Femoral hernia berlaku apabila tisu menolak melalui tempat yang lemah di dinding otot pangkal paha atau bahagian dalam paha. Penyebab biasanya berlakunya keadaan ini termasuklah mempunyai berat badan berlebihan dan tekanan melampau ketika batuk, bersenam atau buang air besar.
Otot anda biasanya cukup kuat untuk menjaga usus dan organ anda di tempat yang betul. Kadangkala, tisu dalam perut dapat ditembusi melalui tempat yang lemah pada otot anda ketika anda melakukan latihan berlebihan.
Seterusnya, femoral hernia akan muncul sebagai benjolan berdekatan pangkal paha atau paha. Saluran femoral menempatkan arteri femoral, iaitu urat yang lebih kecil dan saraf. Ia terletak tepat di bawah ligamen ‘inguinal’ di pangkal paha.
Simptom Femoral hernia
Simptom yang paling ketara adalah benjolan di bahagian atas paha atau pangkal paha. Benjolan mungkin adalah lembut atau menyakitkan. Kadangkala, ia mungkin hilang ketika seseorang sedang berbaring dan boleh bertambah buruk ketika individu sedang meneran.
Hernia bersaiz kecil dan sederhana biasanya tidak menyebabkan sebarang gejala. Dalam kebanyakan kes, anda mungkin sedar adanya hernia femoral kecil. Berbeza pula dengan hernia besar kerana ia mungkin lebih ketara dan boleh menyebabkan rasa tidak selesa.
Benjolan mungkin kelihatan di kawasan pangkal paha berhampiran paha atas anda. Malah, pembengkakan mungkin menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kesakitan ketika anda berdiri, mengangkat benda berat, atau membuat regangan dengan cara apa pun.
Gejala yang teruk boleh menandakan bahawa femoral hernia menghalang pergerakan usus. Ini adalah keadaan yang sangat serius disebut sebagai ‘strangulation’ atau sekatan. Gejala femoral hernia yang serius termasuk:
- sakit perut yang teruk
- sakit pada pangkal paha secara tiba-tiba
- loya
- muntah
Punca Femoral hernia
Femoral hernia terjadi disebabkan tisu dalaman yang melalui titik lemah di dinding otot, berhampiran pangkal paha atau bahagian dalam paha.
Punca sebenarnya mungkin tidak diketahui sehingga kini. Kadangkala, individu mungkin dilahirkan dengan struktur dinding otot yang lemah di kawasan ini.
Selain itu, masalah ini juga boleh berlaku akibat regangan atau tekanan berlebihan di kawasan ini kerana:
- buang air kecil atau air besar
- mempunyai berat badan berlebihan
- mengangkat atau menolak objek berat
- mengalami batuk yang berterusan dan kuat
- beranak
- mengalami ‘ascites’ atau penumpukan cecair perut yang tidak normal
- menerima rawatan dialisis, atau rawatan untuk penyakit buah pinggang
Diagnosis Femoral hernia
Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dengan meraba-raba atau menyentuh kawasan terjejas dengan lembut untuk menentukan sama ada anda mempunyai hernia femoral atau tidak. Sekiranya saiz hernia adalah besar, ia kemungkinan besar akan membonjol.
Ultrabunyi pada bahagian perut dan pangkal paha dapat mengesahkan diagnosis atau membuat diagnosis jika adanya kecurigaan femoral hernia walaupun tiada bukti yang jelas pada pemeriksaan fizikal. Teknologi pencitraan juga dapat menunjukkan kecacatan pada dinding otot, serta tisu yang menonjol.
Faktor risiko Femoral hernia
Walaupun penyebab utamanya tidak diketahui, sebilangan individu berisiko lebih tinggi untuk mendapat masalah ini berbanding yang lain.
Faktor risiko masalah femoral hernia merangkumi:
- Jantina: Kedua-dua jantina sama ada lelaki atau wanita boleh mengembangkan femoral hernia, tetapi ia berlaku kira-kira 10 kali lebih kerap pada golongan wanita. Ini berlaku kerana pelvis wanita adalah lebih lebar jika dibandingkan dengan pelvis lelaki.
- Umur: Femoral hernia adalah masalah yang lebih biasa menjejaskan orang dewasa berbanding kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak menghidapnya, ia biasanya terjadi disebabkan keadaan perubatan, seperti gangguan tisu penghubung.
- Sejarah keluarga: Individu yang mempunyai ahli keluarga dekat dengan masalah femoral hernia mempunyai risiko sehingga 8 kali ganda untuk mengalaminya sendiri.
Rawatan Femoral hernia
Femoral hernia yang kecil dan tanpa gejala mungkin tidak memerlukan rawatan khusus. Doktor mungkin akan memantau keadaan anda untuk melihat sekiranya gejala bagi keadaan ini berkembang atau tidak. Sebaliknya, femoral hernia yang bersaiz sederhana hingga besar memerlukan pembaikan melalui pembedahan, terutamanya jika mereka menyebabkan ketidakselesaan.
Pembedahan yang dilakukan dapat mendorong bonjolan kembali ke tempatnya dan menguatkan kelemahan di dinding perut.
Tidak seperti jenis hernia lain, rawatan femoral hernia biasanya disarankan secepatnya kerana terdapat risiko komplikasi yang lebih tinggi dalam kes ini.
Terdapat 2 jenis pembedahan untuk pembaikan femoral hernia. Jenis pembedahan yang diperlukan bergantung pada ukuran hernia, usia seseorang, tahap kesihatan umum mereka dan faktor lain.
Pembaikan hernia melalui pembedahan mungkin melibatkan:
Pembedahan terbuka (Open surgery)
Individu yang menjalani pembedahan terbuka biasanya akan menerima anestesia umum, yang bermaksud mereka perlu benar-benar tertidur semasa pembedahan dijalankan. Kadangkala, mereka mungkin menerima anestetik tempatan yang mematikan rasa di kawasan terjejas tetapi kekal berjaga semasa prosedur dilakukan.
Pakar bedah akan memulakan pembedahan dengan membuat hirisan kecil di pangkal paha untuk mengakses kawasan yang terjejas. Mereka akan menggerakkan tisu yang membonjol kembali ke dalam perut sebelum memperbaiki dinding saluran femoral dengan jahitan yang kuat atau sekeping jaring (mesh).
Laparoskopi
Doktor boleh melakukan pembedahan invasif minimum ini di bawah penggunaan anestesia umum. Ia melibatkan beberapa hirisan kecil di bahagian bawah perut. Pakar bedah kemudian akan meletakkan tiub nipis dengan kamera kecil, laparoskop, ke dalam hirisan tersebut. Mereka juga akan memasukkan alat pembedahan ke dalam hirisan lain untuk menggerakkan tisu kembali ke perut dan memperbaiki otot yang rosak dengan sekeping jaring atau ‘mesh’.
Pembedahan laparoskopi tidaklah sesuai untuk semua pesakit, terutama bagi mereka yang mempunyai hernia yang sangat besar. Walau bagaimanapun, tempoh pemulihan biasanya lebih cepat berbanding pembedahan terbuka. Prosedur ini juga menyebabkan kurang parut berbanding pembedahan terbuka.
SUMBER
https://www.medicalnewstoday.com/articles/324118