Pengenalan
Carafate (sucralfate) adalah ubat anti-ulser. Ia tidak diserap terlalu banyak ke dalam badan melalui saluran pencernaan.
Seterusnya, ubat ini berfungsi terutamanya pada lapisan perut dengan melekat pada tempat ulser dan melindunginya daripada asid, enzim dan garam hempedu.
Kegunaan Carafate
Ubat ini digunakan untuk merawat dan mencegah bisul di usus. Sucralfate membentuk lapisan di atas ulser, melindungi kawasan tersebut daripada kecederaan yang lebih serius.
Ini membantu bisul untuk sembuh dengan lebih cepat.
Cara menggunakan Carafate
Ambil Carafate sama seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Ikuti semua arahan pada label preskripsi dan baca semua panduan ubat atau helaian arahan penggunaan.
Pastikan anda mengambil ubat ini semasa perut kosong. Goncangkan suspensi oral (cecair) sebelum anda mengukur dos. Gunakan picagari (syringe) yang disediakan, atau gunakan alat pengukur dos ubat (bukan sudu makan biasa).
Carafate bentuk cecair tidak boleh disuntik melalui jarum ke dalam badan, jika tidak, kematian mungkin berlaku. Bentuk ini hanya boleh diminum sahaja.
Sekiranya anda menghidap diabetes, periksa gula dalam darah anda secara berkala. Doktor anda mungkin perlu menyesuaikan dos berdasarkan kadar gula dalam darah anda.
Langkah berjaga-jaga & Amaran Penggunaan Carafate
Anda tidak boleh menggunakan Carafate jika anda alah pada sucralfate. Untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda mempunyai:
- diabetes.
- penyakit buah pinggang (atau jika anda menjalani dialisis).
- sukar menelan ubat berbentuk tablet.
Juga, beritahu doktor jika anda hamil atau menyusu badan. Carafate tidak diluluskan untuk digunakan oleh sesiapa yang berumur kurang dari 18 tahun.
Kesan Sampingan Carafate
Sembelit, mulut kering, sakit perut, perut berangin dan loya mungkin berlaku. Sekiranya kesan sampingan ini berlanjutan atau bertambah buruk, beritahu doktor atau ahli farmasi anda dengan segera.
Beritahu doktor jika anda mempunyai kesan sampingan yang serius, termasuk rasa kenyang yang tidak normal / berterusan pada perut, loya / muntah / sakit perut terutamanya selepas makan, kesukaran menelan.
Reaksi alergi yang sangat serius terhadap ubat ini tidak mungkin berlaku, tetapi dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya ia berlaku.
Gejala reaksi alergi serius yang mungkin berlaku termasuklah ruam, gatal / bengkak (terutama pada muka / lidah / tekak), pening yang teruk, kesukaran bernafas.
Ini bukanlah senarai lengkap bagi segala kesan sampingan yang boleh berlaku. Sekiranya anda melihat kesan lain yang tidak disenaraikan di atas, hubungi doktor atau ahli farmasi anda.
Kontraindikasi Carafate
Carafate Oral Suspension dikontraindikasikan untuk pesakit yang telah diketahui mempunyai reaksi hipersensitiviti terhadap bahan aktif atau pada mana-mana bahan yang tidak mempengaruhi kesan terapeutik (eksipien).
Interaksi Carafate
Interaksi ubat boleh mengubah cara ubat berfungsi atau meningkatkan risiko anda mendapat kesan sampingan yang serius. Artikel ini tidak mengandungi semua kemungkinan interaksi ubat.
Simpan senarai semua produk yang anda gunakan (termasuk ubat preskripsi / bukan preskripsi dan produk herba) dan kongsikan kepada doktor dan ahli farmasi anda. Jangan mula, henti atau ubah dos ubat-ubatan tanpa kebenaran doktor anda.
Beberapa produk yang mungkin berinteraksi dengan ubat ini termasuklah:
- antasid yang mengandungi aluminium
- antibiotik tertentu (contohnya quinolones seperti ciprofloxacin / levofloxacin / ofloxacin, tetracyclines), digoxin, ketoconazole, penicillamine, phenytoin, quinidine, ubat tiroid (seperti levothyroxine, liothyronine).
Dos Carafate
Dos yang ditetapkan adalah berdasarkan keadaan perubatan anda dan tindak balas terhadap rawatan. Teruskan pengambilan ubat ini walaupun anda tidak merasakan kesakitan ulser itu.
Jangan berhenti mengambil ubat ini tanpa berunding dengan doktor anda. Ia mungkin memerlukan tempoh selama 4 hingga 8 minggu untuk ulser anda sembuh sepenuhnya.
– Terlepas dos
Sekiranya anda terlepas dos, ambilnya secepat mungkin sebaik sahaja anda ingat. Sekiranya sudah hampir dengan tempoh bagi dos seterusnya, abaikan dos yang tidak diambil.
Ambil dos seterusnya pada waktu biasa. Jangan gandakan dos untuk menggantikan dos yang terlepas itu.
Sumber:
https://www.webmd.com/drugs/2/drug-14156-68/carafate-oral/sucralfate-oral/details
https://www.drugs.com/carafate.html