Now Reading
Coenzyme Q10

Coenzyme Q10

Coenzyme Q10

Pengenalan

Coenzyme Q10 (CoQ-10) adalah antioksidan yang dihasilkan oleh badan anda secara semula jadi. Digunakan sel untuk pertumbuhan dan penyelenggaraan.

Tahap CoQ-10 dalam badan anda berkurangan apabila anda semakin berusia. Ia juga didapati lebih rendah pada individu dengan keadaan tertentu, seperti penyakit jantung.

Selain itu, CoQ-10 terdapat dalam daging, ikan dan biji-bijian. Jumlah CoQ-10 yang terdapat dalam sumber makanan ini walau bagaimanapun tidak mencukupi untuk meningkatkan tahap CoQ-10 dengan ketara dalam tubuh anda.

Sebagai suplemen, suplemen CoQ-10 tersedia sebagai kapsul, tablet dan IV. Ia juga mungkin boleh membantu merawat keadaan jantung tertentu, serta migrain dan penyakit Parkinson.

Kegunaan Coenzyme Q10

  • Kekurangan. Mengambil Coenzyme Q10 secara oral sepertinya dapat mengurangkan gejala kekurangan Coenzyme Q10. Gejalanya termasuklah kelemahan, keletihan, dan sawan. Ini adalah keadaan yang sangat jarang berlaku.
  • Sekumpulan gangguan yang sering menyebabkan kelemahan otot (miopati mitokondria). Mengambil Coenzyme Q10 secara oral sepertinya dapat mengurangkan gejala myopathies mitokondria. Walau bagaimanapun, ia berlaku dengan perlahan. Sesetengah orang perlu mengambil Coenzyme Q10 selama 6 bulan untuk mendapat manfaat yang paling banyak.
  • Kegagalan jantung dan pembinaan cecair dalam badan (kegagalan jantung kongestif atau CHF). Kajian awal mendapati bahawa kegagalan jantung mungkin dikaitkan dengan tahap Coenzyme Q10 yang rendah. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 dapat membantu mengurangkan beberapa gejala kegagalan jantung. Ia juga boleh mengurangkan kemungkinan kematian atau kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan kegagalan jantung.
  • Kesakitan saraf pada pesakit diabetes (neuropati diabetik). Kajian menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 mengurangkan kerosakan saraf dan sakit saraf pada individu dengan masalah ini yang terjadi disebabkan diabetes.
  • Fibromyalgia. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 secara oral boleh mengurangkan kesakitan, kelembutan, keletihan, dan masalah tidur pada individu dengan masalah fibromyalgia.
  • HIV/ AIDS. Mengambil Coenzyme Q10 secara oral sepertinya dapat meningkatkan fungsi imun pada individu dengan HIV/ AIDS.
  • Kerosakan tisu disebabkan terdapat aliran darah yang terhad dan aliran darah dipulihkan (kecederaan ischemia-reperfusion). Pengurangan bekalan darah semasa pembedahan jantung atau jantung boleh menurunkan kadar oksigen dalam tisu. Apabila bekalan darah kembali ke tisu ini, tisu boleh menjadi rosak. Ada beberapa bukti bahawa pengambilan Coenzyme Q10 secara oral selama sekurang-kurangnya satu minggu sebelum pembedahan pintasan jantung atau pembedahan saluran darah mungkin membantu mengurangkan kerosakan tisu. Walau bagaimanapun, tidak semua kajian  bersetuju dengan penemuan ini.
  • Migrain. Pengambilan Coenzyme Q10 secara oral sepertinya dapat membantu menghalang migrain. Penyelidikan menunjukkan ia boleh mengurangkan kekerapan sakit kepala ini kira-kira 30% dan bilangan hari dengan yang berkaitan dengan sakit dan loya kira-kira 45% pada orang dewasa. Lebih separuh daripada pesakit yang mengambil Coenzyme Q10 mengalami penurunan 50% dalam jumlah hari sakit kepala sebulan. Mengambil Coenzyme Q10 juga dilihat dapat mengurangkan kekerapan migrain pada kanak-kanak yang mempunyai tahap Coenzyme Q10 yang rendah. Tetapi, ia boleh mengambil masa sehingga 3 bulan untuk melihat sebarang manfaat.
  • Sklerosis Pelbagai (MS). Pengambilan secara oral sepertinya boleh mengurangkan keletihan dan emosi rendah pada orang dengan masalah ini.
  • Sekumpulan gangguan  yang menyebabkan kelemahan otot dan kehilangan otot yang diwarisi (distrofi otot). Pengambilan secara oral sepertinya dapat meningkatkan prestasi fizikal dalam sesetengah individu dengan masalah distrofi otot.
  • Serangan jantung. Apabila diambil bermula dalam tempoh 72 jam selepas serangan jantung dan diambil selama satu tahun, Coenzyme Q10 diaktakan membantu menurunkan risiko kejadian yang berkaitan dengan jantung, termasuk serangan jantung yang lain.
