Ekzema adalah keadaan di mana susunan kulit menjadi radang, gatal, merah, retak dan kasar. Lepuh juga kadangkala boleh berlaku. Perkataan “ekzema” juga digunakan secara khusus untuk membincangkan tentang dermatitis atopik, iaitu jenis ekzema yang paling biasa berlaku.
“Atopik” merujuk kepada koleksi penyakit yang melibatkan sistem imun, termasuk dermatitis atopik, asma, dan demam ‘hay’. Dermatitis adalah keradangan daripada kulit.
Sesetengah individu dapat mengatasi keadaan ini, sementara yang lain pula akan terus memilikinya sepanjang tempoh dewasa.
Jenis-jenis Ekzema
Terdapat banyak jenis penyakit ini. Walaupun artikel ini memberi tumpuan yang utama pada dermatitis atopik, ekzema jenis lain termasuklah:
- Dermatitis alahan sentuhan: Jenis ini adalah tindak balas kulit yang berkaitan dengan bahan atau alergen yang dilihat sebagai bahan asing oleh sistem imun.
- Ekzema dishidrotik: Jenis ini adalah kerengsaan pada kulit di tapak tangan dan tapak kaki. Ia dicirikan oleh lepuh.
- Neurodermatitis: Jenis ini menyebabkan kulit bersisik pada kepala, bawah lengan, pergelangan tangan dan bahagian bawah kaki. Ia berlaku disebabkan kegatalan setempat, seperti gigitan serangga.
- Ekzema numular: Jenis ini menunjukkan tompok-tompok kulit meradang yang boleh menjadi kering, bersisik dan gatal.
- Ekzema seborrheik: Jenis ini membentuk kulit yang berminyak, bersisik dan berwarna kekuningan, biasanya pada kulit kepala dan muka.
- Dermatitis stasis: Jenis ini adalah kerengsaan kulit pada bahagian bawah kaki dan biasanya berkaitan dengan masalah peredaran darah.
Simptom Ekzema
Gejala-gejala dermatitis atopik adalah berbeza bergantung kepada usia seseorang yang mengalami keadaan ini.
Dermatitis atopik biasanya berlaku pada bayi, iaitu dengan tompokan kering dan bersisik yang muncul pada kulit. Tompok ini selalunya gatal. Kebanyakan individu mengalami dermatitis atopik sebelum umur 5 tahun. Separuh daripada mereka yang mengalami keadaan ini sewaktu kanak-kanak masih mengalami gejala yang sama apabila meningkat dewasa.
Walau bagaimanapun, gejala ini biasanya berbeza dengan apa yang dialami oleh kanak-kanak. Individu dengan keadaan ini sering mengalami tempoh di mana gejala mereka meledak atau bertambah buruk, diikuti dengan tempoh di mana gejala mereka bertambah baik atau sembuh.
Punca Ekzema
Penyebab spesifik ekzema masih tidak diketahui, tetapi ia dipercayai berkembang disebabkan gabungan faktor genetik dan persekitaran. Namun, ekzema tidak berjangkit.
Kanak-kanak lebih cenderung mendapat ekzema jika ibu bapa mempunyai keadaan atau penyakit atopik yang lain. Jika kedua-dua ibu bapa mempunyai penyakit atopik, risikonya adalah lebih tinggi.
Faktor alam sekitar juga dikatakan boleh menyebabkan gejala Ekzema, seperti:
- Bahan perengsa: Ini termasuklah sabun, detergen, syampu, pembasmi kuman, jus dari buah-buahan segar, daging atau sayur-sayuran.
- Alergen: Debu hama, haiwan peliharaan, debunga, acuan dan kelemumur boleh menyebabkan ekzema.
- Kuman (microbes): Ini termasuk bakteria seperti Stafilokokkus aureus, virus dan kulat tertentu.
- Suhu panas dan sejuk: Cuaca yang sangat panas atau sejuk, kelembapan yang tinggi dan rendah serta peluh daripada senaman juga boleh menyebabkan ekzema.
- Makanan: Produk tenusu, telur, kacang dan biji, produk soya dan gandum boleh menyebabkan ekzema.
- Tekanan: Ini bukanlah penyebab langsung ekzema tetapi boleh membuatkan gejalanya menjadi lebih teruk.
- Hormon: Wanita dapat mengalami gejala ekzema yang semakin banyak ketika tahap hormon mereka berubah, misalnya semasa kehamilan dan pada waktu-waktu tertentu dalam kitaran menstruasi.
Faktor Risiko Ekzema
Faktor risiko utama yang menyebabkan ekzema berlaku adalah sekiranya individu tersebut mempunyai sejarah persendirian atau keluarga yang pernah mengalami masalah kulit yang sama. Selain itu, faktor risiko ekzema meningkat disebabkan alahan, demam Hay atau penyakit lelah (asma).
Diagnosis Ekzema
Tiada ujian makmal yang diperlukan untuk mengenal pasti keadaan dermatitis atopik (ekzema). Doktor mungkin akan membuat diagnosis dengan memeriksa kulit dan mengkaji sejarah perubatan anda. Selain itu, doktor juga boleh menggunakan ujian tampalan atau ujian lain bagi mengetepikan penyakit kulit lain atau mengenal pasti keadaan yang mendorong kepada berlakunya ekzema anda.
