Kemurungan tinggi doktor dan jururawat kini dalam kadar yang tinggi kerana mereka tiada masa berehat di rumah. Sekiranya anda berasa sukar untuk berada di rumah sepanjang masa, bayangkanlah perasaan doktor dan jururawat yang sedang bertugas di hospital merawat pesakit COVID-19. Sebaliknya, mereka mendedahkan diri mereka kepada risiko dan juga terpaksa menjauhkan diri dari ahli keluarga selama berminggu-minggu untuk mengelakkan penyebaran virus tersebut kepada keluarga tercinta.
Mereka bukan sahaja mengalami kebimbangan (anxiety) sewaktu merawat pesakit, malah terpaksa menghadapi keadaan di mana mereka tidak mempunyai peralatan perlindungan yang mencukupi dan perubahan protokol hospital yang kerap, sambil itu mengorbankan masa berkualiti bersama keluarga, pasangan dan anak-anak mereka.
Jadi, tidak mustahil jika kesihatan mental mereka terjejas. Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association telah menghitung risiko tersebut.
Kajian berbentuk kaji selidik itu menguji kesihatan mental seramai 1257 orang pekerja perubatan yang bertugas merawat pesakit COVID-19 di 34 hospital di China. Hasilnya? Agak tidak menyenangkan. Sebahagian besar daripada mereka dilaporkan mengalami simptom kemurungan (50%), kebimbangan (45%), insomnia (34%) dan tekanan psikologi (71.5%).
Golongan wanita dan jururawat dilaporkan mempunyai simptom yang paling teruk. Walau bagaimanapun, ia mungkin tidak mengejutkan kerana mereka sentiasa dipanggil untuk melakukan tugas-tugas emosional, seperti menenangkan pesakit sambil menahan perasaan mereka sendiri, sehingga boleh menjejaskan keadaan mereka. Oleh itu, majoriti pekerja barisan hadapan menunjukkan beban psikologi yang sangat tinggi.
Kajian tersebut turut mencatat sewaktu penularan wabak SARS pada tahun 2003, pekerja perubatan bimbang mereka akan menjangkiti ahli keluarga atau kawan-kawan dan berasa didiskiriminasikan kerana mereka merupakan orang yang paling rapat dengan pesakit. Mereka mengalami stres yang teruk dalam jangka panjang. Ketakutan yang sama mungkin menyebabkan kesengsaraan mereka sekarang, tambahan pula mereka berisiko tinggi dijangkiti penyakit COVID-19 berbanding individu lain.
Melindungi pekerja perubatan adalah komponen yang penting dalam pendekatan kesihatan awam sewaktu mengatasi pandemik COVID-19. Intervensi khusus bagi menggalakkan kesejahteraan mental pekerja perubatan yang terdedah dengan COVID-19 perlu diimplementasikan segera dengan mengutamakan golongan wanita, jururawat, doktor dan pekerja barisan hadapan lain.
Impak terhadap kesihatan mental pekerja perubatan sehingga kemurungan tinggi doktor dan jururawat dilihat sangat membimbangkan di seluruh negara. Sebagai contoh, di Itali, doktor-doktor di sana terpaksa memilih pesakit tertentu untuk memakai ventilator sementara membiarkan pesakit lain tanpa bantuan. Keadaan tersebut sudah tentu merobek hati dan menjejaskan psikologi mereka.
Tambahan lagi, oleh kerana kekurangan pakar penyakit berjangkit untuk menjaga semua pesakit COVID-19 di sana, doktor-doktor pakar lain seperti oftalmologis dan dematologis dilatih untuk turut serta menjaga pesakit-pesakit COVID-19 misalnya, dengan menyediakan bantuan oksigen tambahan. Bahkan, sebuah hospital di Bergamo melatih seramai 1,500 orang dalam masa seminggu! Majoriti daripada mereka tidak pernah menyaksikan proses ‘intubate’ pesakit (yang menyeksakan) dan kematian pesakit di hadapan mata mereka. Situasi sebegini boleh menyebabkan trauma dan segelintir daripada mereka mungkin mengalami gangguan tekanan pasca-traumatik atau masalah kesihatan mental lain ketika mengendalikan kes-kes COVID-19.
SUMBER
https://www.thelancet.com/journals/eclinm/article/PIIS2589-5370(20)30168-1/fulltext