Now Reading
Dermatologi – Kulit

Dermatologi – Kulit

Dermatologi

Pengenalan

Dermatologi adalah cabang perubatan yang menangani kulit dan penyakit yang berkaitan. Pakar dermatologi mendiagnosis dan merawat masalah yang berkaitan dengan kulit, kulit kepala, rambut dan kuku. Malah, mereka juga boleh memberi nasihat kepada pesakit mengenai amalan penjagaan kulit yang baik untuk pelbagai keadaan kulit.

Kulit adalah bahagian organ tubuh yang terbesar dan paling kelihatan. Ia mencerminkan kesihatan tubuh dan bertindak sebagai penghalang terhadap kecederaan dan bakteria. Malangnya. hampir semua orang pernah mempunyai beberapa jenis penyakit kulit tidak kiralah bagi golongan bayi, kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan orang tua

Kepakaran pakar dermatologi

Pakar dermatologi mesti mempunyai kepakaran dalam sains asas termasuk mikrobiologi, patologi, biokimia, fizik, fisiologi dan endokrinologi. Mereka mesti mengetahui semua kepakaran perubatan yang lain kerana kerja rundingan mereka dan penyakit kulit sering dikaitkan dengan keadaan dalaman.

Selain itu, golongan pakar ini boleh melakukan pelbagai prosedur, yang kebanyakannya bersifat kosmetik. Ini termasuk suntikan pengisi kosmetik, penyingkiran rambut atau transplantasi, rawatan ‘intralesional’, terapi laser, terapi fotodinamik, fototerapi, penyingkiran tatu, ‘tumescent liposuction’, terapi radiasi dan pembedahan vitiligo.

Mereka juga melakukan pembedahan kulit dalam banyak keadaan iaitu:

  • Untuk mencegah atau memberikan kawalan penyakit awal, misalnya menghilangkan kanser kulit.
  • Untuk memperbaiki penampilan kulit dengan menghilangkan pertumbuhan, perubahan warna, atau kerosakan yang terjadi disebabkan oleh penuaan, sinar matahari atau penyakit.
  • Untuk menetapkan diagnosis yang pasti (biopsi).

Bila anda perlu dapatkan rawatan

Pakar dermatologi memainkan peranan penting dalam mendidik, menyaring, dan merawat pelbagai masalah kulit, termasuk:

  • Jerawat

Sekiranya anda mempunyai jerawat yang tidak bertindak balas terhadap rawatan kulit lain, anda mungkin mahu menjadualkan perjumpaan dengan pakar dermatologi. Pakar dermatologi dapat menentukan jenis rawatan preskripsi mana yang paling berkesan untuk merawat masalah jerawat dan gaya hidup anda.

  • Kanser kulit

Pakar dermatologi boleh memeriksa keadaan kanser kulit anda. Bercakap dengan doktor atau ahli dermatologi anda tentang berapa kerap anda perlu diperiksa bagi perubahan pada kulit anda. Pemeriksaan badan secara tahunan adalah sangat penting jika anda berada dalam kumpulan berisiko tinggi iaitu jika anda berambut cerah atau mata berwarna cerah, atau anda mempunyai sejarah kulit terbakar kerana sinar matahari.

  • Ekzema

Keadaan kulit kronik ini dicirikan oleh kerengsaan, gatal-gatal dan tompok kulit yang tidak stabil. Pakar dermatologi dapat membantu mencari cara untuk menguruskan masalah ekzema anda dan menetapkan rawatan yang diperlukan.

  • Kerosakan kulit

Sekiranya anda prihatin untuk meminimumkan kerosakan kulit atau merawat penuaan kulit, pakar dermatologi boleh mencadangkan perubahan produk atau gaya hidup yang mengurangkan pendedahan anda terhadap unsur-unsur yang merosakkan.

  • Psoriasis

Gangguan autoimun kronik ini boleh mempercepat pertumbuhan sel-sel kulit, mengakibatkan tompok-tompok kulit yang tebal, merah, ungu, atau berwarna perak dan bersisik.

  • Tanda-tanda penuaan

Kulit boleh berubah seiring dengan pertambahan usia. Anda mungkin melihat kedutan, kekeringan atau perubahan warna yang sering disebut bintik usia. Sinaran ultraviolet yang berbahaya dan faktor merokok dapat mempercepat dan memperburuk lagi tanda-tanda penuaan ini.

  • Rawatan parut

Ahli dermatologi boleh menawarkan rawatan kulit untuk memperbaiki penampilan bagi hampir semua jenis parut, termasuk parut jerawat dan parut keloid (timbul).

Anda boleh berbincang dengan pakar dermatologi mengenai sebarang masalah yang anda alami mengenai keadaan yang mempengaruhi penampilan anda. Ini termasuk;ah keguguran rambut, tanda regangan, perubahan warna dan banyak lagi.

Prosedur rawatan dermatologi

Pakar dermatologi boleh menggunakan pelbagai prosedur perubatan dan kosmetik untuk menguruskan masalah yang mempengaruhi kulit, kuku dan rambut.