Sekiranya anda mengesyaki makanan tertentu boleh menyebabkan ruam pada anak anda, beritahu doktor untuk mengenal pasti alahan makanan yang berpotensi.
Rawatan Ekzema
Penyakit ekzema ini tiada penawarnya. Rawatan bagi keadaan ini hanya dilakukan dengan tujuan untuk menyembuhkan kulit yang terjejas dan mengelakkan berlakunya gejala-gejala tertentu. Doktor akan mencadangkan pelan rawatan berdasarkan usia, gejala dan keadaan kesihatan individu.
Bagi sesetengah individu, masalah ekzema boleh hilang dari masa ke masa. Namun, bagi yang lain, ia boleh kekal sebagai keadaan seumur hidup.
– Penjagaan di rumah
Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan bagi menyokong kesihatan kulit dan mengurangkan gejala ekzema seperti:
- Gunakan air mandian suam.
- Gunakan pelembap dalam masa 3 minit selepas mandi untuk mengekalkan kelembapan.
- Gunakan pelembab setiap hari.
- Pakai kapas dan kain lembut, serta elakkan serat kasar dan pakaian yang ketat.
- Gunakan sabun atau pencuci lain yang lembut semasa mencuci.
- Keringkan atau tepuk kulit secara perlahan-lahan dengan tuala dan bukannya menggosok kulit hingga kering selepas mandi.
- Elakkan perubahan suhu dan aktiviti yang membuatkan anda berpeluh jika boleh.
- Belajar dan elakkan keadaan yang menjadi pencetus kepada keadaan ekzema.
- Gunakan pelembap udara dalam cuaca yang kering atau sejuk.
- Kekalkan kuku yang pendek untuk elakkan menggaru yang boleh merosakkan kulit.
– Ubat-ubatan
Terdapat beberapa ubat yang boleh dicadangkan oleh doktor untuk merawat gejala ekzema, termasuk:
- Krim dan kortikosteroid topikal: Ini adalah sejenis ubat anti-radang dan boleh melegakan gejala utama ekzema, seperti keradangan kulit dan gatal-gatal. Ubat ini boleh digunakan secara terus ke kulit. Jika anda ingin membeli krim kortikosteroid topikal dan minyak, terdapat banyak pilihan yang ada dalam talian dengan beribu-ribu ulasan pelanggan.
- Kortikosteroid sistemik: Jika rawatan topikal tidak berkesan, kortikosteroid sistemik boleh digunakan. Ini boleh dilakukan sama ada melalui suntikan atau ditelan. Selain itu, ia hanya digunakan untuk jangka masa yang pendek sahaja.
- Antibiotik: Ubat ini ditetapkan jika ekzema berlaku bersama jangkitan kulit bakteria.
- Ubat antivirus dan anti-kulat: Ubat ini boleh merawat jangkitan kulat dan virus yang berlaku.
- Anti-histamin: Ubat ini mengurangkan risiko anda menggaru sewaktu malam kerana ia boleh menyebabkan rasa mengantuk.
- Perencat kalsineurin topikal: Ini adalah sejenis ubat yang menindas aktiviti sistem imun. Ia akan mengurangkan keradangan dan membantu mencegah ekzema daripada berlaku.
- Pembersih halangan pelembap: Ini akan mengurangkan kehilangan air dan berfungsi untuk memperbaiki kulit.
- Fototerapi: Kaedah ini melibatkan pendedahan kepada gelombang ultraungu A atau B, secara sendirian atau gabungan kedua-duanya sekali. Kulit akan dipantau dengan teliti. Ia biasanya digunakan untuk merawat dermatitis yang sederhana.
Walaupun keadaan itu sendiri belum dapat disembuhkan, pelan rawatan tertentu mengikut kesesuaian setiap individu dengan gejala yang berbeza haruslah dibuat. Seterusnya, walaupun sesetengah kawasan kulit telah sembuh, ianya adalah penting bagi anda untuk terus merawatnya, kerana keadaan sama mungkin berulang.
Langkah Pencegahan Ekzema
Tiada ubat dapat menyembuhkan ekzema, tetapi ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko dan mencegah masalah ini daripada berlaku.
- Penyusuan secara langsung. Sekiranya bayi anda berisiko mendapat ekzema kerana sejarah keluarga, ianya adalah lebih baik untuk menyusukannya secara eksklusif untuk tiga bulan pertama kehidupan, atau mungkin juga lebih lama daripada itu.
Doktor akan memberi nasihat untuk meneruskan penyusuan secara lansung sekurang-kurangnya enam bulan (sebaiknya satu tahun) sehingga anda memperkenalkan makanan yang padat kepada bayi anda. Selain itu, bayi juga harus dilindungi daripada alergen yang berpotensi seperti rambut haiwan peliharaan, hama dan acuan.
- Tekanan yang minimum. Jika anda mempunyai ekzema, cuba kekalkan tekanan yang minimum dan ambil masa untuk berehat.
- Lakukan senaman biasa. Ia boleh membantu mengawal tekanan dan meningkatkan peredaran darah.
SUMBER
https://www.healthline.com/health/types-of-eczema
https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/guide/atopic-dermatitis-eczema
https://www.medicalnewstoday.com/articles/14417
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/atopic-dermatitis-eczema/symptoms-causes/syc-20353273