  • Penyakit yang menyebabkan ereksi melengkung dan kesakitan (penyakit Peyronie). Kajian menunjukkan bahawa pengambilan boleh meningkatkan fungsi ereksi pada lelaki dengan masalah ereksi yang menyakitkan.
  • Penyakit Alzheimer. Pengambilan Coenzyme Q10 sepertinya tidak meningkatkan fungsi mental pada individu dengan penyakit Alzheimer.
  • Penyakit Lou Gehrig (sklerosis lateral amiotrofik atau ALS). Kajian menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 tidak melambatkan perkembangan penyakit ini.
  • Keletihan pada individu yang dirawat dengan ubat kanser. Pengambilan Coenzyme Q10 nampaknya tidak mengurangkan keletihan pada individu yang menerima rawatan bagi kanser payudara.
  • Kecelaruan penggunaan Cocaine. Mengambil kombinasi Coenzyme Q10 dan L-carnitine tidak mengurangkan penggunaan kokain.
  • Diabetes. Penyelidikan telah mendapati bahawa pengambilan Coenzyme Q10 tidak menurunkan kadar gula darah pada individu dengan diabetes jenis 1 atau jenis 2.
  • Gejala seperti kelemahan otot dan keletihan yang menjejaskan mangsa polio. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 tidak meningkatkan kekuatan otot, fungsi otot, atau mengurangkan keletihan pada mangsa polio yang selamat.
  • Prestasi atletik. Pengambilan secara oral, iaitu secara sendirian atau dengan bahan-bahan lain, tidak meningkatkan prestasi pada atlet atau individu bukan atlet.
  • Gangguan otak yang memberi kesan kepada pergerakan, emosi dan pemikiran yang diwarisi (penyakit Huntington). Satu kajian penyelidikan besar menunjukkan bahawa pengambilan dalam dos yang besar (2.4 gram setiap hari) sehingga 5 tahun tidak menghentikan simptom penyakit Huntington daripada menjadi lebih buruk.
  • Kesakitan dada (angina). Beberapa kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan secara oral boleh mengurangkan sakit dada dan meningkatkan keupayaan senaman bagi individu yang mengalami kesakitan dada.
  • Kerosakan hati disebabkan ubat-ubatan kanser tertentu (cardiotoxicity anthracycline). Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan secara oral boleh melindungi jantung pada kanak-kanak berusia 3 hingga 12 tahun yang sedang dirawat dengan kelas ubat disebut anthracyclines. Tetapi, hasil daripada kajian yang lebih besar adalah tidak konsisten.
  • Autisme. Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan dalam bentuk tertentu yang disebut ubiquinol boleh mengurangkan gejala autisme pada pesakit autisme berusia 3 hingga 6 tahun mengikut penilaian induk. Namun, kajian berkualiti lebih tinggi diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini.
  • Gangguan bipolar. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 boleh mengurangkan gejala kemurungan pada individu berusia lebih 55 tahun yang mempunyai masalah gangguan bipolar.
  • Kanser payudara. Sesetengah kajian dalam wanita berbangsa Cina menunjukkan bahawa mempunyai tahap darah yang rendah bagi Coenzyme Q10 dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara. Kajian awal juga menunjukkan bahawa pengambilan secara oral mungkin membantu dalam kanser payudara yang sudah parah apabila digunakan bersama prosedur pembedahan dan rawatan konvensional serta antioksidan lain, asid lemak omega-3 dan omega-6. Kajian dengan kualiti yang lebih tinggi diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini.
  • Kanser. Tahap yang rendah dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser kulit. Penyelidikan awal mencadangkan bahawa pengambilan bersama antioksidan lain boleh meningkatkan tempoh kehidupan sebanyak 40% pada pesakit dengan kanser terminal. Kajian dengan kualiti yang lebih tinggi diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini.
  • Kerosakan otak yang menjejaskan pergerakan otot (ataxia cerebellar). Kajian awal mencadangkan bahawa pengambilan secara oral boleh memulihkan postur dan fungsi otot pada individu dengan ataxia cerebellar dan tahap yang rendah. Walau bagaimanapun, ia nampaknya tidak memberi faedah kepada individu dengan tahap Coenzyme Q10 biasa.
