Now Reading
“COVID Toes” Mungkin Merupakan Gejala Coronavirus yang Baru dan Jarang Berlaku

“COVID Toes” Mungkin Merupakan Gejala Coronavirus yang Baru dan Jarang Berlaku

covid toes

‘COVID toes’ gejala Coronavirus janggal iaitu jari kaki berwarna ungu atau biru yang kelihatan seperti bengkak dan terasa sakit ketika disentuh. Pakar dermatologi mengatakan bahawa luka sebegini biasanya muncul pada individu lebih muda. Sehingga hari ini, doktor telah mengenal pasti satu lagi. Ia menjadi tanda pertama COVID-19 selain masalah pernafasan disebabkan jangkitan Coronavirus atau boleh juga menjadi satu-satunya simptom COVID-19 yang mereka alami.

Namun, simptom ini dilihat bukan sesuatu yang luar biasa jika berlakunya manifestasi kulit apabila ada proses virus, seperti yang dijelaskan oleh Amy Paller, M.D., Ketua Jabatan Dermatologi di Universiti Northwestern dan juga merupakan salah seorang ahli dermatologi pertama yang menghubungkan gejala ini dengan wabak COVID-19. Menurutnya lagi, ini bukan hanya terjadi pada kanak-kanak yang lebih tua sahaja, tetapi tidak dinafikan bahawa simptom ini lebih banyak menjejaskan individu remaja antara usia 11 tahun dan golongan pelajar universiti.

Dr. Paller menekankan bahawa maklumat ini adalah daripada “pemerhatian awal” yang dilakukan sahaja. Ini bermakna tiada lagi penyelidikan muktamad mengenai gejala tersebut dan bukti itu hanya bersifat anekdot pada ketika ini. Malah, tidak semua individu yang mempunyai simptom itu positif terhadap virus ini, jadi ianya tidak jelas bagaimana atau sama luka ini berkaitan secara langsung dengan COVID-19 atau tidak. Ia mungkin boleh menjadi petanda awal COVID-19 yang kita terlepas pandang atau adakah ini merupakan tanda pemulihan secara beransur-ansur? Para pengkaji juga masih belum mempunyai jawapannya.

Ini bukan masalah kulit pertama yang dikaitkan dengan COVID-19. Satu laporan kecil pada bulan Mac lalu, yang dikumpul oleh pakar dermatologi yang berurusan dengan 88 pesakit Coronavirus di Itali, mendapati bahawa 20% daripada mereka mempunyai gejala berkaitan dengan kulit. Keadaan kulit yang paling biasa terjadi di kalangan pesakit ini adalah ruam merah yang tidak rata.

Pihak pengkaji merasakan bahawa ada lebih banyak yang perlu dikaji tentang perkara ini, dan ia juga disyaki mempunyai perkaitan dengan COVID-19. Namun, setiap sesuatu perkara haruslah diuji dengan lebih banyak sebelum satu keputusan muktamad pasti dapat dibuat.

Berikut adalah maklumat yang diketahui oleh para doktor mengenai simptom ‘COVID toes’ setakat ini serta apa yang harus dilakukan sekiranya gejala ini timbul.

Bagaimana simptom ‘COVID toes’ kelihatan?

Simptom ‘COVID toes’ dilihat mirip dengan luka beku atau pernio, keadaan kulit yang meradang dan boleh menyebabkan luka. Ini menjadikan kawasan ini kelihatan bengkak dan berubah warna, biasanya berwarna merah atau ungu. Jari kaki juga mungkin adalah sensitif, gatal, atau menyakitkan dan mungkin juga terasa seperti membakar. Kulit yang terkesan mungkin akan mula retak dan mengelupas ketika memasuki fasa penyembuhan.

Selain itu, luka yang muncul di bahagian bawah atau bahagian atas jari kaki ini juga boleh muncul pada jari itu sendiri, walaupun ini jarang berlaku, menurut Ebbing Lautenbach, M.D., Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit di ‘Perelman School of Medicine University of Pennsylvania’.

Lebih-lebih lagi, pesakit sering mengalami simptom ini tanpa tanda-tanda lain, seperti demam, batuk kering atau sesak nafas. Menurut Dr. Paller lagi, hampir semua individu yang melaporkan gejala ini tidak mempunyai tanda lain yang boleh dikaitkan dengan COVID-19, atau hanya berlaku dengan ringan sahaja.

