Now Reading
ENT – Telinga, hidung dan tekak

ENT – Telinga, hidung dan tekak

ENT

Pengenalan

ENT atau bidang ‘Otolaryngology’ adalah kepakaran perubatan yang bertumpukan pada telinga, hidung dan tekak. Ia juga disebut pembedahan ‘otolaryngology’ kepala dan leher kerana pakar dalam bidang ini dilatih dalam bidang perubatan dan pembedahan.

Bidang perubatan ini wujud sejak abad ke-19, ketika para doktor menyedari bahawa kepala dan leher mengandungi serangkaian sistem yang saling berkaitan. Jadi, para doktor telah mengembangkan teknik dan alat untuk memeriksa dan merawat masalah kepala dan leher, yang akhirnya membentuk bidang perubatan khusus ini.

Kepakaran pakar ENT

Pakar ENT atau dikenali sebagai ‘otolaryngologists’ adalah doktor yang pakar dalam rawatan dan pengurusan penyakit dan gangguan bagi telinga, hidung, tekak dan struktur badan yang berkaitan. Mereka boleh menyediakan rawatan perubatan dan pembedahan.

Selain itu, pakar ENT boleh merawat:

  • Telinga: Ahli ENT dilatih dalam rawatan perubatan dan pembedahan bagi menangani masalah kehilangan pendengaran, jangkitan telinga, gangguan keseimbangan, bunyi telinga (tinnitus), sakit saraf dan gangguan saraf muka dan kranial. Mereka juga boleh mengatasi gangguan kongenital (kelahiran) telinga luar dan dalam.
  • Hidung: Penjagaan rongga hidung dan sinus adalah salah satu kemahiran utama pakar ENT. Mereka boleh mendiagnosis, mengurus dan merawat alahan, sinusitis, gangguan bau, polip dan penyumbatan hidung kerana septum yang menyimpang. Di samping itu, golongan pakar ini juga dapat membetulkan penampilan hidung (pembedahan ‘rhinoplasty’).
  • Tekak: Pakar ENT mempunyai kepakaran dalam menguruskan penyakit ‘larynx’ (kotak suara) dan saluran pencernaan aero atas atau esofagus, termasuklah gangguan suara dan kesukaran menelan.
  • Kepala dan leher: Di kawasan kepala dan leher, pakar ENT dilatih untuk merawat penyakit berjangkit, seperti tumor jinak dan malignan (kanser), kecederaan dan kecacatan wajah. Mereka boleh melakukan pembedahan kosmetik plastik dan pembedahan rekonstruktif.

Bila anda perlu dapatkan rawatan

Pakar ENT memberikan rawatan untuk pelbagai keadaan, dengan menggunakan kemahiran perubatan dan pembedahan untuk merawat pesakit mereka. Mereka memiliki pemahaman yang tegas mengenai sains perubatan berkaitan dengan kepala dan leher, sistem pernafasan dan sistem nutrien atas, sistem komunikasi dan deria kimia.

Mereka yang terlatih dalam rawatan telinga sudah dilatih dengan baik untuk memulihkan pendengaran melalui pembedahan mikro moden. Teknik pembedahan juga dapat menyembuhkan penyakit dan jangkitan, dan memperbaiki kecacatan yang ada di telinga sejak lahir.

Senarai berikut adalah keadaan umum yang termasuk dalam bidang ENT.

  • Masalah saluran udara

Kesukaran bernafas boleh menjadi ringan seperti ‘stridor’ atau yang mengancam nyawa seperti halangan saluran udara yang teruk. Pelbagai keadaan yang mendasari boleh menyebabkan masalah ini.

  • Kanser

Kanser adalah antara punca utama bagi kematian individu di seluruh dunia. Dengan pengesanan dan rawatan awal, kanser tersebut mungkin dapat dirawat dengan lebih baik. Kanser yang berkaitan dalam bidang ENT termasuklah kanser hidung, kanser, telinga dan lain-lain.

  • Sinusitis kronik

Keadaan ini melibatkan keradangan kronik dan pembengkakan saluran hidung, dengan peningkatan lendir dan kesukaran bernafas melalui hidung. Jangkitan, pertumbuhan polip di dalam hidung, atau septum yang menyimpang juga boleh menyumbang kepada sinusitis kronik.

  • Bibir sumbing dan lelangit sumbing

Ini berlaku apabila bibir, lelangit, atau kedua-duanya tidak berkembang sepenuhnya semasa pertumbuhan janin dan menyebabkan seperti adanya pembahagian kecil. Masalah sumbing ini bervariasi dari segi ukuran, yang mana ada di antaranya boleh menyebabkan masalah kecil hingga yang serius seperti mengganggu anda untuk makan, bercakap dan bernafas.

  • Septum hidung yang menyimpang

Septum hidung adalah dinding yang membahagikan rongga hidung. Septum yang menyimpang adalah bahagian yang telah beralih dari garis tengah, biasanya mengakibatkan boleh kesukaran bernafas dan sinusitis kronik. Ia juga boleh wujud sejak lahir. Namun, kecederaan pada hidung biasanya boleh menyebabkan septum menyimpang di kemudian hari.