  • Luka terbuka (ulser) pada kornea mata. Kajian awal menunjukkan bahawa menggunakan titisan mata Coenzyme Q10 mungkin membuatkan ulser pada kornea sembuh dengan lebih cepat.
  • Gangguan yang menyebabkan kejadian muntah berulang (sindrom muntah cyclic atau CVS). Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 mungkin berfungsi sama seperti ubat-ubatan preskripsi yang digunakan untuk merawat masalah sama.
  • Jantung yang lemah dan mengalami pembesaran (kardiomiopati diluaskan). Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 boleh meningkatkan fungsi jantung pada kanak-kanak dan remaja dengan masalah kardiomiopati yang melebar.
  • Mulut kering. Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan bentuk yang dipanggil ubiquinol boleh mengurangkan masalah mulut kering.
  • Penyakit saraf dan otot yang diwarisi (Friedreich ataxia). Beberapa kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 bersama vitamin E meningkatkan fungsi jantung tetapi bukan postur atau cara berjalan pada sesetengah individu dengan masalah ataxia Friedreich. Walau bagaimanapun, ada kajian awal yang lain menunjukkan bahawa pengambilan bersama membantu mencegah penurunan koordinasi, postur dan pergerakan pada individu dengan masalah sama berbanding tidak melakukan apa-apa rawatan. Seterusnya, berfungsi paling baik pada individu dengan tahap Coenzyme Q10 yang rendah.
  • Hilang pendengaran. Sesetengah penyelidikan mencadangkan bahawa pengambilan produk Coenzyme Q10 tertentu (Q-TER) secara oral dapat meningkatkan pendengaran pada orang yang mengalami kehilangan pendengaran berkaitan dengan usia. Walau bagaimanapun, pengabungan dengan rawatan steroid konvensional tidak meningkatkan pendengaran lebih banyak berbanding rawatan steroid sahaja pada orang yang pekak secara tiba-tiba. Ia juga tidak kelihatan dapat meningkatkan pendengaran di kalangan orang yang mengalami gangguan pendengaran disebabkan oleh bunyi bising.
  • Bengkak (keradangan) hati disebabkan virus hepatitis C (hepatitis C). Kajian menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 tidak meningkatkan fungsi hati pada individu dengan hepatitis C yang tidak bertindak balas terhadap rawatan konvensional.
  • Tahap kolesterol tinggi atau lemak lain (lipid) dalam darah (hiperlipidemia). Ianya tidak jelas jika ia boleh mengurangkan tahap kolesterol. Satu kajian menunjukkan ia mungkin menurunkan tahap trigliserida dan LDL (atau “buruk” kolesterol) dengan jumlah yang kecil. Kajian-kajian lain pula tidak menunjukkan manfaat sekiranya mengambil Coenzyme Q10 untuk menurunkan jumlah kolesterol atau LDL atau meningkatkan tahap kolesterol HDL (atau “baik”). Malah, ia mungkin memerlukan sekurang-kurangnya 3 bulan untuk melihat sebarang manfaat.
  • Tekanan darah tinggi. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 secara tunggal atau bersama ubat lain untuk merawat tekanan darah tinggi boleh membantu menurunkan tekanan darah pada individu yang mempunyai tekanan darah tinggi. Walau bagaimanapun, tidak semua penyelidikan telah menunjukkan manfaat yang sama. Ia mungkin hanya memberi manfaat kepada individu dengan tekanan darah tinggi yang juga mempunyai diabetes atau tahap rendah darah bagi Coenzyme Q10 sebelum rawatan. Mengambil secara oral setiap hari kelihatan dapat menurunkan tekanan darah sistolik (bacaan atas) pada sesetengah orang dengan tekanan darah sistolik tinggi tetapi tekanan darah diastolik biasa (bacaan bawah).
  • Jantung yang lemah dan menebal (kardiomiopati hipertrofi). Pengambilan secara oral seolah-olah dapat mengurangkan ketebalan dinding jantung dan menurunkan gejala sesak nafas dan keletihan pada individu dengan kardiomiopati hipertropik.
  • Keadaan pada lelaki yang menghalangnya daripada membuatkan wanita hamil dalam tempoh setahun yang diambil untuk hamil (kemandulan lelaki). Terdapat beberapa bukti awal bahawa pengambilan atau bentuk ubiquinol secara oral boleh meningkatkan pergerakan dan kepadatan sperma pada lelaki dengan jenis ketidaksuburan tertentu. Nampaknya manfaat ini memerlukan sekurang-kurangnya 6 bulan rawatan untuk berkesan. Walau bagaimanapun, peningkatan ini tidak dapat meningkatkan kadar kehamilan.
