Cholangitis biliar utama atau juga dikenali sebagai ‘cirrhosis‘ biliar utama adalah penyakit kronik di mana saluran hempedu dalam hati hancur secara perlahan-lahan.
Hempedu (bile) adalah sejenis cecair yang dihasilkan di dalam hati. Ia membantu pencernaan dan menyingkirkan kolesterol dan toksin dari badan anda.
Apabila saluran hempedu rosak, hempedu akan berkumpul di dalam hati anda dan boleh menyebabkan tisu berparut dalam hati yang tidak dapat dipulihkan (sirosis).
Cholangitis biliar utama dianggap sebagai penyakit autoimun yang menjadikan sistem imun badan anda menyerang sel-sel dan tisu yang sihat. Penyelidik berpendapat bahawa penyakit ini berpunca daripada gabungan faktor genetik dan persekitaran. Ia biasanya berkembang secara perlahan. Penggunaan ubat khas boleh melambatkan kerosakan hati terutamanya jika anda memulakan rawatan dengan lebih awal.
Simptom Cholangitis biliar utama
Lebih separuh daripada pesakit yang menghidap cholangitis biliar utama tidak menunjukkan simptom yang ketara apabila didiagnosis. Selalunya, penyakit ini didiagnosis sewaktu pesakit menjalani ujian darah bagi penyakit lain. Simptom penyakit ini merebak secara perlahan iaitu selama 5 hingga 20 tahun. Simptom yang muncul sewaktu diagnosis biasanya adalah sangat teruk.
Simptom awal penyakit ini termasuklah:
- Keletihan
- Mata dan mulut kering
Tanda-tanda dan simptom lain termasuklah:
- Sakit di bahagian atas abdomen kanan
- Limpa bengkak
- Sakit tulang, otot atau sendi (musculoskeletal)
- Bengkak kaki dan pergelangan kaki (edema)
- Terdapat cecair di abdomen kerana penyakit hati (ascites)
- Deposit lemak (xanthomas) pada kulit di sekitar mata, kelopak mata atau di lipatan tangan, tumit, siku atau lutut
- Kulit dan mata menjadi kuning (penyakit kuning)
- Kulit menjadi gelap dan ia tiada kaitan dengan pendedahan kepada cahaya matahari (hyperpigmentation)
- Tulang menjadi lemah (osteoporosis) sehingga boleh menyebabkan keretakan
- Kolesterol tinggi
- Cirit-birit dan najis mungkin kelihatan berminyak (steatorrhea)
- Tiroid yang tidak aktif (hipotiroidisme)
Punca Cholangitis biliar utama
Cholangitis biliar utama adalah penyakit autoimun. Ini bererti sistem imun tubuh anda menganggap tisu sihat di hati anda sebagai penceroboh asing dan menyerangnya.
Sistem imun mempunyai tentera sel-sel T “pembunuh” yang berfungsi untuk mengenal pasti dan melawan penceroboh berbahaya seperti bakteria dan virus. Bagi pesakit, sel T ini tersilap menyerang hati yang sihat dan merosakkan sel-sel di saluran hempedu.
Malangnya, doktor masih tidak mengetahui punca sebenar serangan sistem imun ini. Ada kemungkinan ia dicetuskan oleh faktor genetik dan alam sekitar.
Anda lebih cenderung untuk menghidap penyakit ini jika anda seorang wanita. Kira-kira 90 peratus individu yang didiagnosis dengannya adalah wanita.
Faktor risiko tambahan termasuklah:
- Individu yang berumur di antara 30 hingga 60 tahun
- Mempunyai ibu bapa atau adik beradik yang menghidap penyakit ini
- Merokok
- Terdedah kepada bahan kimia tertentu
Diagnosis Cholangitis biliar utama
Sekiranya anda mempunyai gejala ini, doktor akan melakukan ujian darah terhadap anda. Ujian ini dapat mengenalpasti bagaimana hati anda berfungsi dan sebarang masalah pada sistem imunisasi tubuh anda. Selain itu, doktor juga mungkin akan melakukan ujian pengimejan seperti ultrabunyi, CT scan, MRI, atau endoskopi atas anda.
Ujian-ujian tersebut akan memberikan maklumat yang lebih terperinci mengenai keadaan hati anda dan kawasan sekitarnya. Biopsi hati juga boleh dilakukan terhadap diri anda. Sedikit tisu dari hati akan dikeluarkan dan sampel tersebut akan diperiksa di makmal bagi mengesan sebarang kerosakan atau penyakit.
Faktor risiko Cholangitis biliar utama
Berikut merupakan faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko cholangitis biliar utama:
- Jantina. Kebanyakan individu menghidap cholangitis biliar utama adalah wanita.
- Umur. Ia sering berlaku pada individu berumur 30 hingga 60 tahun.
- Faktor genetik. Anda lebih cenderung untuk menghidap penyakit ini jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidapinya.
- Geografi. Penyakit ini biasa berlaku di kawasan Eropah Utara dan Amerika Utara.
Penyelidik berpendapat bahawa faktor genetik yang digabungkan dengan faktor persekitaran tertentu boleh mencetuskan cholangitis biliar utama.
Faktor-faktor persekitaran ini termasuklah:
- Jangkitan yang disebabkan oleh bakteria, kulat atau parasit
- Merokok
- Bahan kimia toksik
Rawatan Cholangitis biliar utama
Walaupun masih tiada ubat yang sesuai untuk penyakit ini, rawatan yang tersedia dapat memperbaiki gejala dan melindungi hati anda daripada kerosakan yang lebih teruk.
- Ursodiol. Rawatan pertama yang biasanya disyorkan oleh doktor adalah pengambilan asid ursodeoxycholic (UDCA) atau ursodiol (Actigall, Urso). ‘Ursodiol’ adalah asid hempedu yang boleh membantu memindahkan hempedu dari hati ke dalam usus kecil. Ia juga boleh memperlahankan kerosakan hati terutamanya jika anda sudah mula mengambilnya ketika penyakit ini masih di peringkat awal. Untuk meneruskan hidup, anda perlu mengambil ubat ini secara berterusan. Kesan sampingan ubat ursodiol yang mungkin anda alami termasuklah kenaikan berat badan, cirit-birit, dan keguguran rambut.
- Asid obeticholic (Ocaliva). Ubat ini adalah ubat baru yang telah diluluskan untuk kegunaan pesakit yang tidak boleh menerima ubat jenis ursodiol atau ia tidak berkesan langsung kepada mereka. Fungsi ubat ini adalah untuk merendahkan hempedu dalam hati dengan mengurangkan pengeluaran hempedu dan membantu menyingkirkan lebihan hempedu dari hati.
Doktor juga boleh menetapkan ubat-ubatan tersebut untuk merawat gejala seperti:
- Untuk gatal-gatal: antihistamin seperti diphenhydramine (Benadryl), hydroxyzine (Vistaril), atau cholestyramine (Questran)
- Untuk mata kering: air mata tiruan
- Untuk mulut kering: zat pengganti air liur seperti xylitol, carboxymethylcellulose, atau hydroxyethyl cellulose.
SUMBER
https://www.healthline.com/health/primary-biliary-cirrhosis
https://www.webmd.com/digestive-disorders/primary-biliary-cirrhosis