Mengapa Coronavirus boleh menyebabkan simptom ‘COVID toes’?

Ianya masih menjadi satu persoalan tetapi pakar mengesyaki bahawa masalah kulit mungkin yang berlaku ini boleh terjadi disebabkan tindak balas keradangan secara semula jadi oleh tubuh terhadap virus atau “masalah pembekuan darah pada orang dengan jangkitan COVID-19”.

Memandangkan simptom ‘COVID toes’ ini lebih biasa memberi kesan pada orang muda, ini boleh menjadi satu petunjuk. Tindak balas imun secara umumnya memang diketahui menjadi kurang kuat seiring dengan pertambahan usia. Jadi, ia mungkin merupakan tanda “tindak balas imun yang cepat” terhadap virus yang menyerang badan, tetapi lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui keadaan ini dengan pasti.

Pakar dermatologi juga mengesyaki adanya perkaitan serupa pada pesakit COVID-19 yang mengalami ruam kulit. Menurut golongan pakar ini, ianya masih tidak diketahui mengapa kebanyakan virus yang menyebabkan jangkitan saluran pernafasan atas juga boleh menyebabkan ruam pada kulit yang dikenali sebagai exanthems. Ia mungkin merupakan satu jenis reaksi oleh sistem kekebalan terhadap virus ataupun virus itu sendiri yang mungkin mempunyai kesan langsung pada kulit individu.

Apa yang harus anda lakukan sekiranya anda merasakan bahawa anda mempunyai simptom ini?

Biasanya, simptom COVID toes yang dikaitkan dengan COVID-19 adalah bersifat negatif, namun lain pula bagi simptom ini. Ini adalah kerana ‘COVID toes’ ini mungkin boleh menjadi petanda bahawa badan anda sedang membaik. Namun, tiada bukti kuat bahawa adanya virus yang aktif pada golongan ini.

Tambahan lagi, simptom ini mungkin akan hilang sendiri tanpa anda sedari. Biasanya, ia boleh sembuh setelah sekitar tujuh hingga 10 hari. Sekiranya terdapat rasa sakit atau bengkak yang tidak selesa, Dr. Paller mengesyorkan penggunaan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID), seperti Advil atau Aleve. Bagi masalah kegatalan pula, kortikosteroid topikal seperti Cortizone dapat berfungsi dengan baik.

Memandangkan doktor tidak mengetahui dengan tepat bila luka ini mungkin muncul dalam perkembangan penyakit ini, ianya tidak salah jika individu mahu mendapatkan pendapat kedua daripada pakar dermatologi sekiranya ubat yang dipreskripsi ternyata tidak membantu. Masalah kulit boleh sahaja terjadi disebabkan pelbagai faktor kerengsaan dan ada kemungkinan bahawa pesakit ini berurusan dengan perkara lain bukannya COVID-19. Dr. Paller juga mengatakan bahawa ianya adalah sangat penting untuk individu berbincang dengan doktor sekiranya terdapat gejala COVID-19 yang lain. Ini membolehkan pakar perubatan membimbing individu dengan langkah seterusnya yang bersesuaian dengan keadaan anda.

Justeru itu, ianya adalah penting untuk mengetahui bahawa COVID-19 terjadi disebabkan virus baru yang mana maklumat tentangnya masih banyak perlu dikaji oleh pakar-pakar perubatan di luar sana. Ini termasuklah cara ia memberi kesan kepada tubuh. Penemuan beberapa gejala selain masalah pernafasan dan demam boleh memakan masa sebelum ia dapat dikaji sepenuhnya. Lebih banyak pemerhatian dan pembelajaran daripada pesakit COVID-19, lebih banyaklah yang boleh dipelajari tentang virus ini termasuklah perkara-perkara yang tidak pernah dikaji sebelum ini.

Kredit: Sumber info dan gambar diambil daripada prevention.com

SUMBER

https://www.thestar.com.my/news/world/2020/05/17/covid-toes–other-rashes-latest-possible-rare-virus-signs

https://www.livescience.com/frostbite-toes-covid-19.html

https://www.nytimes.com/2020/05/01/health/coronavirus-covid-toe.html

error: Content is protected !!