  • Bentuk diabetes diwarisi yang dikaitkan dengan pekak. Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan secara oral mungkin menghalang perkembangan bentuk kencing manis yang jarang diwarisi daripada si ibu.
  • Pembinaan lemak dalam hati pada individu yang minum sedikit atau tidak mengambil alkohol (penyakit hati berlemak bukan alkohol atau NAFLD). Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 boleh meningkatkan penanda kecederaan hati dan keparahan penyakit pada individu dengan NAFLD.
  • Penyakit Parkinson. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 secara sendiri atau bersama suplemen lain mungkin melambatkan penurunan mental pada individu dengan penyakit Parkinson peringkat awal. Sekurang-kurangnya 16 bulan rawatan dan dos melebihi 600 mg setiap hari diperlukan untuk mencapai manfaat ini. Namun, tidak semua data adalah positif. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa ia tidak memberi manfaat kepada individu dengan penyakit Parkinson peringkat awal atau peringkat pertengahan.
  • Jangkitan gusi yang serius (periodontitis). Menyapu Coenzyme Q10 kepada gusi tidak berkesan untuk merawat penyakit gusi. Walau bagaimanapun, ada bukti awal bahawa mengambil secara oral mungkin membantu.
  • Gangguan hormon yang menyebabkan pembesaran ovari dengan sista (sindrom ovarium polisistik atau PCOS). Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 dapat mengurangkan masalah keguguran rambut dan jerawat pada wanita dengan PCOS. Ia juga dapat menurunkan kadar gula darah dan kadar kolesterol.
  • Gangguan jarang diwarisi yang menyebabkan obesiti, ketinggian yang rendah dan ketidakupayaan pembelajaran (Prader-Willi sindrom atau PWS). Kajian awal mencadangkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 meningkatkan perkembangan mental dan fizikal pada kanak-kanak dengan PWS. Tetapi, ianya tidak jelas jika peningkatan ini terjadi disebabkan oleh Coenzyme Q10 atau fenomena yang berkaitan dengan usia.
  • Komplikasi kehamilan dengan tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing (pre-eclampsia). Pre-eclampsia adalah keadaan yang berlaku kepada sebilangan wanita semasa kehamilan. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa wanita yang berisiko mempunyai peluang lebih rendah untuk mendapat keadaan ini jika mereka mengambil Coenzyme Q10 dari minggu ke-20 kehamilan sehinggalah bayi dilahirkan.
  • Kegagalan buah pinggang. Beberapa kajian awal mencadangkan bahawa pengambilan Coenzyme Q10 meningkatkan fungsi buah pinggang pada individu dengan penyakit buah pinggang peringkat akhir. Walau bagaimanapun, kajian lain menunjukkan bahawa pengambilan CoQ-10 tidak meningkatkan fungsi buah pinggang.
  • Jangkitan darah (sepsis). Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan CoQ-10 dalam bentuk tertentu yang dipanggil ubiquinol selama 7 hari tidak menghalang kematian atau mengurangkan masa di hospital yang berkaitan dengan jangkitan dalam darah.
  • Kelemahan otot disebabkan ubat statin (miopati disebabkan statin). Statin, kelas ubat yang digunakan untuk menurunkan kolesterol, kadangkala boleh menyebabkan sakit otot. Ada beberapa bukti bahawa pengambilan Coenzyme Q10 dapat mengurangkan kesakitan ini. Tetapi, tidak semua bukti ini adalah positif.
  • Kehilangan rambut disebabkan oleh ubat warfarin. Terdapat beberapa bukti awal bahawa pengambilan Coenzyme Q10 mungkin berguna untuk mencegah masalah keguguran rambut disebabkan ubat cair darah, warfarin.
  • Kedutan kulit akibat kerosakan sinar matahari. Bukti awal menunjukkan bahawa menggunakan krim pada kulit boleh memperbaiki kulit yang berkedut.
  • Penyakit mata yang menyebabkan kehilangan penglihatan pada orang dewasa yang lebih tua (degenerasi macular yang berkaitan dengan usia) atau AMD.
  • Asma.
  • Katarak.
  • Sindrom kelesuan kronik (CFS).
  • Mata kering.
  • Kerosakan buah pinggang pada pesakit diabetes (nefropati diabetik).
  • Lanjutan hidup.
  • Penyakit Lyme.
  • Bengkak (keradangan) jantung (miokarditis).
  • Syarat-syarat lain.

