Now Reading
Doa Yasin: Adab Dan Tatacara Bacaannya.

Doa Yasin: Adab Dan Tatacara Bacaannya.

Doa Yasin

Amalan membaca surah dan doa yasin sememangnya tidak asing bagi masyarakat kita. Bukan itu sahaja, jika terdapat majlis-majlis kesyukuran, perkahwinan mahupun kematian amalan membaca yasin sering di bacakan. Kadang-kadang  cetakan Surah Yasin juga di jadikan goodies untuk tetamu.

Mari kita kenali surah Yasin ini. Surah Yasin merupakan surah Makkiyah iaitu salah satu surah yang diturunkan di tanah suci Mekah.  Ia merupakan surah yang ke 36 berada pada penghujung juzuk 22 dan pembuka juzuk 23. Surah ini mengandungi 83 ayat dan sering menjadi amalan bacaan pada bila-bila masa.

Berdasarkan sebuah hadis, di dalam kitab Taurat surah Yasin dinamakan sebagai Mub’mah iaitu pemberi berita baik. Hal ini demikian kerana surah tersebut berupaya untuk membawa manfaat kepada pembacanya di kehidupan dunia dan juga akhirat.

Selain itu ‘Rafi’ah Khafidah’ juga merupakan gelaran bagi surah yasin yang bermaksud  yang mengangkat darjat orang yang beriman dan menurunkan darjat orang yang ingkar. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa Allah SWT membaca surah Yasin dan Taha sebelum Nabi Adam A.S langit dan bumi diciptakan seribu tahun lamanya.

Pada ketika itu para malaikat mendengarkan bacaan tersebut dan berkata “Umat di mana al-Quran diturunkan akan dirahmati, hati-hati yang menghafalnya akan di Rahmati dan lidah-lidah yang membacanya juga akan dirahmati.”

Waktu yang sering Dibacakan Surah Yasin

  • Setiap malam Jumaat
  • Memulakan atau menutup majlis ta’lim
  • Ketika ada atau setelah kematian
  • Tahlil arwah
  • Majlis doa selamat
  • Selepas solat Hajat terutamanya ketika menjelang peperiksaan sekolah

Adab-Adab Membaca Surah Yasin

Terdapat beberapa adab semasa membaca surah Yasin seperti :

  • Bacalah dengan tertib dan tartil, iaitu membaca dengan cara yang betul sebutan hurufnya, mematuhi segala hukum tajwidnya dan cara bacaannya.
  • Bacalah dengan perlahan-lahan, tidak terlalu laju, fahami isi kandungannya serta dengan keadaan khusyuk dan tawadduk.
  • Jika membaca secara beramai-ramai, hendaklah dibaca secara serentak dan mengikut imam.
  • Bersiwak
  • Diri berada dalam keadaan suci dan bersih dari hadas kecil dan besar.
  • Berwuduk atau bertayyamum bagi yang ketiadaan air.
  • Menjaga kebersihan dan keselamatan tempat.
  • Mengadap kiblat.
  • Digalakkan untuk bertasbih, beristia’zah dan meminta doa ketika membaca ayat yang berkaitan dengan kebesaran Allah SWT, azab dan rahmat.
  • Menjauhkan diri dari bergelak ketawa, bersorakan, bercakap-cakap, bermain-main dengan tangan dan melihat perkara yang melalaikan ketika membaca al-Quran seperti melihat handphone melainkan ada perkara penting.
  • Melihat al-Quran lebih digalakkan dari membaca secara hafazan.
  • Digalakkan untuk mencantikkan suara dan bacaan.
  • Menjaga makna pada setiap Ibtida’ dan wakafnya.
  • Digalakkan untuk beristia’zah untuk mengulang bacaan ketika terputus, seperti menjawab salam dan menjawab bersin.

Tatacara Membaca Surah Yasin

Sebelum membaca surah Yasin pastikan anda berada dalam keadaan yang berwuduk dan niatkan di dalam hati bacaan ini hanya kerana Allah SWT dan mulakan Langkah-langkah berikut:

1.Membaca istighfar sebanyak 3 kali.

Astagfirullah hal Aazim

2.Membaca surah al-Fatihah 1 kali.

3.Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebanyak 10 kali.

Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammadin wa ‘ala Aalihi wasohbihi wabarik wassalim

Setelah selesai ketiga-tiga perkara tersebut barulah membaca surah Yasin

Bacaan Doa Yasin

Setelah selesai membaca surah Yasin anda digalakkan untuk membaca doa seperti berikut:

Bacaan Rumi: Alhamdulillah hi rabbil ‘alamin, hamdai yuwafi ni ‘amahi wa yukafi u mazidah, ya rabbana lakal hamdu kama yambaghi lijalali wajhika wa’azimi sultonik. Allahumma solli wasallim ‘ala saiyidina muhammadin solatan tunjina biha min jami ‘il ahwali wal afat, wa taqdi lana biha jami ‘al hajat, wa tutohhiruna biha min jami ‘issayyiats, wa tarfa’una biha ‘indaka a’laddarajat, wa tu ballighuna biha aqsal ghoyati min jami ‘il khoirati fil hayati wa ba’dal mamat, wa ‘ala alihi wa sohbihi wasallim tasliman kathiro bihrohmatika ya arhamar rohimin.

Ertinya: Segala puji bagi Allah S.W.T., Tuhan yang mentadbir seluruh alam, pujian yang melengkapi segala nikmat dan limpah kurniaNya. Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian seperti yang selayaknya dengan kebesaran zat dan keagunganMu. Ya Allah, cucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W. dan keluarga serta semua sahabat baginda.

Bacaan Rumi: Allahumma bihakki yasin. Wal quranil hakim. wa bimanikh tartahu birrisalati wannubuwwati wal wilayati wal hidayati ila sirotim mustaqim, wa bi jami’ima ja abihi minka jibrilu tanzilal ‘azizir rahim, wa bi khowassil hurufi wal asma ittammat, wa bima azharta fil wujudi likulli maujudim minal ayatil bayyinat, wa bi khifiyi lutfikal mufarriji ‘an kulli mahmun, wa mahzunil munaffisi ‘an kulli mazlumin wa madyun, wal mukhollisi likullim masjun, ya mujriwal bihari wal ‘uyun, ya man ja’ala khoza i nuhu bainal kafi wannun, wa ‘alima bima kana qobla aiyakun

Ertinya : Ya Allah wahai Tuhan kami, dengan keberkatan surah Yasin dan kitab al-Quran al-Hakim dan sesiapa yang Engkau pilih untuk membawa risalah, kenabian, kerasulan, pemerintahan dan petunjuk ke jalan yang betul hingga titian Sirat al-MustaqimMu. Dengan kitab al-Quran yang dibawa oleh malaikat Jibril dan dengan kekuatan huruf-huruf dan nama-nama yang sempurna yang Engkau miliki dan dengan apa yang Engkau perjelaskan dalam al-Quran tentang kewujudan setiap tanda-tanda yang menunjukkan (kewujudanNya), dan dengan limpah kurniaMu dapat menghilangkan keluh kesah dan dapat menyelesaikan beban hutang. Wahai Tuhan yang mengendalikan pergerakan laut dan matahari. Wahai Tuhan yang menjadikan khazanahNya di antara perkataan kaf dan nun daripada huruf KUN (ertinya jadilah maka yang dikehendakiNya pun jadi), Tuhan yang Maha Mengetahui sebelum dan selepas sesuatu keadaan.

Bacaan Rumi: Nas aluka allahumma antasluka bina jaddata ridhak, wa antaj ‘alana ahlau wa mahalal lisa ‘adatika wa ghinak, wa antuyasira lana jami ‘al muradatil wal matolib, wa antaj ‘alana baina ‘ibadika fi kulli halizofirol gholib, wa alla tuhwi jana ila ahadim min kholqika fi amrina rizquna, wa an tarbuto alsinatul mutafauwihina bil makru hi fi haqqina, wa antuqrina harokatina bittaufiq, wa antaj ‘alan ridhoka ‘anna khairan musohibi lana wa rofiq, wa an tuthifana bil jalalati wal mahabah, wa an tamunna ‘alaina bisur’atil ijabah