Kelonggaran kelopak mata atas yang berlebihan boleh menjadi sebahagian daripada proses penuaan semula jadi, tetapi beberapa keadaan berlainan juga mungkin boleh bertanggungjawab, seperti diabetes mellitus, strok dan tumor yang mempengaruhi saraf atau reaksi otot. Masalah ini kadangkala boleh menghalang penglihatan individu.

  • GERD

Penyakit ‘gastroesophageal reflux’ (GERD) adalah keadaan di mana asid perut dan kandungan lain dari saluran pencernaan bergerak ke dalam esofagus. Lingkaran otot yang dikenali sebagai ‘sphincter’ di bahagian bawah esofagus biasanya menghalang isi perut untuk bergerak ke atas. Pada individu dengan masalah GERD, ‘spchinter’ ini mungkin tidak berfungsi, yang mana ia boleh menyebabkan pedih ulu hati, sakit dada, dan kesukaran menelan.

  • Kehilangan pendengaran

Kehilangan pendengaran boleh berlaku pada individu dari semua peringkat umur dan boleh berlaku kerana pelbagai penyebab yang berkemungkinan. Penuaan, pendedahan kepada bunyi kuat, virus, keadaan jantung, kecederaan kepala, strok, dan tumor semuanya boleh menyebabkan kehilangan pendengaran secara beransur-ansur.

  • Kesukaran menelan

Individu dari mana-mana usia boleh mengalami kesukaran untuk memindahkan makanan, cecair dan air liur dari mulut ke perut. Keadaan ini disebut sebagai ‘dysphagia’ dan boleh menyebabkan ketidakselesaan, merosakkan pemakanan dan menyebabkan individu batuk serta tersedak.

  •  Tinnitus

Tinnitus adalah persepsi suara apabila tiada sumber luaran daripada suara itu. Kira-kira 1 dari 5 orang dengan keadaan mengalami tinitus yang mengganggu, iaitu bentuk yang lebih teruk boleh menyebabkan masalah dan memberi kesan negatif terhadap kualiti hidup dan kesihatan anda.

  •  Jangkitan tonsil atau ‘adenoid’

Tonsil dan ‘adenoid’ di kerongkong adalah sebahagian daripada sistem imun. Peranannya adalah untuk mengambil sampel bakteria dan virus yang masuk ke dalam tubuh melalui hidung dan mulut, tetapi ia juga mungkin terdedah kepada jangkitan berulang, yang mungkin boleh mendorong kepada prosedur pembedahan.

  •  Vertigo dan pening

Pening adalah istilah umum untuk menggambarkan sensasi pening kepala dan ketidakseimbangan. Vertigo pula adalah bentuk pening tertentu yang melibatkan sensasi berputar atau perasaan hendak jatuh ketika tiada gerakan. Keadaan yang mempengaruhi sistem saraf pusat dan organ di telinga dalam juga boleh menyebabkan vertigo.

  •  Gangguan suara

Banyak keadaan, termasuk kecederaan pada pita suara, virus, kanser dan refluks asid kronik berulang boleh mengakibatkan gangguan suara. Penyakit ini boleh mengakibatkan suara serak, nada suara yang lebih rendah, keletihan vokal dan kehilangan suara secara sepenuhnya.

Prosedur rawatan ENT

Pakar ENT mesti dapat melakukan pelbagai prosedur untuk mengatasi sebilangan besar masalah perubatan dalam kepakaran mereka. Prosedur ini boleh berkisar dalam skala dan kerumitan, iaitu seperti rekonstruksi mikrovaskular yang kompleks hinggalah pembedahan yang merangkumi seluruh bahagian leher.

‘Blepharoplasty’

Ini adalah pembaikan kelopak mata yang terkulai dengan membuang lebihan kulit, otot, atau lemak yang mungkin mengganggu penglihatan. Prosedur ini sering dilakukan kerana tujuan kosmetik dan jarang memerlukan individu menetap di hospital.

Pembedahan sinus endoskopi

Pakar ENT sering melakukan prosedur ini untuk merawat penyakit sinus berjangkit dan keradangan, seperti sinusitis kronik atau pertumbuhan polip. Mereka akan memasukkan alat yang disebut endoskopi ke dalam hidung, bagi membolehkan mereka melihat kawasan sinus. Selain itu, prosedur ini boleh dilakukan di bawah anestetik tempatan atau umum.

Pemotongan (excision) dan biopsi

Seorang pakar bedah akan melakukan biopsi untuk mengenal pasti luka dan tumor yang mencurigakan. Ia boleh berkembang di mana sahaja dalam badan, dan mengenal pasti keadaan itu lebih awal adalah penting untuk menentukan kaedah rawatan yang berkesan. Pakar ENT sering dapat melakukan penyingkiran luka kecil dan kanser kulit dengan penggunaan anestetik tempatan.

