Now Reading
Dulera (Asma) – Kegunaan, kesan sampingan, interaksi

Dulera (Asma) – Kegunaan, kesan sampingan, interaksi

Dulera

Pengenalan

Dulera adalah sejenis jenama bagi ubat preskripsi. Ia digunakan untuk merawat masalah asma pada orang dewasa dan juga kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas. Asma adalah penyakit di mana saluran udara anda membengkak dan mengetat, sehingga menyebabkan anda sukar bernafas. Namun begitu, ubat Dulera tidak diluluskan untuk merawat gejala asma yang secara tiba-tiba bertambah buruk. Ini biasanya dikenali sebagai serangan asma.

Kegunaan Dulera

Produk ini digunakan untuk mengawal dan mencegah gejala (berdehit dan sesak nafas) yang terjadi disebabkan asma. Namun, Dulera tidak digunakan untuk merawat serangan asma atau ‘bronchospasm’.

Dulera mengandungi dua jenis bahan iaitu mometasone, yang termasuk dalam kelas ubat yang disebut sebagai kortikosteroid yang disedut. Kortikosteroid yang disedut membantu mengurangkan pembengkakan pada paru-paru.

Bahan kedua pula adalah formoterol. Ini adalah sejenis ubat yang dikenali sebagai ‘beta agonist’ dengan tindak balas berpanjangan (LABA), dan ia mengendurkan otot di saluran udara.

Kesan sampingan Dulera

Dulera boleh menyebabkan kesan sampingan ringan atau serius. Senarai berikut mengandungi beberapa kesan sampingan utama yang mungkin berlaku dengan pengambilan Dulera.

Kesan sampingan biasa

  • selsema
  • sakit kepala
  • sinusitis (jangkitan sinus)

Sebilangan besar kesan sampingan ini mungkin hilang dalam beberapa hari atau beberapa minggu. Sekiranya ia menjadi lebih teruk atau tidak hilang, berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi anda.

Kesan sampingan serius

Kesan sampingan yang serius disebabkan Dulera bukanlah satu perkara yang biasa berlaku, tetapi ia masih berkemungkinan untuk berlaku. Hubungi doktor anda sekiranya anda mempunyai kesan sampingan yang serius.

Kesan sampingan yang serius termasuk:

  1. Jangkitan mulut dan tekak, seperti ‘oral thrush’. Gejala boleh merangkumi:
  • kehilangan deria rasa
  • sakit semasa makan atau menelan
  • kemerahan atau sakit di mulut atau tekak
  • tompok-tompok putih di pipi dalaman, di bumbung mulut, di lidah atau di kerongkong

  1. Paradoxical bronchospasm’ (pengecutan saluran udara secara tiba-tiba yang menyukarkan pernafasan). Gejala boleh merangkumi:
  • batuk
  • sesak nafas

  1. Glaukoma (sejenis penyakit mata), katarak (bintik-bintik gelap di lensa mata), atau kedua-duanya. Gejala boleh merangkumi:
  • penglihatan kabur atau tidak terang
  • masalah untuk melihat pada waktu malam
  • kemerahan pada mata
  • melihat “lingkaran cahaya” di sekitar lampu
  • sensitif terhadap cahaya

  1. Hiperglikemia (kadar gula darah tinggi). Gejala boleh merangkumi:
  • keletihan (kekurangan tenaga)
  • kerap membuang air kecil
  • sakit kepala
  • rasa dahaga yang melampau
  • masalah untuk menumpukan perhatian

  1. Hipokalemia (tahap potassium yang rendah). Gejala boleh merangkumi:
  • kelemahan otot
  • kekejangan otot
  • otot berkedut
  • tekanan darah rendah
  • degupan jantung tidak teratur
  • kerap membuang air kecil
  • rasa dahaga yang melampau

  1. Penindasan adrenal (tahap hormon kortisol yang rendah). Gejala boleh merangkumi:
  • sakit perut
  • keletihan kronik (tahan lama)
  • kemurungan
  • hipotensi (tekanan darah rendah)
  • mudah menjadi marah
  • sakit sendi
  • kelemahan otot
  • pengurangan berat badan

  1. Penurunan kepadatan tulang, yang boleh menyebabkan masalah osteoporosis. Gejala boleh merangkumi:
  • sakit belakang
  • kehilangan ketinggian dari masa ke masa
  • postur yang tersekat
  • peningkatan risiko jangkitan, seperti cacar air atau campak

Interaksi Dulera

Kadangkala, ianya tidak selamat untuk menggunakan ubat-ubatan tertentu pada masa yang sama. Sebilangan ubat boleh mempengaruhi tahap darah anda dari ubat lain yang diambil, di mana ini boleh meningkatkan kesan sampingan atau menjadikan ubat kurang berkesan.

