Now Reading
Dermatitis Seborrheic (Seborrheic dermatitis) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Dermatitis Seborrheic (Seborrheic dermatitis) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

dermatitis seborrheic

Kulit merah, ruam dan gatal pada kulit kepala anda yang bersisik berkemungkinan adalah dermatitis seborrheic, atau juga dikenali sebagai seborrhea. Ia merupakan penyakit kulit yang biasa dan kelihatan sama seperti psoriasis, ekzema atau sejenis reaksi alahan. Selain itu, ia juga boleh muncul pada badan serta kulit kepala anda.

Penyakit dermatitis seborrheic boleh hilang tanpa sebarang rawatan. Namun begitu, anda mungkin perlu melakukan banyak rawatan secara berulang sebelum simptom itu hilang. Ia juga boleh kembali semula. Pembersihan harian dengan sabun dan syampu yang lembut dapat membantu mengurangkan pembentukan kulit berminyak dan kulit mati.

Di samping itu, keadaan ini juga dikenali sebagai kelemumur, ekzema seborrheic dan psoriasis seborrheic. Bagi bayi, keadaan ini dikenali sebagai kulit kepala bersisik dan menyebabkan tompok-tompok yang berkerak, bersisik pada kulit kepala.

 

Simptom Dermatitis Seborrheic

Kelemumur dan kulit kepala bersisik adalah nama umum bagi masalah dermatitis seborrheic. Bayi yang berumur 3 bulan dan ke bawah sering mendapat keadaan ini: kerak kuning atau coklat pada kulit kepala mereka. Ia biasanya hilang sebelum mereka berusia setahun, namun ia boleh kembali semula apabila mereka mencecah akil baligh.

Anda juga mungkin mendapat dermatitis seborrheic pada bahagian wajah, terutamanya di sekitar hidung, kening, pada kelopak mata atau di belakang telinga anda. Ia juga boleh muncul pada bahagian badan seperti:

  • Bahagian tengah dada.
  • Sekitar pusat.
  • Pada punggung.
  • Dalam lipatan kulit di bawah lengan dan kaki.
  • Pangkal paha.
  • Bawah payudara.

Bagi bayi, dermatitis seborrheic mungkin disalah anggap sebagai ruam yang berlaku disebabkan penggunaan lampin.

Kulit boleh menjadi gatal, pedih, atau kelihatan merah. Di samping itu, kulit yang mengelupas mungkin berwarna putih atau kekuningan serta kelihatan lembap atau berminyak.

Memandangkan ia boleh kelihatan seperti keadaan kulit yang lain, anda sepatutnya merujuk doktor untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang betul. Ahli dermatologi akan bertanya mengenai sejarah perubatan dan melihat kulit anda. Ujian lain mungkin diperlukan jika doktor merasakan bahawa ia berkaitan dengan keadaan perubatan yang lain.

 

Punca Dermatitis Seborrheic

Punca sebenar yang menyebabkan masalah dermatitis seborrheic masih tidak diketahui. Namun, ia boleh berlaku disebabkan gabungan beberapa perkara seperti:

  • Tekanan.
  • Gen anda.
  • Yis yang biasanya hidup di atas kulit.
  • Sesetengah keadaan perubatan dan ubat-ubatan.
  • Cuaca sejuk, kering.

Penyakit ini juga tidak berlaku kerana faktor alergi atau keadaan yang tidak bersih. Bayi yang baru lahir dan orang dewasa yang berusia 30-60 tahun lebih cenderung mendapat dermatitis seborrheic. Ia juga lebih lazim berlaku pada golongan lelaki berbanding wanita terutamanya pada orang dengan kulit berminyak. Keadaan perubatan ini juga boleh meningkatkan risiko anda mendapat penyakit dermatitis seborrheic:

 

Diagnosis Dermatitis Seborrheic

Doktor mungkin akan dapat mengesan sama ada anda mempunyai dermatitis seborrheic atau tidak dengan memeriksa kulit anda. Dia boleh mengikis sel-sel kulit sebagai pemeriksaan (biopsi) untuk menolak masalah kesihatan lain yang mempunyai simptom serupa dengan dermatitis seborrheic, termasuk:

 

  • Psoriasis. Gangguan ini juga menyebabkan kelemumur dan kulit merah yang ditutupi dengan kulit bersisik. Dalam keadaan psoriasis, anda biasanya akan mempunyai lebih banyak sisik yang berwarna putih keperakan.
  • Dermatitis atopic (ekzema). Reaksi kulit ini menyebabkan kulit yang gatal dan meradang pada lipatan siku, belakang lutut atau di bahagian depan leher. Masalah ini juga sering berulang.
  • Tinea versikolor. Ruam ini muncul pada bahagian batang tetapi biasanya tidak merah seperti tompok dermatitis seborrheic.
  • Rosacea. Keadaan ini biasanya berlaku di muka dan mempunyai sisik yang sangat sedikit.

 

Faktor Risiko Dermatitis Seborrheic

Beberapa faktor boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat dermatitis seborrheic, termasuk:

 

  • Keadaan neurologi dan psikiatri, seperti penyakit Parkinson dan kemurungan.
  • Pemulihan daripada keadaan perubatan yang tertekan, seperti serangan jantung.
  • Beberapa jenis ubat.

 

Rawatan Dermatitis Seborrheic

Syampu, krim dan losyen ubat adalah rawatan utama untuk dermatitis seborrheic. Doktor mungkin akan mengesyorkan anda untuk mencuba rawatan di rumah, seperti syampu kelemumur yang tidak dipreskripsi sebelum mempertimbangkan ubat-ubatan preskripsi. Jika rawatan di rumah tidak membantu, berbincang dengan doktor anda untuk mencuba rawatan ini.

 

  • Krim, syampu atau minyak yang mengawal keradangan. Preskripsi kuat hidrokortison, fluocinolone (Capex, Synalar), clobetasol (Clobex, Cormax) dan desonide (Desowen, Desonate) adalah kortikosteroid yang anda gunakan untuk kulit kepala atau kawasan lain yang terjejas. Ia berkesan dan mudah digunakan, tetapi harus digunakan secara berhati-hati. Jika digunakan selama beberapa minggu atau beberapa bulan tanpa henti, ia boleh menyebabkan kesan sampingan, seperti kulit menipis atau kulit yang menunjukkan garisan atau calar.

Selain itu, krim atau losyen yang mengandungi perencat calcineurin tacrolimus (Protopic) dan pimecrolimus (Elidel) mungkin berkesan dan mempunyai kesan sampingan yang kurang berbanding kortikosteroid.

 

  • Gel, krim atau syampu antikulat yang berselang dengan ubat lain. Bergantung pada kawasan yang terjejas dan betapa seriusnya simptom anda, doktor mungkin menetapkan produk dengan 2 peratus ketoconazole (Nizoral) atau 1 peratus ciclopirox. Di samping itu, doktor juga boleh menetapkan kedua-dua produk untuk digunakan secara berselang seli.
  • Ubat antikulat yang anda ambil sebagai pil. Jika keadaan anda tidak bertambah baik dengan rawatan lain, doktor boleh mengesyorkan ubat antikulat dalam bentuk pil. Ini bukanlah pilihan rawatan pertama kerana berkemungkinan mempunyai kesan sampingan dan interaksi dengan dadah.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/seborrheic-dermatitis/symptoms-causes/syc-20352710

https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/seborrheic-dermatitis-medref

https://www.medicalnewstoday.com/articles/319113

https://www.healthline.com/health/skin-disorders/seborrheic-dermatitis-natural-treatment

error: Content is protected !!