Now Reading
Epidural dan adakah ianya lebih baik digunakan dalam proses kelahiran?

Epidural dan adakah ianya lebih baik digunakan dalam proses kelahiran?

Epidural dan adakah ianya lebih baik digunakan dalam proses kelahiran?

Epidural adalah jenis anestetik yang paling biasa digunakan untuk menghilangkan rasa sakit semasa bersalin. Anestesia epidural adalah kaedah penghilang rasa sakit yang paling popular semasa bersalin. Kebanyakan wanita meminta untuk menggunakan epidural berbanding kaedah lain yang ada untuk menghilangkan rasa sakit mereka ketika itu. Malah, lebih daripada 50% wanita yang melahirkan di hospital menggunakan bantuan anestesia epidural.

Jadi, mari sama-sama fahami pelbagai jenis epidural, bagaimana ia diberikan, dan faedah dan risikonya bagi membantu anda membuat keputusan lebih baik semasa proses persalinan dan kelahiran.

Apakah itu Epidural?

Epidural adalah keadaan di mana ubat tahan sakit disuntik ke bahagian kecil belakang anda melalui tiub halus. Ia disebut anestetik ‘regional’, yang bermaksud ubat disuntik di sekitar saraf yang membawa isyarat daripada bahagian tubuh anda yang berasa sakit ketika anda bersalin.

Selain itu, epidural menyebabkan anestesia yang menimbulkan rasa kebas dari bahagian perut hingga ke bahagian kaki atas. Ini membolehkan anda terjaga dan berasa waspada sepanjang proses kelahiran, serta boleh merasakan tekanan ketika itu. Keupayaan untuk merasakan tekanan semasa kelahiran tahap kedua membolehkan anda untuk menolak keluar apabila tiba masanya untuk melahirkan bayi anda. Biasanya, ubat sakit ini boleh mengambil masa lebih kurang 15 minit sebelum berfungsi dengan baik.

Jenis-jenis Epidural

Terdapat dua epidural asas yang digunakan sehingga hari ini. Dos dan kombinasi ubat yang digunakan mungkin adalah berbeza mengikut pihak hospital dan pakar anestesia.

  • Epidural biasa. Jenis ini menggunakan jenis anestetik tempatan seperti lidocaine (dikenali sebagai Xylocaine) dan bupivacaine (dikenali sebagai Marcaine) atau ropivacaine. Anestetik epidural tempatan cenderung mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 minit untuk menghilangkan rasa sakit sepenuhnya, tetapi boleh mula membuat perbezaan selepas 10 minit atau lebih. Ia biasanya akan bertahan sekitar satu hingga dua jam (jika di tambah secara berkala, ia dikenali sebagai epidural berselang atau ‘intermittent epidural’).

  • Gabungan spinal-epidural (CSE). Dengan gabungan kedua-keduanya, CSE sering disebut sebagai ‘walking epidural’ dan adalah gabungan tulang belakang dan epidural. Memandangkan ia melibatkan dos ubat yang lebih rendah, ini memberi anda sedikit rasa di bahagian bawah dan memberikan lebih banyak kebebasan untuk anda bergerak dan menukar kedudukan, serta kelegaan rasa sakit dapat disesuaikan dengan lebih baik.

Bagaimana Epidural diberikan?

Cecair intravena (IV) akan dimulakan sebelum persalinan aktif bermula dan sebelum prosedur meletakkan epidural. Anda boleh menerima 1 hingga 2liter cecair IV sepanjang proses persalinan dan kelahiran. Pakar anestesi (pakar dalam hal anestesia), pakar kebidanan atau jururawat khas akan menguruskan epidural anda.

Anda akan diminta untuk melengkungkan bahagian belakang dan kekal dalam posisi tersebut sambil berbaring di sebelah kiri atau duduk. Kedudukan ini sangat penting untuk mencegah masalah dan meningkatkan keberkesanan epidural.

Larutan antiseptik akan digunakan untuk mengelap kawasan pinggang di belakang anda untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya jangkitan. Kawasan kecil di belakang anda kemudian akan disuntik dengan ubat bius tempatan untuk menjadikan ia kebas. Jarum kemudian dimasukkan ke kawasan kebas tersebut di sekitar saraf tunjang di bahagian bawah belakang badan anda.