Lebih banyak bukti diperlukan untuk menilai Coenzyme Q 10 untuk kegunaan ini.

Kesan sampingan Coenzyme Q10

  • Apabila diambil dengan mulut: Coenzyme Q10 adalah selamat untuk kebanyakan orang dewasa. Walaupun kebanyakan orang menerima dengan baik, ia boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan ringan termasuk sakit perut, hilang selera makan, mual, muntah dan cirit-birit. Ia juga boleh menyebabkan alergi ruam kulit pada sesetengah orang. Malah, i mungkin boleh menurunkan tekanan darah, jadi periksa tekanan darah anda dengan berhati-hati jika anda mempunyai tekanan darah yang sangat rendah. Bahagikan jumlah dos harian dengan mengambil jumlah yang lebih kecil dua atau tiga kali sehari berbanding mengambilnya dalam jumlah yang banyak sekali sekaligus dapat membantu mengurangkan kesan sampingan.
  • Apabila digunakan pada kulit: Coenzyme Q-10 adalah selamat untuk kebanyakan orang dewasa apabila digunakan secara terus pada gusi.

Langkah Berjaga-jaga dan Amaran Bagi Penggunaan Coenzyme Q10

  • Kanak-kanak: Coenzyme Q10 adalah selamat untuk kanak-kanak apabila diambil secara oral. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh digunakan pada kanak-kanak tanpa pengawasan doktor.
  • Kemoterapi: Individu yang menjalani kemoterapi dengan kelas ubat yang dikenali sebagai agen alkylating harus menggunakan CoQ-10 dengan berhati-hati. Terdapat beberapa kebimbangan bahawa ia mungkin menurunkan keberkesanan ubat-ubatan tersebut. Beberapa ejen alkylating termasuk busulfan, carboplatin, cisplatin, cyclophosphamide (Cytoxan), dacarbazine, thiotepa dan banyak lagi.
  • Tekanan darah tinggi atau tekanan darah rendah: Coenzyme Q10 mungkin boleh menurunkan tekanan darah. Ia boleh meningkatkan kesan ubat-ubatan yang digunakan untuk menurunkan tekanan darah. Bincangkan penggunaan anda dengan penyedia penjagaan kesihatan anda jika anda menghadapi masalah tekanan darah.
  • Merokok: Merokok boleh mengurangkan jumlah Coenzyme Q-10 yang disimpan dalam badan.
  • Pembedahan: CoQ-10 mungkin mengganggu kawalan tekanan darah semasa dan selepas pembedahan. Berhenti menggunakannya sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pembedahan yang dijadualkan.

