMu Allah yang maha Hidup dan berdiri sendiri dan ku bertaubat kepadaNya.”
Berikut adalah cara-cara melakukan solat sunat taubat. Apa yang penting adalah keikhlasan dan kesungguhan kita dalam mengakui kesalahan dan meninggalkannya sepenuh hati. Sesungguhnya tiada amalan kebaikan yang sia-sia, sma-sama kita memohon agar Allah SWT menerima taubat kita dan menjauhi kita daripada segala perbuatan yang tidak bermanfaat. Semoga bermanfaat untuk anda.
Sumber:
https://therohani.com/doa-masuk-tandas/
https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/725-al-kafi-651-tatacara-solat-sunat-taubat