Selepas itu, tiub kecil atau kateter disisipkan melalui jarum ke ruang epidural. Jarum kemudian dikeluarkan dengan berhati-hati, meninggalkan kateter di tempat tertentu untuk kemasukan ubat sama ada melalui suntikan berkala atau dengan infusi berterusan. Kateter dilekatkan di bahagian belakang untuk mengelakkannya tergelincir.

Bagaimana Epidural membantu dalam proses kelahiran?

Apabila seorang wanita memerlukan pembedahan ‘C-section’, faktor lain biasanya memainkan peranan termasuklah ukuran atau kedudukan bayi atau jika proses kelahiran adalah lambat kerana masalah lain. Dengan bantuan epidural, anda mungkin dapat merasakan pengecutan yang tidak akan sakit dan anda akan dapat menolak keluar bayi dengan berkesan. Ada bukti yang mengatakan bahawa epidural dapat mempercepat tahap pertama kelahiran dengan membiarkan ibu berehat.

Selain itu, terdapat beberapa cara bagaimana epidural dapat membantu semasa anda bersalin.

  • Ia selalunya melegakan kesakitan semasa proses melahirkan.
  • Ia berfungsi dengan cepat, memerlukan sekitar 20 minit untuk kemasukan dan persiapan serta 20 minit lagi setelah anestetik disuntik sebelum ia mula berfungsi.
  • Penambahan boleh diberikan oleh bidan yang berpengalaman, jadi anda biasanya tidak perlu menunggu pakar bius.
  • Anda mungkin masih menyedari kontraksi yang sedang berlaku, tetapi tidak berasa sakit.
  • Sekiranya anda mempunyai tekanan darah tinggi, ia mempunyai kesan sampingan yang berguna untuk menurunkan tekanan darah.
  • Ia boleh ditambah dengan anestetik tempatan yang lebih kuat jika anda memerlukan pembedahan caesar.

Adakah ia akan menyebabkan sebarang kesan sampingan?

Epidural adalah sangat selamat dan komplikasi serius sangat jarang berlaku. Namun, seperti semua ubat dan prosedur perubatan, ia masih berkemungkinan mempunyai kesan sampingan sendiri seperti:

  • Penurunan tekanan darah – Ubat ini dapat menurunkan tekanan darah, yang dapat melambatkan degupan jantung bayi anda. Jadi, anda akan diberikan cecair tambahan melalui tiub di lengan  (IV), dan anda mungkin perlu berbaring menghadap satu belah. Kadangkala, pakar bius akan memberikan ubat untuk mengekalkan tekanan darah anda.

  • Sakit belakang – Bahagian bawah belakang anda mungkin sakit di lokasi di mana jarum dimasukkan untuk memberikan ubat. Kesakitan ini biasanya tidak berlarutan lebih dari beberapa hari.

  • Sakit kepala – Dalam kes yang jarang berlaku, jarum yang menusuk penutup saraf tunjang boleh menyebabkan sakit kepala yang mungkin berlangsung selama beberapa hari jika ia tidak dirawat. Sekiranya keadaan ini timbul, bincangkan pilihan rawatan dengan pakar bius anda.

Adakah ia selamat untuk bayi?

Epidural boleh mempengaruhi bayi anda secara langsung dan tidak langsung.

  • Ia boleh menyebabkan penurunan tekanan darah, yang dapat mempengaruhi aliran oksigen ke bayi anda. Anda akan memerlukan tiub kecil, iaitu ‘intravenous cannula’ yang dimasukkan ke dalam tangan atau lengan sekiranya tekanan darah anda turun secara tiba-tiba.

  • Larutan epidural mengandungi opioid, fentanyl atau ubat serupa yang dapat menyeberangi plasenta. Dalam dos yang lebih besar (lebih 100 mikrogram), ubat ini boleh mempengaruhi pernafasan bayi atau membuatnya mengantuk.

SUMBER

https://www.asahq.org/whensecondscount/pain-management/techniques/epidural/

https://www.babycenter.com.my/a542571/epidural

https://www.babylist.com/hello-baby/epidural-for-labor

https://www.kidspot.com.au/birth/labour/labour-pain-relief/what-are-the-different-types-of-epidurals/news-story/ef906136c260c6c8ee6bbdce5ee2894c

https://americanpregnancy.org/labor-and-birth/epidural/

error: Content is protected !!