Interaksi Coenzyme Q10

Pengambilan statin boleh mengurangkan jumlah CoQ-10 dalam darah seseorang. Kajian telah menunjukkan pengurangan ketara dalam kepekatan plasma CoQ-10 berikutan rawatan dengan statin.

Selain itu, CoQ-10 dapat mengurangkan keberkesanan ubat pencair darah, seperti warfarin dan ini dapat meningkatkan risiko berlakunya pembekuan darah.

Seterusnya, penggunaan CoQ-10 juga boleh mengganggu insulin dan beberapa ubat kemoterapi.

Dos Coenzyme Q10

– DEWASA – Secara oral:

  • Untuk kekurangan Coenzyme Q10: 150 hingga 2400 mg sehari.
  • Untuk sekumpulan gangguan yang paling kerap menyebabkan kelemahan otot (mitokondria myopathies): 150-160 mg sehari, atau 2 mg/ kg sehari. Dalam sesetengah kes, dos mungkin meningkat secara beransur-ansur kepada 3000 mg sehari.
  • Untuk kegagalan jantung dan pembentukan cecair di dalam badan (kegagalan jantung kongestif atau CHF): 30 mg sekali sehari, atau sehingga 300 mg sehari dibahagikan kepada dua atau tiga dos sehingga 2 tahun. 2 mg/ kg setiap hari sehingga satu tahun juga telah digunakan.
  • Untuk kesakitan saraf pada pesakit diabetes (neuropati diabetes): 400 mg sehari selama 12 minggu.
  • Untuk fibromyalgia: 300 mg setiap hari selama 6 minggu atau 200 mg dua kali sehari selama 3 bulan telah digunakan. Kombinasi 200 mg Coenzyme Q-10 (Bio-Quinon Q-10, Pharma Nord) ditambah dengan 200 mg ginkgo (Bio-Biloba, Pharma Nord) setiap hari selama 12 minggu.
  • Untuk kerosakan tisu yang disebabkan apabila terdapat aliran darah yang terhad dan kemudian aliran darah dipulihkan (kecederaan iskemia-reperfusi): 150 hingga 300 mg sehari dalam tiga dos yang dibahagikan selama 1 hingga 2 minggu sebelum pembedahan.
  • Untuk mencegah migrain: 100 mg tiga kali sehari, 150 mg sekali sehari, atau 100 mg sekali sehari selama 3 bulan. Satu dos 1-3 mg/ kg sehari selama 3 bulan juga telah digunakan.
  • Untuk sklerosis pelbagai (MS): 500 mg dua kali sehari selama 3 bulan.
  • Untuk kumpulan gangguan yang diwarisi yang menyebabkan kelemahan otot dan kehilangan otot (distrofi otot): 100 mg sehari selama 3 bulan.
  • Untuk serangan jantung: 120 mg sehari dalam dua dos yang dibahagikan sehingga satu tahun. Gabungan 100 mg coenzyme Q-10 (Bio-Quinon, Pharma Nord) dan 100 mcg selenium (Bio-Selenium, Pharma Nord) sehari sehingga satu tahun juga telah digunakan.

– KANAK-KANAK – Secara oral:

  • Untuk kekurangan Coenzyme Q10: 60 hingga 250 mg sehari dalam sehingga tiga dos yang dibahagikan.
  • Untuk mencegah migrain: 1-3 mg/ kg sehari selama 3 bulan telah digunakan pada pesakit yang berusia 3 hingga 18 tahun.
  • Untuk sekumpulan gangguan diwarisi yang menyebabkan kelemahan otot dan kehilangan otot (distrofi otot): 100 mg sehari selama 3 bulan pada kanak-kanak berumur 8 hingga 15 tahun.

SUMBER

https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-938/coenzyme-q10

https://www.medicalnewstoday.com/articles/324113#drug-interactions

https://www.mayoclinic.org/drugs-supplements-coenzyme-q10/art-20362602

error: Content is protected !!