Now Reading
Faraj: Ketahui lebih banyak mengenai organ pembiakan wanita ini

Faraj: Ketahui lebih banyak mengenai organ pembiakan wanita ini

faraj

Apakah itu faraj

Faraj adalah saluran otot yang dilapisi saraf dan membran mukus. Ia menghubungkan rahim dan serviks ke bahagian luar badan, memungkinkan berlakunya kitaran haid, hubungan  persetubuhan dan kelahiran anak.

Anatomi faraj

Faraj adalah tiub fibromuskular dengan dinding anterior dan posterior. Ia biasanya runtuh dan bersentuhan antara satu sama lain.

Bentuk organ ini bukanlah seperti terowong yang bulat. Ia lebih kelihatan seperti huruf “H” yang terbaring di sebelah. Di hujung atas, faraj mengelilingi serviks, membuat dua kubah (‘fornices’ atau ‘vaults’): anterior dan posterior (lebih dalam).

‘Posterior fornix’ adalah penting kerana ia berfungsi seperti takungan semula jadi untuk air mani selepas ejakulasi dalam faraj. Air mani disimpan dalam cecair ‘fornix’ dalam 20 hingga 30 minit berikutnya, bagi memungkinkan penyerapan yang lebih mudah melalui saluran serviks.

Histologi Faraj

Faraj terdiri daripada empat lapisan histologi (dalaman hingga luaran):

  • ‘Stratified squamous epithelium’ – lapisan ini memberikan perlindungan dan dilincirkan oleh lendir serviks (faraj tidak mengandungi kelenjar sendiri).
  • ‘Elastic lamina propria’ – lapisan tisu penghubung padat yang menghubungkan ‘papillae’ ke dalam epitelium di bawahnya. Urat yang lebih besar terletak di sini.
  • Lapisan fibromuskular – terdiri daripada dua lapisan otot licin; bulatan dalaman dan lapisan membujur di luar.
  • ‘Adventiti’ – lapisan berserat, yang memberikan kekuatan tambahan pada faraj dan juga memegangnya pada struktur sekitarnya.

Bagaimana faraj berfungsi

Faraj adalah lebih dari sekadar tiub sahaja. Ketika berada dalam keadaan santai (tidak terangsang), dinding faraj runtuh antara satu sama lain, diratakan oleh tekanan organ dan tisu sekitar di dalam pelvis. Dalam keadaan ini, keratan rentas (cross-section) pada saluran faraj (lumen faraj) dapat menyerupai huruf “H” atau “W”, iaitu ketika dinding menjadi rata pada diri mereka sendiri.

Dinding faraj dilindungi dengan banyak lipatan yang disebut ‘rugae’. Dinding dan lipatan faraj mempunyai banyak tujuan, seperti menyediakan jalan penghalang dan akses antara serviks dan dunia luar. Semua lipatan ini membolehkan faraj meregang dan mengembang seperti alat muzik ‘accordeon’ apabila tekanan digunakan pada bahagian sisi.

Seterusnya, cecair dilepaskan melalui dinding faraj untuk mengekalkan kawasan lembap, dan semasa dalam keadaan ghairah, ia meningkatkan pelinciran. Faraj juga mampu menyerap beberapa zat seperti ubat, krim hormon, atau alat kontraseptif ke dalam badan.

Bagaimana faraj berubah semasa kitaran haid

Faraj berubah sebagai tindak balas terhadap tahap turun naik hormon dalam kitaran haid. Sekitar pertengahan kitaran, iaitu ketika tahap estrogen paling tinggi, tisu faraj menjadi lebih tebal dan penuh. Sebelum dan sesudah tempoh subur, serviks adalah rendah dan dapat dirasakan di dalam faraj dengan tekstur yang tegas, dan lubang di tengah serviks ditutup. Semasa tempoh subur, lubang di serviks terbuka untuk memudahkan kemasukan sperma ke dalam rahim, yang mana serviks dalam kedudukan lebih tinggi dalam faraj, dan lebih lembut ketika disentuh.

Bagaimana faraj berubah semasa hubungan seks

Faraj juga boleh mengalami perubahan yang lebih cepat, seperti semasa melakukan aktiviti seksual. Apabila seseorang mengalami keadaan faraj yang terangsang secara seksual, peningkatan aliran darah diarahkan ke alat kelamin, menyebabkan tisu faraj menjadi tersumbat dengan darah dan pelinciran tambahan akan dihasilkan. Cecair ini dipanggil cecair kerangsangan (arousal).

Masalah kesihatan biasa berkaitan faraj

Sama ada masalah kegatalan berterusan, keputihan tidak normal, atau kerengsaan, apabila ada sesuatu keadaan tidak betul di kawasan faraj anda, anda pasti mengetahuinya. Sebilangan besar wanita mengalami masalah faraj pada suatu ketika dalam kehidupan mereka.

