Demam Scarlet yang juga dikenali sebagai Scarlatina adalah sejenis jangkitan yang boleh dihidapi oleh individu dengan sakit tekak ‘streptokokus’. Simptom yang kelihatan dari Demam Scarlet adalah kemunculan ruam berwarna merah terang pada badan dan sakit tekak yang biasanya disertai oleh demam panas. Bakteria sama yang menyebabkan sakit tekak streptokokus juga boleh menyebabkan Demam Scarlet.
Ia sering berlaku pada kanak-kanak berumur antara 5 tahun hingga 15 tahun. Pada zaman dahulu, ia dikategorikan sebagai sejenis penyakit serius yang menyerang kanak-kanak, tetapi ia tidak lagi begitu berbahaya sekarang. Sekiranya rawatan antibiotik digunakan pada peringkat awal penyakit, ia boleh memulihkan penyakit ini dengan pantas dan mengurangkan simptom yang dialami.
Simptom Demam Scarlet
Simptom dan gejala biasanya muncul dalam 1 hari hingga 4 hari selepas jangkitan. Simptom awal demam scarlet adalah:
- Tekak merah, sakit, kadang-kadang disertai dengan tompok putih atau kuning
- Demam bersuhu tinggi 38°C keatas. Badan pula kerap menggigil.
Selepas mengalami simptom awal dari 12 hingga 48 jam, ruam akan muncul.
Ruam tersebut kelihatan seperti tompokan merah dan akan bertukar menjadi merah jambu lembut yang membuatkan kulit anda kelihatan seperti terbakar. Apabila kulit disentuh, anda akan merasakannya kasar seperti menyentuh kertas pasir.
Ruam ini boleh merebak ke seluruh bahagian tubuh badan seperti telinga, leher, siku, paha, pangkal paha, dada dan bahagian tubuh juga yang lain.
Ia jarang muncul di muka tetapi pipi pesakit akan menjadi merah dan kawasan sekitar mulut menjadi pucat.
Sekiranya anda menekan ruam pada kulit, ruam tersebut akan berubah menjadi putih.
Selepas 6 hari berlalu, ruam biasanya akan pudar. Dalam kes-kes yang lebih ringan, ruam merupakan satu-satunya simptom yang dialami oleh pesakit.
Simptom lain demam scarlet yang mungkin dialami termasuklah:
- Kesukaran untuk menelan
- Merasa tidak sihat
- Sakit kepala
- Gatal-gatal
- Loya, muntah, kehilangan selera makan, dan sakit perut
- Terdapat salur darah yang rosak pada lipatan badan seperti ketiak, pangkal paha, siku, lutut, dan leher, yang dikenali sebagai garis pastia
- Kelenjar leher atau nodus limfa membengkak dan berasa lembut apabila disentuh
- Muncul salutan berwarna putih pada lidah yang akan mengelupas hingga menyebabkan lidah kelihatan merah dan bengkak seakan ‘strawberi’
Punca Demam Scarlet
Demam Scarlet berpunca daripada sejenis bakteria sama yang turut menyebabkan sakit tekak streptokokus. Apabila demam panas, bakteria tersebut melepaskan toksin yang menghasilkan ruam dan mengakibatkan lidah menjadi merah.
Jangkitan tersebut merebak dari satu individu ke individu yang lain melalui titisan yang dikeluarkan apabila individu yang dijangkiti batuk atau bersin. ‘Tempoh inkubasi’ iaitu masa antara pendedahan dan penyakit biasanya berlangsung selama dua hingga empat hari.
Diagnosis Demam Scarlet
- Pemeriksaan lidah, tekak dan tonsil. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal terlebih dahulu untuk memeriksa tanda-tanda dan simptom yang dialami. Prosedur pertama ujian yang dijalankan adalah memeriksa keadaan lidah, tekak dan tonsil anak anda. Seterusnya, doktor akan mencari nodus limfa yang besar dan memeriksa rupa serta tekstur ruam.
- Ujian ‘swab’ tekak. Sekiranya doktor mengesyaki anak anda menghidapi Demam Scarlet, sampel di belakang tekak anak anda akan diambil untuk dianilisis dengan lebih terperinci. Kaedah ini dipanggil ‘swab’ tekak dan ia digunakan untuk mewujudkan kultur tekak.
Kemudian, sampel akan dihantar ke makmal untuk menentukan sama ada terdapat kehadiran bakteria streptokokus kumpulan A dalam sampel yang diambil. Selain itu, doktor juga boleh melakukan ujian tekak pantas di klinik untuk mengenalpasti jangkitan streptokous kumpulan A pada hari yang sama.
Faktor Risiko Demam Scarlet
Kanak-kanak yang berumur di antara 5 hingga 15 tahun lebih cenderung menghidapi Demam Scarlet. Bakteria demam ini lebih mudah tersebar di kalangan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit seperti ahli keluarga atau rakan sekelas.
Rawatan Demam Scarlet
Jika anak anda menghidap Demam Scarlet, doktor anda akan memberikan antibiotik. Pastikan anak anda menghabiskan ubat ini. Kegagalan mematuhi garis panduan rawatan mungkin tidak dapat menghilangkan jangkitan sepenuhnya dan akan meningkatkan risiko anak anda mengalami komplikasi.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/scarlet-fever/symptoms-causes/syc-20377406