Istajibil humma du’a ana x 3kali

wa haqqiq fika roja ana wa adkhilna fi hirzi lutfikal masuni bisirri qaulika haq, innama amruhi iza aro da shai an aiyaqulalahu kun fayakun, Subhanal munaffisi ‘an kulli mahmun, subhanal munaffisi ‘an kulli maghmun, subhanal munaffisi ‘an kulli madyun, subhana man amruhu iza arada shai an ai yaqu lalahu kun fayakun

Ertinya : Kami memohon kepadaMu Ya Allah agar Engkau membuka ruang keredhaanMu, jadikanlah kami Bersatu-padu memuji dan memuja kekayaanMu, dan kami mohon semoga Engkau permudahkan kami mencapai segala kehendak dan hajat kami. Engkau jadikanlah keredhaanMu sebagai peneman hidup kami dan dengan limpah kebesaranMu Engkau tunaikan permintaan kami secepat mungkin, perkenankanlah doa kami Ya Allah dan benarkanlah harapan kami disisiMu dan masukkanlah kami ke dalam rahsia firmanMu. Sesungguhnya kehendakMu apabila mengkehendaki sesuatu hanya dengan berkata : JADI, maka jadilah ia. Maha Suci Allah S.W.T. yang menguasai setiap sesuatu dan kepadaNyalah kembali semuanya. Maha Suci Allah S.W.T. yang menghapuskan segala kesedihan, Maha Suci Allah S.W.T. yang menghilangkan kesusahan dan Maha Suci Allah S.W.T. yang membantu menyelesaikan beban hutang dan Maha Suci Allah S.W.T. yang perbuatanNya apabila mengkehendaki sesuatu hanya dengan berkata : JADILAH, maka jadilah.

Bacaan rumi: Ya mufarrijal humum, ya mufarriju farrij, ya mufarriju farrij, farrij ‘anna humu mana ya wayyu ya qayyum, ya zal jalali wal iqram

Ertinya : Ya Allah Tuhan yang melepaskan segala kesusahan, hilangkan, hilangkan. Ya Allah Tuhan yang menghilangkan penderitaan. Wahai Tuhan yang menghilangkan, hilangkanlah, Wahai Tuhan yang menghilangkan, hilangkanlah, hilangkanlah dari kami dukacita. Wahai Tuhan Yang Hidup, Yang Kekal dan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.

Bacaan rumi: Wa sollallahu ‘ala saiyidina muhammadiu wa ‘ala alihi wa sohbihi wasallam, walhamudlillah hi rabbil ‘alamin

Ertinya : Dan Allah telah memberi rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W., keluarga dan para sahabatnya. Dan segala pujian bagi Allah S.W.T. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Setelah selesai berdoa sambung dengan surah-surah berikut:

  • Surah Al-Insyirah (1x)
  • Surah Al-Qadr (1x)
  • Surah Al-Fiil (1x)
  • Surah Al-Ikhlas (1x)
  • Surah Al-Falaq (x1)
  • Surah An-Naas (1x)

Kemudian selesai.

Kelebihan Membaca Surah Yasin

1. Melalui amalan membaca surah Yasin mampu melembutkan hati dan menghidarkan hati menjadi keras.

Daripada Abi Ja’far Muhammad bin Ali berkata: Barangsiapa yang mendepati hatinya keras, maka tulislah ayat يس وَالقُرْءَانِ di dalam bekas perak yang dicampur dengan Za’faran, kemudian minumlah airnya.

2. Ganjaran membaca surah Yasin diumpamakan seperti membaca al-Quran sebanyak 10 kali

Imam ad-Darimi meriwayatkan, Tirmizi, Muhammad bin Nasr dan Baihaqi di dalam kitab Syu’ab al-Imam daripada Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: ‘Sesungguhnya setiap sesuatu itu ada hati dan hati al-Quran itu ialah Yasin. Siapa yang membaca surah Yasin, Allah SWT tuliskan pahala bacaan untuknya sebanyak 10 kali bacaan al-Quran.’

Imam Tirmizi berkata selepas mentakhrijkan hadis ini:

Hadis ini adalah Gharib, ia tidak diketahui melainkan daripada hadis Humaid bin Abdul Rahman. Dalam sanadnya ada lelaki yang bernama Harun Abu Muhammad iaitu seorang syeikh yang tidak diketahui. Dalam hal ini, ada riwayat daripada Abi Bakar. Oleh yang demikian, tidak sah untuk melemahkan sanadnya.