Ubat-ubatan dan terapi tidak invasif dapat merawat banyak keadaan kulit, sementara yang lain mungkin memerlukan pendekatan yang lebih invasif. Prosedur ini boleh dibuat dalam keadaan pesakit luar, seperti pejabat doktor atau di hospital.

Biopsi kulit

Ahli dermatologi biasanya akan melakukan biopsi kulit untuk mendiagnosis atau mengetepikan keadaan tertentu. Mereka biasanya menggunakan salah satu daripada tiga pendekatan berikut:

  • Biopsi cukur yang menghilangkan bahagian kecil lapisan kulit atas.
  • Biopsi pukulan yang membuang bahagian kulit yang kecil dan bulat, termasuk lapisan yang lebih dalam.
  • Biopsi potongan yang membuang seluruh kawasan kulit yang kelihatan tidak sihat.

Kupasan kimia (Chemical peels)

Ini melibatkan penggunaan larutan kimia yang menyebabkan lapisan kulit mengelupas, menampakkan kulit yang tumbuh semula di bawah yang biasanya lebih halus. Ahli dermatologi menggunakan prosedur ini untuk merawat kulit yang rosak akibat sinar matahari dan beberapa jenis jerawat. Ia juga dapat mengatasi masalah kosmetik, seperti bintik-bintik usia dan garis di bawah mata.

‘Cryotherapy’

‘Cryotherapy’ boleh menjadi rawatan cepat untuk kebanyakan masalah kulit jinak, seperti ketuat. Prosedur ini melibatkan pembekuan luka kulit yang selalunya menggunakan nitrogen cair untuk memusnahkan sel-sel yang terjejas.

Pembedahan mikrografik Mohs

Pembedahan Mohs adalah rawatan untuk kanser kulit. Pertama, ahli dermatologi akan membuang lapisan kulit untuk menyingkirkan sel kanser, kemudian memeriksanya di bawah mikroskop. Mereka kemudian membuang lapisan secara berturut-turut sehingga tiada lagi sel kanser. Namun, pembedahan ini memerlukan latihan yang khusus.

Pembedahan kosmetik

Banyak ciri fizikal yang berjaya diubah melalui pembedahan kosmetik. Pembedahan kosmetik boleh dilakukan di mana-mana bahagian muka dan badan.

Ini merangkumi:

  • Botox
  • Kupasan kimia
  • ‘Face-lift’
  • Masalah kulit (noda, penyembuhan bekas luka, penyingkiran tatu)
  • ‘Blepharoplasty’ (pembedahan kelopak mata)

Pembuangan bulu badan

Pakar dermatologi boleh menggunakan pelbagai kaedah untuk mengatasi keguguran rambut, termasuk pemindahan. Sebagai alternatif, mereka boleh menghilangkan bulu badan yang tidak diingini dengan menggunakan laser.

Pembedahan laser

Ahli dermatologi juga boleh menggunakan pembedahan laser untuk merawat pelbagai masalah kulit atau keluhan kosmetik, termasuk:

  • ketumbuhan
  • ketuat
  • tahi lalat
  • tatu yang tidak diingini
  • tanda lahir
  • parut
  • kedutan

‘Dermabrasion’

‘Dermabrasion’ dapat membantu mengurangkan tisu parut, kemunculan kedutan dan tatu halus dan kawasan kulit yang berpotensi menjadi kanser. Dengan menggunakan sikat berputar berkelajuan tinggi, pakar dermatologi boleh menghilangkan lapisan atas kulit.

Anggaran kos

Kos rawatan dermatologi adalah berbeza-beza mengikut keadaan anda. Biasanya, bagi pemeriksaan awal bersama doktor di hospital kerajaan, anda hanya akan dikenakan caj sebanyak RM5 sahaja, tetapi kos rawatannya mungkin berbeza.

Ini berbeza dengan hospital swasta di mana kos perjumpaan bersama pakar dermatologi sahaja boleh mencecah sehingga RM 300 bagi setiap perjumpaan. Harga rawatannya juga boleh bervariasi dan mencecah lebih tinggi daripada itu.

Bagi pembedahan laser, harganya boleh bervariasi daripada RM 1.5 ribu dan ke atas. Selain itu, bagi prosedur ‘chemical peel’ harganya mungkin adalah sekitar RM250 bagi setiap sesi namun kos tersebut boleh berubah mengikut keadaan kulit anda serta caj yang dikenakan oleh doktor. Prosedur botox pula mungkin berharga dalam lingkungan RM 1.3 ribu hingga RM 2 ribu bergantung pada bahan kimia yang digunakan oleh pakar dermatologi anda.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/286743

https://dermnetnz.org/topics/what-is-a-dermatologist-what-is-dermatology

https://www.healio.com/news/dermatology/20120620/what-is-dermatology

https://www.medicalnewstoday.com/articles/286743#procedures

https://www.mayoclinic.org/departments-centers/dermatology/sections/tests-procedures/orc-20420535

https://www.everydayhealth.com/skin-and-beauty/should-you-see-a-dermatologist.aspx

https://www.healthgrades.com/right-care/skin-hair-and-nails/10-reasons-to-see-a-dermatologist

error: Content is protected !!