Diabetic Ketoacidosis merupakan komplikasi diabetes yang serius dan boleh mengancam nyawa. Ia berlaku ketika tubuh mula memecahkan lemak dengan kadar yang terlalu cepat. Kemudian, hati memproses lemak-lemak tersebut menjadi bahan bakar yang disebut keton, menyebabkan darah menjadi berasid.
Ketoasidosis adalah berbeza sama sekali dengan ketosis. Anda jangan keliru ya. Ketosis tidak berbahaya. Ketosis berlaku apabila anda mengambil diet karbohidrat yang sangat rendah, di mana ia dikenali sebagai diet ketogenik, atau berpuasa.
Manakala, Diabetic Ketoacidosis berlaku apabila anda tidak mempunyai insulin yang cukup di dalam badan untuk memproses kadar glukosa yang tinggi dalam darah. Ia jarang berlaku pada orang yang menghidap diabetes jenis 2 kerana tahap insulin biasanya tidak begitu rendah; namun, ia boleh berlaku.
Diabetic Ketoacidosis mungkin merupakan tanda pertama diabetes jenis 1, kerana penghidap penyakit ini tidak dapat menghasilkan insulin dengan sendiri.
Simptom-simptom Diabetic Ketoacidosis
Simptom dan gejala bagi diabetic ketoacidosis bertindak balas dengan sangat cepat, kadang-kadang dalam masa 24 jam sahaja seseorang yang menghidap penyakit ini sudah mula menunjukkan simptomnya.
Bagi sesetengah orang, simptom yang ditunjukkan ini mungkin merupakan petunjuk pertama yang mereka sebenarnya menghidap diabetes. Antara simptom tersebut adalah seperti berikut: –
- Haus yang melampau
- Kerap membuang air kecil
- Pening dan muntah
- Sakit perut
- Lemah, tidak berdaya atau kelihatan sangat letih
- Sesak nafas
- Nafas berbau harum seperti buah-buahan
- Kekeliruan
Selain itu, simptom-simptom yang lebih spesifik pula dapat dikesan melalui alat ujian darah dan air kencing di rumah. Ia termasuk: –
- Tahap gula dalam darah tinggi
- Tahap keton tinggi dalam air kencing
Punca Diabetic Ketoacidosis
Diabetic Ketoacidosis berlaku apabila kadar gula dalam darah sangat tinggi manakala insulin pula berada di tahap yang rendah. Badan kita memerlukan insulin untuk menggunakan glukosa yang ada dalam darah.
Untuk mereka yang mengalami masalah ini, glukosa tidak dapat masuk ke dalam sel, jadi ia terkumpul sehingga menyebabkan kadar gula dalam darah menjadi tinggi.
Sebagai tindak balas, badan mula memecahkan lemak menjadi bahan bakar yang tidak memerlukan insulin. Bahan bakar itu dipanggil keton.
Apabila terlalu banyak keton terbentuk, darah anda menjadi berasid. Ini yang dinamakan Diabetic Ketoacidosis.
Punca Diabetic Ketoacidosis yang paling biasa adalah:
- Tertinggal satu suntikan insulin atau tidak mendapat suntikan insulin yang mencukupi
- Penyakit atau jangkitan
- Pam insulin tersumbat (bagi orang yang menggunakannya)
Siapa Yang Berisiko Menghidap Diabetic Ketoacidosis?
Risiko menghidap masalah ini adalah lebih tinggi sekiranya anda: –
- Menghidap diabetes jenis 1
- Berumur bawah 19 tahun
- Mempunyai sejarah trauma, sama ada emosi atau fizikal
- Stress
- Demam panas
- Pernah mengalami serangan jantung atau strok
- Merokok
- Ketagihan dadah atau alkohol
Walaupun Diabetic Ketoacidosis jarang berlaku pada orang yang menghidap diabetes jenis 2, tetapi terdapat juga kes di mana ia berlaku. Sebilangan orang yang menghidap diabetes jenis 2 dianggap “ketone prone” dan berisiko tinggi mendapat penyakit ini. Pengambilan sesetengah ubat juga boleh meningkatkan risiko Diabetic Ketoacidosis.
Rawatan Diabetic Ketoacidosis
Sekiranya anda tidak merawat penyakit ini, anda mungkin boleh pengsan atau koma serta ia juga mampu meragut nyawa anda. Oleh itu, anda hendaklah pergi ke hospital untuk merawat Diabetic Ketoacidosis.
Di sana, anda akan mendapat rawatan kecemasan seperti: –
- Suntikan insulin melalui IV untuk menurunkan keton
- Cecair untuk membuat anda terhidrat dan mengembalikan keseimbangan darah kimia
- Penggantian elektrolit melalui IV untuk menggantikan mineral utama seperti natrium, kalium, dan klorida untuk memastikan jantung, otot, dan saraf anda berfungsi dengan baik
- Antibiotik, sekiranya anda mempunyai jangkitan
- Sekiranya doktor mengesyaki anda berisiko terkena serangan jantung, penilaian jantung selanjutnya akan dilakukan
Langkah-Langkah Dalam Mencegah Diabetic Ketoacidosis
Doktor mungkin mengubah dos insulin anda, atau apa-apa jenis yang anda gunakan, untuk mengelakkan Diabetic Ketoacidosis berulang.
Pengawalan gula dalam darah yang baik membantu anda mengelakkan ketoasidosis pada masa akan datang. Pastikan anda menguruskan diabetes melalui diet, senaman, ubat-ubatan, dan rawatan diri.
Ikuti langkah-langkah di bawah ini untuk mencegah Diabetic Ketoacidosis:
- Minum banyak air kosong atau minuman tanpa alkohol dan gula.
- Ambil ubat seperti yang diarahkan.
- Mengamalkan pengambilan diet yang seimbang.
- Sentiasa bersenam.
- Melakukan ujian gula dalam darah dengan kerap.
- Periksa insulin yang telah tamat tempoh.
- Jangan gunakan dos insulin anda jika mempunyai gumpalan. Insulin sepatutnya jelas atau keruh sekata dengan bintik-bintik kecil.
- Sekiranya anda menggunakan pam insulin, perhatikan kebocoran insulin dengan teliti, dan periksa sambungan tiub anda untuk melihat gelembung udara.
- Memberitau doktor jika tahap gula dalam darah anda sering berada di luar jangkauan sasaran anda.
- Uruskan dos insulin anda dengan bantuan doktor atau jurulatih diabetes. Lakukan penyesuaian berdasarkan tahap gula dalam darah, apa yang anda makan, tahap aktiviti, atau semasa penyakit.
- Buat rancangan kecemasan Diabetic Ketoacidosis. Sekiranya kadar gula dalam darah anda terlalu tinggi atau air kencing anda mempunyai keton terlalu banyak, terus pergi ke hospital.
Sumber:
https://www.healthline.com/health/type-2-diabetes/ketoacidosis#takeaway
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/diabetic-ketoacidosis/symptoms-causes/syc-20371551