3. Orang yang membaca surah Yasin akan diampunkan dosanya.

Diriwayatkan oleh imam Ad-Darimi, Abu Ya’la, Tabarani di dalam kitab Mu’ajam al-Awsat, Ibnu Mardawaih, Baihaqi di dalam kitab Syu’ab al-Iman, daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: ‘Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari semata-mata untuk mendapat redha Allah, diampunkan dosanya pada malam itu’

Ibnu Kathir berkata: “Sanadnya baik”

4. Surah Yasin juga merupakan surah yang meliputi kebaikan di dunia dan akhirat

Dinyatakan oleh Ibnu al-Durais, Ibnu Mardawaih, al-Khatib dan al-Baihaqi daripada Abu Bakar al-Siddiq berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

Surah Yasin dipanggil sebagai al-Mua’mminah di dalam Taurat. Yakni menjadikan orang yang membacanya mendapat kebaikan dunia dan akhirat secara menyeluruh, mendatangkan kesabaran pada ujian dunia dan akhirat dan membenteng dari kesengsaraan akhirat.

Ia juga digelar penghadang dan penuaian, iaitu menghalang dari kejahatan dan menunaikan setiap hajat bagi orang yang membacanya. Barangsiapa yang membacanya diberikan ganjaran 20 kali melakukan haji dan siapa yang mendengarnya diganjarkan seribu Dinar dijalan Allah.

Dan barangsiapa yang menulis kemudian meminumnya, dimasukkan ke dalam rongga tenggoroknya sebanyak seribu ubat, seribu nur, seribu keyakinan, seribu keberkatan, seribu rahmat dan menghilangkan segala keterlampauan dan keracunan.

5. Surah Yasin merupakan surah kebanggaan Nabi Muhammad SAW

Dikeluarkan oleh al-Bazzar daripada Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda berkenaan surah Yasin. Aku sangat menyukai sekiranya surah Yasin ada (dihafaz) di hati setiap orang daripada kalangan umatku

6. Amalan membaca surah Yasin setiap malam akan dikurniakan ganjaran mati syahid.

Dikeluarkan oleh Tabarani dan Ibnu Mardawaih, imam Suyuti berkata dengan sanad yang lemah daripada Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang sentiasa membaca surah Yasin setiap malam, kemudian meninggal, dia meninggal dalam keadaan mati syahid.

7. Melalui amalan membaca surah Yasin, pembacanya akan diberikan kemudahan dan kesenangan

Dinyatakan oleh Imam ad-Darimi daripada Ibnu Abbas berkata: Barangsiapa yang membaca surah Yasin ketika Subuh, diberikan kemudahan pada siang harinya hingga ke petang. Dan barangsiapa yang membacanya pada awal malam, diberikan kemudahan pada malamnya hingga ke waktu subuh.

8. Bacaan surah Yasin mampu memberikan keberkatan dan rahmat kepada si mati

Sebahagian ulama berpendapat amalan membaca surah Yasin ini mampu memudahkan perkara yang susah dan bacaan ke atas orang yang mati memudahkan roh keluar daripada jasad si mati dan dapat menurunkan rahmat keberkatanan.

Daripada Ma’qal bin Yasar berkata, Rasulullah SAW bersabda: Bacalah ia pada orang yang mati di kalangan kamu – yakni surah Yasin.

Imam Ahmad rahimallah berkata, kami diceritakan oleh Abu al-Mughirah, Safwan menceritakan kepada kami, berkata yang maksudnya: Para masyaikh pernah berkata: “Jika dibacakan – yakni surah Yasin – di sisi orang yang mati, ia dapat meringankannya.

Banyak sungguh kelebihan melalui amalan surah Yasin ini, semoga bermanfaat. Wallahu’alam!

SUMBER:

https://akuislam.com/blog/ibadah/doa-yasin/

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1096-irsyad-al-hadith-siri-ke-117-status-hadith-bacalah-yasin-kepada-orang-yang-mati

https://akumuslim.asia/doa-selepas-bacaan-yasin-kelebihan-bacaan-yasin/

error: Content is protected !!