Beritahu doktor anda tentang semua ubat lain, terutamanya:

  • ubat anti-kulat seperti ketoconazole
  • ubat untuk merawat HIV (terutamanya jika ia mengandungi cobicistat, lopinavir, atau ritonavir)

Senarai ini tidak lengkap. Ubat lain juga boleh berinteraksi dengan formoterol dan mometasone, termasuk ubat-ubatan, vitamin dan produk herba yang dipreskripsikan atau yang dijual di farmasi. Tidak semua kemungkinan interaksi ubat Dulera ada disenaraikan di sini.

Kontraindikasi Dulera

Anda tidak boleh menggunakan Dulera jika anda alah kepada formoterol atau mometasone. Mometasone dapat melemahkan sistem imun anda. Maklumkan pada doktor anda mengenai sebarang penyakit atau jangkitan yang anda alami dalam beberapa minggu terakhir.

Untuk memastikan Dulera selamat untuk anda, beritahu doktor anda jika anda pernah mengalami:

  • penyakit jantung, tekanan darah tinggi
  • kekejangan
  • sistem imun yang lemah
  • penyakit hat
  • osteoporosis
  • glaukoma, katarak atau masalah penglihatan lain
  • diabetes
  • alahan terhadap ubat
  • ‘pheochromocytoma’ (tumor kelenjar adrenal)
  • gangguan tiroid
  • aneurisma (saluran darah lemah atau rosak yang boleh merobek dan menyebabkan pendarahan teruk)

Dulera dan kehamilan

Beritahu doktor anda jika anda hamil. Ianya tidak diketahui sama ada formoterol dan mometasone akan membahayakan bayi yang belum lahir. Namun, mengalami masalah asma yang tidak dirawat atau tidak terkawal semasa mengandung boleh menyebabkan komplikasi seperti berat kelahiran rendah, kelahiran pramatang, atau eklampsia (tekanan darah tinggi yang berbahaya dan boleh menyebabkan masalah perubatan pada ibu dan bayi). Manfaat merawat asma boleh mengatasi risiko yang berkemungkinan berlaku kepada bayi.

Dos Dulera

  1. Dos dewasa

Dua dos kuat Dulera yang digunakan untuk merawat masalah asma pada orang dewasa adalah:

  • 100 mcg mometasone / 5 mcg formoterol
  • 200 mcg mometasone / 5 mcg formoterol

Anda akan menyedut dua sedutan Dulera melalui mulut dua kali sehari. Tunggu sekurang-kurangnya 30 saat di antara setiap sedutan. Dos maksimum adalah dua sedutan Dulera (kekuatan 200 mcg / 5 mcg) dua kali sehari.

Selain itu, penggunaan Dulera tidak diluluskan untuk menghilangkan simptom asma. Sekiranya anda mempunyai simptom asma antara dos Dulera, doktor anda mungkin menginginkan anda menggunakan alat penyedut lain, seperti beta2-agonis dengan tidak balas pendek (SABA).

  1. Dos pediatrik

Dos ubat Dulera untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun adalah 50 mcg / 5 mcg. Dos yang disyorkan adalah dua sedutan dua kali sehari. Kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas boleh mengambil dos yang sama seperti orang dewasa.

Bagaimana jika saya terlepas dos?

Sekiranya anda terlepas dos Dulera, langkau sahaja dos tersebut. Kemudian, ambil dos seterusnya pada waktu biasa anda. Jangan gandakan dos kerana ini boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat kesan sampingan yang serius.

SUMBER

https://www.drugs.com/dulera.html

https://www.medicalnewstoday.com/articles/327118

https://www.rxlist.com/dulera-drug.htm#indications

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-154346/dulera-inhalation/details

error: Content is protected !!