eRumah Johor adalah sebuah program Kerajaan Negeri yang menawarkan Program Rumah Mampu Milik Johor atau Rumah Mampu Biaya Johor sebagai salah satu inisiatif khas untuk membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah agar dapat memiliki rumah sendiri.
Dimana-mana pun anda berada, kami tak menafikan harga rumah terkini paling murah mungkin sahaja 200-400 ribu dan boleh lari daripada dengar orang mengeluh pasal susahnya nak beli rumah atas faktor pendapatan yang tidak melayakkan untuk memiliki rumah.
Nak buat macam mana kan, setiap tahun harga rumah naik. Bergantung pada lokasi, sudah tentu jika inginkan rumah dibandar-bandar utama harganya lebih melambung! Rumah yang 5 tahun lepas harga RM200,000, sekarang boleh cecah sampai RM400,000 atau lebih!
Jadi, makin ramai lah yang tak dapat nak membeli rumah ataupun tak berkelayakan untuk mendapat pinjaman perumahan.
Bagi sesiapa yang berminat, boleh sahaja layari laman web rasmi Portal Hartanah Johor atau eRumah Johor ini, terdapat pelbagai jenis Rumah Mampu Milik Johor seperti Projek Rumah Mampu Biaya, Lot Bumiputera, dan juga Program Perumahan Rakyat (PPR) yang memastikan rakyat negeri Johor berpeluang membeli rumah pada harga yang berpatutan.
Umum tertanya-tanya apakah eRumah Johor ini?
eRumah Johor adalah sistem permohonan perumahan negeri secara atas talian yang menawarkan Rumah Mampu Milik Johor / Rumah Mampu Biaya Johor bagi meringankan beban rakyat negeri Johor yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah idaman dengan harga yang berpatutan. Terdapat pelbagai jenis rumah mampu milik yang boleh dimohon di bawah eRumah Johor mengikut kadar pendapatan kelayakan masing-masing.
3 Kategori Rumah Yang Ditawarkan & Syarat Kelayakan
Walaupun terdapat pelbagai kategori rumah di bawah eRumah Johor, tetapi secara umumnya rumah-rumah yang ditawarkan oleh SUKJ Bahagian Perumahan adalah
- kediaman 3 bilik tidur
- dilengkapi 2 bilik air
- berkonsep mesra keluarga dan selesa
- dijual pada kadar harga yang mamp dimiliki oleh lapisan masyarakat
Bergantung kepada kelayakan pendapatan, anda boleh memohon perumahan melalui 3 jenis perumahan berikut:
Rumah Mampu Biaya Johor
Terdapat 5 jenis Rumah Mampu Biaya Johor yang boleh dimohon melalui eRumah Johor.
Syarat kelayakan bagi Rumah Mampu Biaya ini mestilah tidak melebihi had pendapatan seisi rumah bagi kategori:
- Rumah Mampu Biaya A – RM4,000
- Rumah Mampu Biaya B – RM6,000
- Rumah Mampu Biaya C – RM8,000
- Rumah Mampu Biaya D – RM10,000
- Kedai Kos Sederhana (KKS) – RM13,000
Syarat-syarat lain adalah:
- Warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas
- Menetap selama 10 tahun di Johor
- Hanya satu permohonan bagi pasangan suami / isteri
- Pemohon / pasangan yang telah memiliki RKR selama 10 tahun ke atas layak memohon rumah kedua (RMB B)
- Hanya SATU pemilikan Kedai Kos Sederhana (KKS) di Johor
- Pemohon / pasangan yang memiliki Rumah Kos Sederhana / Rumah Mampu Milik / Rumah TAK LAYAK untuk memohon
- Pemohon / pasangan yang memiliki RKR / RKSR / PKJA / PKJB boleh mohon RMB C dan RMB D
- Tempoh SAH pendaftaran rumah adalah DUA TAHUN dari tarikh pendaftaran
Lot Bumiputera
- Warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas
- Berkahwin / bujang boleh memohon
- Pemohon mestilah bertaraf bumiputera
- Pemohon yang bukan bertaraf bumiputera TAK LAYAK untuk memohon
Program Perumahan Rakyat
Melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) terdapat beberapa lagi subkategori seperti
- Program Perumahan Rakyat & Rumah Sewa Kerajaan
- Rumah Transit Beliau Johor
- Program Perumahan Rakyat & Rumah Sewa Kerajaan (Kedai)
Kerajaan negeri Johor juga turut menyediakan borang baucer RM1,000 sebagai inisiatif untuk membantu meringankan beban semasa membeli rumah, seperti duti setem dan deposit utiliti.
Syarat-syarat untuk menerima baucer ini adalah:
- Hanya layak untuk jenis rumah komuniti Johor PKJ A, PKJ B, dan RMMJ.
- Untuk projek perumahan baru sahaja, iaitu rumah baru yang dibeli oleh pemaju dan telah siap dibina dan boleh diduduki mulai 1 Januari 2015.
- Hanya akan diberi sekali sahaja kepada pembeli dan pasangannya.
Pembeli-pembeli boleh menuntut baucar tersebut daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) dan muat turun permohonan baucer di sini. Baucar akan dibayar 14 hari selepas borang permohononan tuntutan diserahkan .
Kami berharap dengan beberapa panduan ni dapat membantu lebih ramai rakyat di Johor yang berpendapatan sederhana atau B40 untuk mengetahui tentang Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), dan juga dapat merealisasikan impian mereka untuk memiliki sebuah rumah sendiri untuk dinikmati bersama keluarga tercinta.
Sumber
https://www.propertyguru.com.my/property-guides/cara-mohon-rumah-mampu-milik-johor-rmmj-23976