Dalam perkongsian kali ini, kami akan kongsikan dengan anda contoh ulasan PT3, tips-tips penting untuk menulis ulasan, dan juga format.
Ulasan adalah merupakan karangan pendek yang memerlukan pelajar untuk mengulas sesuatu instrumen yang diberikan, contohnya dalam bentuk gambar rajah.
Para pelajar perlu mengulas mengikut patah perkataan yang ditetapkan iaitu antara 80 hingga 100 patah perkataan. Pada hujung ulasan anda, nyatakan berapa patah perkataan yang telah anda tulis.
Di bawah ini, kami sediakan untuk anda beberapa contoh ulasan PT3, tips, dan format. Mari kita baca di bawah.
TIPS MENULIS ULASAN PT3
Berikut adalah tips-tips penting yang perlu anda beri perhatian semasa menulis karangan ulasan anda. Mari kita lihat tips-tipsnya.
- Jangan lupa untuk gunakan penanda wacana yang sesuai dalam karangan ulasan yang anda tulis.
- Tuliskan berapa patah perkataan yang ada dalam karangan ulasan anda pada bahagian bawah ulasan anda pada sebelah kanan. Jangan lupa untuk menulisnya kerana ramaimpelajar sering terlupa.
- Gabungkan isi tersurat dan juga isi tersirat dalam satu perenggan yang sama, dan menggunakan bentuk penulisan isi yang padat dengan bahasa yang mudah untuk difahami.
- Elakkan sebarang kesalahan tatabahasa dan ejaan. Baca dan semak semula ulasan anda setelah siap sebelum dihantar.
FORMAT ULASAN PT3
Berikut pula adalah format dan butiran mengenai soalan ulasan PT3 yang telah ditetapkan untuk semua pelajar pada waktu peperiksaan.
- Jumlah patah perkataan: antara 80 hingga 100 patah perkataan
- Masa menjawab: 20 minit
- Bilangan perenggan: satu perenggan
CARA MENULIS ULASAN PT3
Berikut adalah cara-cara untuk menulis ulasan dengan betul, tepat, dan juga mudah yang perlu anda tahu dan beri perhatian.
- Kenal pasti isi tersurat dan tersirat dalam bahan grafik atau gambar yang diberi.
- Tulis ulasan dalam satu perenggan seperti biasa.
- Nyatakan jumlah perkataan yang anda tulis untuk ulasan anda.
Panduan membina rangka ulasan adalah seperti berikut:
- Pendahuluan – tulis satu ayat pernyataan berdasarkan tajuk yang akan dibincangkan berpandukan pada bahan grafik.
- Maksud isi tersurat – isi atau maklumat yang ada pada bahan grafik.
- Maksud isi tersirat – isi atau maklumat yang tidak ada pada bahan grafik, tetapi berkaitan dengan maklumat yang diberi.
- Penutup – ayat yang merumuskan mengenai keseluruhan ulasan anda.
CONTOH ULASAN PT3
Berikut merupakan contoh soalan dan contoh ulasan PT3 yang terbaik sebagai panduan untuk anda menulis ulasan anda sendiri nanti.
Contoh Ulasan PT3 1
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan
Contoh Jawapan:
Jiran merupakan orang yang paling hampir dengan kita. Amalan kejiranan perlu disuburkan demimenjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. Salah satu amalan kejiranan yang telah sebatidalam kehidupan masyarakat Malaysia ialah amalan menziarahi jiran tetangga. Amalan tersebut amat mudah dipraktikkan kerana dapat dilakukan tanpa mengira masa, agama dan kaum. Selain itu, masyarakat di negara ini juga sudah terkenal dengan sikap peramah. Oleh itu, amalan bertegur sapa sudah menjadilumrah bagi kebanyakan kita. Setiap kali bertemu orang yang dikenali, pasti tangan akan dihulur untukbersalaman sambil bertanya khabar. Konklusinya, amalan kejiranan yang menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat Malaysia telah menjadikan hubungan antara mereka bagai isi dengan kuku.
(100 patah perkataan)
Contoh Ulasan PT3 2
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan
Contoh Jawapan:
Barangan buatan Malaysia ialah barangan yang dihasilkan di negara kita sendiri. Banyak kebaikan yang kita peroleh dengan membeli barangan buatan Malaysia. Antaranya, kita dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga kerana harga barangan tempatan lebih murah berbanding barangan import. Selain itu, kita dapat menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat. Di samping itu, industri tempatan juga dapat dimajukan dan membantu rakyat menambah pendapatan supaya dapat hidup dengan lebih selesa. Seterusnya, penghasilan barangan tempatan yang mendapat sokongan rakyat akan meningkatkan imej negara pada pandangan pelancong dan dunia luar. Kesimpulannya, belilah barangan buatan Malaysia kerana “Produk Malaysia Kebanggaan Kita”.
(88 patah perkataan)
Contoh Ulasan PT3 3
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan
Contoh Jawapan:
Peta buih menunjukkan cara-cara menjadi murid cemerlang. Ada banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menjadi murid cemerlang. Antaranya, kita mestilah membuat jadual belajar harian dan mematuhi jadual tersebut supaya masa kita terancang. Selain itu, kita juga boleh mengamalkan teknik mengulang kaji pelajaran yang betul dan berkesan. Di samping itu, kita mestilah sedar akan kelemahan diri kita dan berusaha untuk memperbaikinya. Seterusnya, setelah melakukan pelbagai usaha kita hendaklah berdoa kepada Tuhan supaya kita memperoleh kejayaan. Kesimpulannya, kejayaan yang cemerlang memerlukan usaha yang berterusan.
(84 patah perkataan)
Contoh Ulasan PT3 4
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan
Contoh Jawapan:
Pemimpin negara merupakan individu yang banyak berjasa kepada negara. Antara cara yang boleh kita lakukan untuk menghargai pemimpin adalah dengan membina muzium negarawan supaya rakyat dapat mengenali pemimpin dengan lebih dekat. Selain itu, buku biografi mengenai pemimpin boleh diterbitkan sebagai tanda kita menghargai pemimpin kita. Di samping itu. bangunan-bangunan dan jalan-jalan boleh dinamakan sempena nama pemimpin bagi memperingati jasa mereka. Contohnya, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun HS Lee. Kesimpulannya, hormati dan hargailah pemimpin yang banyak berjasa kepada negara kita.
(83 patah perkataan)
Contoh Ulasan PT3 5
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.
Contoh Jawapan:
Gambar rajah menunjukkan cara-cara memupuk perpaduan kaum. Antara cara memupuk perpaduan kaum adalah mengadakan aktiviti gotong-royong di kawasan taman perumahan. Selain itu, kita hendaklah mengamalkan kunjung-mengunjung sempena hari-hari perayaan. Di samping itu, sambutan hari keluarga boleh diadakan di taman perumahan. Seterusnya, penglibatan murid-murid dalam aktiviti kokurikulum di sekolah juga dapat memupuk perpaduan kaum kerana mereka sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Kesimpulannya, kita wajarlah membina semangat kejiranan di kawasan kejiranan kita yang terdiri daripada pelbagai kaum supaya kita dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
(90 patah perkataan)
Kami berharap agar perkongsian ini bermanfaat buat anda semua.
Sumber:
https://mypt3.com/contoh-ulasan-pt3