  • Vaginitis: Keradangan pada faraj, biasanya disebabkan jangkitan yis atau pertumbuhan bakteria. Gatal, rembesan dan perubahan bau adalah gejala biasa. Selain itu, keadaan ini boleh dirawat dengan antibiotik atau ubat anti-kulat.
  • Vaginismus: Kekejangan otot faraj yang tidak disengajakan semasa hubungan seksual. Keresahan emosi mengenai seks, atau keadaan perubatan boleh menyebabkan keadaan ini. Bergantung pada penyebabnya, ia boleh dirawat dengan ubat, kaunseling atau beberapa jenis terapi lain.
  • Ketuat alat kemaluan: Ketuat sebegini boleh mempengaruhi vulva, faraj dan serviks. Rawatan dapat menghilangkan ketuat faraj yang terjadi kerana ‘human papillomavirus’ (HPV).
  • ‘Trichomoniasis’: Jangkitan faraj oleh parasit mikroskopik yang disebut trichomonas. Keadaan ini ditularkan melalui hubungan seks dan mudah disembuhkan.
  • Vaginosis bakteria (BV): Gangguan keseimbangan bakteria sihat di faraj, sering menyebabkan masalah bau dan keputihan. ‘Douching’, atau hubungan seks dengan pasangan baru boleh menyebabkan masalah ini. Namun, ia boleh dirawat dengan antibiotik.
  • Virus herpes simplex (HSV): Virus herpes dapat menjangkiti vulva, faraj dan serviks, menyebabkan lepuh dan bisul yang kecil, menyakitkan dan berulang. Ia tidak mempunyai gejala yang ketara dan ini adalah sesuatu perkara yang biasa. Virus ini disebarkan secara seksual serta boleh dirawat, tetapi tidak dapat disembuhkan.
  • Gonorea: Jangkitan bakteria yang menular secara seksual ini paling kerap menjangkiti serviks. Biasanya, ia tidak bergejala, tetapi keputihan dan kegatalan mungkin berlaku. Ia juga boleh menyebabkan penyakit keradangan ianggul dan kemandulan.
  • ‘Chlamydia’: Bakteria ‘Chlamydia trachomatis’ menyebabkan jangkitan kelamin ini. Hanya separuh wanita akan mengalami simptom, dan ini mungkin termasuk keputihan atau rasa sakit pada faraj atau perut. Ia boleh menyebabkan penyakit keradangan pinggul dan kemandulan.
  • Kanser faraj: Kanser faraj sangat jarang berlaku. Pendarahan atau keputihan yang tidak normal adalah gejalanya.
  • Prolaps faraj: Memandangkan otot pelvis menjadi lemah (biasanya selepas melahirkan anak), rektum, rahim, atau pundi kencing menekan pada faraj. Dalam kes yang teruk, faraj menonjol keluar dari badan.

Cara menjaga faraj anda

Anda boleh mengambil langkah-langkah untuk melindungi kesihatan faraj dan kesihatan keseluruhan anda.

  • Makan dengan betul, kawal berat badan dan bersenam. Ini bukan sahaja baik untuk seluruh badan anda, malah ia juga bagus untuk organ seksual anda. Keadaan kronik boleh membahayakan individu wanita. Contohnya, diabetes yang kurang terkawal meningkatkan kemungkinan wanita untuk dijangkiti jangkitan yis dan jangkitan saluran kencing (UTI).
  • Lakukan pemeriksaan biasa. Ikuti perkembangan pemeriksaan kesihatan dan berjumpa dengan pakar sakit puan anda untuk menjalani pemeriksaan rutin.. Bagi wanita muda, vaksinasi HPV adalah sangat penting untuk mengurangkan risiko kanser serviks.
  • Gunakan kondom. Ia adalah sangat penting untuk melindungi diri anda daripada penyakit kelamin dan kehamilan yang tidak diingini. Pastikan anda menggunakan kondom untuk mengelakkan masalah sebegini.
  • Hanya gunakan air. Faraj adalah organ pembersihan diri. Menggunakan bahan kimia yang keras atau tisu boleh mengganggu proses normalnya. Sekiranya anda masih mahu mencuci faraj anda, sabun yang lembut adalah baik untuk alat kelamin luar. Jika anda mempunyai kulit yang sangat sensitif, perhatikan juga sabun dan syampu yang anda gunakan semasa mandi. Malah, pencuci pakaian, cadar pengering dan beberapa pelincir boleh menyebabkan kerengsaan.
  • Pertimbangkan pelincir semula jadi. Minyak kelapa atau minyak zaitun mungkin merupakan pelincir dan pelembap faraj yang lebih baik berbanding produk lain. Ini adalah satu pilihan yang ada untuk wanita yang tidak menggunakan kondom.
  • Ketahui ubat anda. Bincangkan penggunaan ubat dan kemungkinan kesan sampingan terhadap faraj dengan doktor anda.
  • Hadkan jumlah alkohol yang diambil dan jangan merokok. Penyalahgunaan alkohol kronik boleh merosakkan fungsi seksual. Nikotin boleh menghalang rangsangan seksual. Di samping itu, penyalahgunaan bahan juga boleh menyebabkan kesihatan fizikal dan mental yang buruk, serta boleh mempengaruhi fungsi seksual.
  • Jangan abaikan pendarahan selepas menopaus. Sekiranya anda pernah mengalami pendarahan selepas menopaus, berjumpa dengan doktor anda untuk diperiksa.
  • Prolaps dan inkontinensia biasanya tidak berbahaya. Keadaan ini hanya memerlukan rawatan sekiranya ia mengganggu anda. Namun, jika anda menghadapi masalah untuk mengosongkan pundi kencing atau usus mahupun mengalami kesakitan atau pendarahan, inilah masanya untuk mendapatkan rawatan.
  • Pengambilan estrogen faraj adalah selamat untuk kebanyakan wanita. Ini dapat membantu mencegah atau membalikkan perubahan yang berlaku seiring pertambahn usia, seperti seks yang menyakitkan (kerana dinding faraj yang menipis dan kurang anjal) dan peningkatan risiko untuk UTI (disebabkan perubahan pH kerana faraj menjadi kurang berasid).

SUMBER

https://www.webmd.com/women/picture-of-the-vagina#1

https://www.healthline.com/human-body-maps/vagina#conditions

https://teachmeanatomy.info/pelvis/female-reproductive-tract/vagina

https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/womens-health/in-depth/vagina/art-20046562

https://helloclue.com/articles/cycle-a-z/vaginas-101

error: Content is protected !!