Pembedahan plastik

Jenis pembedahan ini boleh dilakukan secara rekonstruktif atau kosmetik. Pakar ENT dapat memperbaiki kejanggalan kongenital, seperti sumbing atau keadaan yang terjadi disebabkan kemalangan, pembedahan sebelumnya, atau kanser kulit. Mereka juga dapat meningkatkan penampilan struktur wajah, termasuk pembetulan kedutan.

Peletakan tiub ‘myringotomy’ dan ‘pressure equalization’ (PE)

Bagi individu yang mengalami jangkitan bahagian tengah telinga berulang atau kehilangan pendengaran kerana cairan di telinga, pakar bedah boleh meletakkan tiub melalui gendang telinga untuk membolehkan udara masuk ke bahagian tersebut.

Pembedahan leher

Ini adalah bentuk pembedahan utama untuk membuang kelenjar nodus limfa yang menjadi kanser dari leher, dan dilakukan di bawah anestetik umum. Tahap pembedahan bergantung pada penyebaran kanser. Malah, pembedahan leher radikal memerlukan penyingkiran semua tisu dari tulang rahang ke tulang selangka di sisi leher, bersama dengan otot, saraf, kelenjar air liur dan saluran darah utama dari kawasan ini.

‘Septoplasty’

Ini adalah pembedahan untuk membetulkan septum menyimpang atau bagi membolehkan pembukaan hidung lebih besar untuk prosedur penyingkiran polip. Prosedur ini boleh dilakukan di bawah anestetik tempatan atau umum dan melibatkan pakar ENT memisahkan lapisan saluran hidung daripada tulang rawan yang mendasari.

Pembedahan untuk masalah berdengkur atau apnea tidur yang obstruktif (OSA)

Pakar ENT mempunyai sebilangan penyelesaian pembedahan untuk masalah berdengkur dan apnea tidur obstruktif (OSA). Mereka dapat membuang tisu lelangit lembut berlebihan untuk membuka saluran udara, seperti dengan ablasi haba frekuensi radio untuk mengurangkan sebahagian besar tisu. Mereka juga dapat membuatkan lelangit menjadi kaku dengan suntikan atau memasukkan batang pengeras untuk mengurangkan getaran dan risiko ia untuk runtuh.

Pembedahan tiroid

Tiroid terletak betul-betul di bawah ‘larynx’. Pakar ENT dapat membuang seluruh atau sebahagian kelenjar tiroid sekiranya terdapat kanser tiroid, benjolan yang mencurigakan, penyumbatan saluran angin atau esofagus, ataupun hipertiroidisme.

‘Tonsillectomy’ atau ‘adenoidectomy’

‘Tonsillectomy’ adalah pembedahan bagi membuang tonsil, dan ‘adenoidectomy’ pula adalah pembedahan untuk membuang adenoid. Prosedur ini biasanya diperlukan untuk merawat jangkitan berulang atau masalah pernafasan. Malah, ia biasanya berlaku di bawah anestetik umum, tetapi pesakit biasanya tidak perlu menetap di hospital.

‘Tracheostomy’

Ini adalah prosedur untuk menghasilkan bukaan melalui leher ke saluran angin. Pakar ENT boleh memasukkan tiub ke dalam lubang ini untuk menyediakan saluran udara atau mengeluarkan rembesan dari paru-paru. Prosedur ini mungkin diperlukan untuk merawat beberapa masalah kesihatan, termasuk kanser leher dan penyakit ‘larynx’ yang teruk.

‘Tympanoplasty’

Jenis pembedahan ini dapat memperbaiki sebarang kecacatan pada gegendang telinga dengan cantuman atau mengatasi penyakit tulang di bahagian tengah telinga. Prosedur ini berfungsi untuk menutup lubang, memperbaiki pendengaran dan membasmi penyakit dari bahagian tengah telinga.

Anggaran kos

Bagi pemeriksaan biasa di hospital kerajaan, biasanya anda hanya dikenakan caj sebanyak RM1 namun jika ia memerlukan rawatan tambahan, kosnya mungkin meningkat namun tidaklah begitu tinggi seperti kos di hospital swasta.

Rawatan di hospital swasta sememangnya adalah tinggi namun jika anda berkemampuan atau mempunyai insurans yang melindungi rawatan sebegini, apa salahnya untuk dapatkan rawatan lebih baik?

Bagi rawatan seperti pembedahan sinus kronik, kosnya mungkin mencecah hingga RM 10 ribu ringgit bergantung pada keadaan anda. Seterusnya, bagi prosedur ‘tonsillectomy’ pula, ia boleh mencecah RM20 ribu secara keseluruhan.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/287230

https://www.entcolumbia.org/about-us/what-otolaryngology

https://www.healthcareers.nhs.uk/explore-roles/doctors/roles-doctors/surgery/otorhinolaryngology-ear-nose-and-throat-surgery-ent

https://www.entcanada.org/education/general-public/public-information-sheets-2/otolaryngologist-head-neck-surgeon/

error: Content is protected !!