Elakkan makanan yang menjadikan simptom buasir anda masih memburuk, walaupun setelah mengamalkan pemakanan seimbang dan sederhana pada setiap masa. Pernahkah anda mengalami masalah sebegini? Jika ya, mungkin ada di antara makanan yang diambil itu dapat “mencetuskan” lagi keadaan buasir anda.
Berikut adalah senarai makanan yang anda perlu elakkan sama sekali jika simptom buasir anda muncul. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan keradangan menjadi semakin parah, ketidakselesaan yang meningkat dan kesukaran untuk memulihkannya.
- Bijirin halus (Refined Grains)
Bijirin halus dikhaskan sebagai jenis bijirin yang bertekstur lembut dengan cara membuang bran atau germa yang mengandungi semua nutrien dan serat di dalamnya. Tanpa nutrien ini, proses pencernaan yang betul tidak akan berlaku dan ia selalunya kekal di dalam perut atau usus. Ini justeru boleh menyumbang kepada kesakitan dan bengkak di kawasan buasir.
- Produk tenusu
Produk tenusu termasuklah susu dan keju dapat menggalakkan sembelit dan menjadikan buasir lebih serius. Sebenarnya, produk tenusu tidak menyebabkan sembelit tetapi ia menyumbang kepada ketidakselesaan seperti cirit-Birit terutama ketika anda mengalami buasir.
Malah, produk ini juga meningkatkan pengeluaran gas dari badan yang boleh mengakibatkan kesakitan dan kekejangan jika anda mengalami sembelit. Sesetengah penyelidikan membuktikan bahawa pengambilan produk tenusu yang banyak boleh menyebabkan pengumpulan pukal yang disebut sebagai ‘fenomena sabun’ dalam usus anda. Keadaan ini menyebabkan sembelit dan menjadikan najis anda lebih keras.
- Garam
Pengambilan garam yang berlebihan boleh memperlahankan sistem pencernaan dan menjadikan proses pembuangan air besar lebih menyakitkan. Selain itu, pengumpulan garam dalam darah juga boleh menyebabkan masalah perut kembung. Ini mungkin mengakibatkan bengkak menjadi lebih teruk dan sensitif. Jadi, mengehadkan pengambilan garam akan mengurangkan kesakitan yang dialami.
Perhatikan jumlah garam yang anda ambil. Sekiranya badan anda terlebih garam, ia boleh menyebabkan badan mengalami dehidrasi. Keadaan ini justeru akan memberi lebih banyak tekanan ke atas saluran darah anda termasuklah urat di rektum dan seterusnya menyebabkan buasir.
- Makanan bergoreng
Makanan bergoreng dalam minyak yang penuh atau ‘deep fried’ adalah tidak sihat dan mengandungi kandungan lemak yang tinggi. Ia bersifat berat dan sukar dicerna oleh usus. Lemak dan minyak inilah yang mengakibatkan keradangan di dinding usus hingga menyebabkan kerosakan teruk kepada usus. Hal ini akan memburukkan buasir sedia ada dengan menjadikannya lebih besar dan lebih sensitif. Semasa simptom buasir muncul, elakkan makanan bergoreng seperti ayam goreng, kentang goreng dan lain-lain lagi yang boleh menjejaskan keadaan anda.
- Kopi
Sama seperti alkohol, minuman berkafein terutamanya kopi boleh menyebabkan najis menjadi kering. Ini seterusnya boleh memburukkan lagi keadaan buasir anda. Oleh sebab itu, penghidap buasir mungkin perlu mula mengambil teh tanpa kafein atau mencari alternatif kopi yang lain.
- Buah yang belum masak
Buah-buahan yang belum masak boleh menyebabkan kesakitan kerana ia sukar untuk dicerna. Ini termasuklah buah-buahan seperti pisang yang mengandungi sebatian konstip, kecuali jika ia telah masak sepenuhnya. Sebarang jenis buah-buahan yang dimakan semasa buasir haruslah sudah matang/ masak sepenuhnya. Proses ‘ripening’, iaitu pematangan buah boleh dipercepat dengan meletakkan buah-buahan tersebut di lokasi hangat di dalam beg kertas selama satu hingga dua hari.
- Makanan lain
Makanan yang rendah serat juga boleh menyebabkan sembelit memburuk, jadi adalah baik untuk anda mengehadkan kuantitinya.
Makanan lain yang boleh memburukkan buasir termasuklah:
- Roti putih dan bagel.
- Daging.
- Makanan yang diproses seperti makanan beku dan makanan segera.
Suplemen zat besi juga boleh menyebabkan sembelit dan masalah pencernaan lain, jadi berbincanglah dengan doktor dahulu sebelum anda mengambilnya.
Sumber:
https://www.webmd.com/digestive-disorders/best-worst-foods-hemorrhoids
https://www.everydayhealth.com/news/six-easy-ways-prevent-hemorrhoids/
https://www.drbatras.com/foods-not-to-eat-when-suffering-from-piles-haemorrhoids
https://health.clevelandclinic.org/5-simple-ways-you-can-prevent-hemorrhoids/