Futsal adalah sejenis sukan yang hampir sama seperti bola sepak, tetapi dengan keistimewaannya tersendiri. Sukan ini adalah salah satu sukan yang berkembang paling pesat di dunia. Ramai yang menjadikannya sebagai kaedah untuk mengembangkan diri bagi pemain bola sepak muda. Ini kerana, ia dimainkan dengan bola yang lebih kecil dan lebih berat, jadi ia mendorong kawalan, sentuhan dan hantaran yang baik.
Apa yang anda perlu diketahui mengenai sukan ini?
Futsal adalah sukan bola yang dimainkan di gelanggang keras, lebih kecil jika dibandingkan dengan padang bola, dan kebanyakannya di kawasan tertutup. Ia mempunyai persamaan dengan bola sepak lima sisi.
Seterusnya, sukan ini melibatkan dua pasukan yang bersaing dengan lima pemain bagi setiap kumpulan. Terdapat satu penjaga gol untuk setiap pasukan. Penggantian tanpa had juga dibenarkan (12 setiap pasukan).
Tahukah anda bahawa bermain futsal boleh membakar 84 kalori dalam tempoh 10 minit dan meningkat tiga kali ganda dalam masa 30 minit? Hebat bukan?
Salah satu perkara yang sering menjadi persoalan oleh peminat sukan adalah sama ada bola sepak sama dengan futsal. Ini cukup difahami kerana kedua-dua permainan kelihatan sama dengan mata kasar. Walau bagaimanapun, terdapat teknik yang unik dan perbezaan antara bola sepak dan futsal, dan kami akan menjelaskannya di sini.
Terdapat lebih daripada satu perbezaan antara futsal dan bola sepak dan ini termasuklah:
- Bola sepak dimainkan di kawasan luar manakala futsal dimainkan di kawasan tertutup.
- Pasukan bola sepak masing-masing terdiri daripada 11 pemain, sementara pasukan futsal hanya mempunyai 5 pemain.
- Hanya tiga kali penggantian dibenarkan dalam bola sepak sementara penggantian tanpa had dibenarkan dalam sukan futsal.
- Perlawanan bola sepak berlangsung dalam dua bahagian, masing-masing dengan separuh masa selama 45 minit. Permainan futsal pula berlangsung dalam dua bahagian, dengan setiap set merangkumi 20 minit.
- Dalam sukan bola sepak, penggantian tidak dibenarkan untuk pemain yang dihantar dari padang. Tetapi dalam futsal, pemain yang dihantar boleh diganti selepas dua minit.
- Bola sepak menggunakan kaedah ‘running clock’ tetapi futsal menggunakan kaedah ‘stop clock’.
Mengapa anda mesti mencuba sukan ini?
Sekiranya anda tidak pernah terfikir untuk bermain futsal sebelum ini, mari kami berkongsi dengan anda beberapa kelebihan bermain sukan ini:
1. Meningkatkan set kemahiran yang berbeza
Pertama sekali, kemahiran koordinasi anda akan bertambah hebat semasa anda belajar bagaimana untuk berlari, mengamati dan menendang bola pada masa yang sama. Ini secara tidak sengaja boleh meningkatkan daya tumpuan, kegigihan dan disiplin diri anda.
2. Meningkatkan kesihatan kardiovaskular
Seorang pemain bola sepak secara purata berlari sekitar 8 hingga 11 kilometer dalam permainan penuh yang mana ini boleh memberikan senaman kardio yang sangat baik bagi menjaga degupan jantung, menguatkan jantung anda, mengurangkan tekanan darah, menahan penumpukan plak di arteri koronari dan tentu sahaja, membakar lebihan kalori. Tetapi, walaupun jarak yang dilalui tidak begitu besar untuk futsal, namun kelajuan jangka pendek yang diperlukan semasa pertandingan masih bermanfaat untuk tubuh anda.
3. Membina kekuatan dan kelenturan
Dengan permain futsal, anda kini berkebolehan untuk berlari jauh, malah ia juga meningkatkan kekuatan dan fleksibiliti anda kerana membolehkan anda belajar bagaimana untuk menukar arah dengan cepat sambil mengelakkan kecederaan. Di samping itu, bahagian badan bawah anda akan membina kekuatan dengan hebat semasa anda menendang, melompat, menggelecek, mengatasi, memutar dan berpusing!
4. Mempunyai suasana yang lebih baik dan meningkatkan keyakinan
Bermain futsal membantu otak untuk melepaskan bahan kimia tertentu seperti serotonin iaitu bahan kimia yang membuatkan anda berasa senang dan lebih bahagia. Ini mempunyai kesan untuk mengawal kegelisahan, mengurangkan gejala kemurungan sehingga membuatkan anda berasa seperti seorang juara!
Bagaimana sukan ini dimainkan?
Permainan ini dimainkan di padang tertutup dengan lantai rata dengan ketinggian 2m x jarak 3m (6.5’x10 ‘) gol berserta bola bersaiz 4 yang kurang melantun. Permainan ini menyokong kawalan bola dan pengambilan keputusan yang cepat. Penggantian tanpa had juga dibenarkan, kerana pemain secara berterusan keluar masuk dari gelanggang.
Jom lihat peralatan yang diperlukan dalam sukan futsal pula.
1. Pakaian
Sebilangan besar pasukan futsal bermain dalam kit yang serupa seperti yang dipakai dalam sukan bola sepak. Aksi persaingan memerlukan kemeja bernombor, seluar pendek, stokin kaki, pelindung ‘shin-guards’ dan ‘trainers’ dengan tapak getah. Penjaga gol perlu memakai warna yang berbeza daripada rakan sepasukan mereka dengan cara yang sama seperti sukan bola sepak, dan sepasang sarung tangan penjaga gol yang berkualiti juga diperlukan.
2) Bola
Perbezaan terbesar antara bola sepak versi lima-sisi dan futsal adalah bola yang digunakan. Sukan futsal melibatkan kawalan, hantaran dan teknik jarak dekat, jadi bola yang lebih kecil dan lebih berat digunakan. Ianya disyorkan agar pemain bawah umur 12 tahun bermain dengan bola futsal berukuran 3, sementara yang berusia lebih dari 13 tahun pula bermain dengan bola berukuran 4.
3) Kasut
Kasut futsal direka khas untuk sukan futsal dan dihasilkan untuk sukan bola sepak di kawasan tertutup dengan permukaan yang keras. Anda memerlukan sepasang kasut bola dengan tapak tanpa getah di bahagian bawah.
Semasa mencari kasut futsal, anda mahukan kasut yang akan memberikan anda cengkaman, daya tarikan dan kemampuan untuk menukar arah dengan cepat yang merupakan prinsip utama permainan.
Bagaimana untuk mengelakkan kecederaan?
Kecederaan adalah perkara biasa bagi setiap sukan. Tetapi, ia mungkin berbeza bergantung pada bagaimana ia dimainkan, alat yang digunakan dalam permainan dan banyak faktor lain. Berikut adalah beberapa kecederaan biasa ketika bermain futsal dan bagaimana anda dapat mengelakkannya.
1. Kecederaan buku lali
Kecederaan buku lali adalah kecederaan yang paling kerap dialami oleh pemain futsal (lebih dari 40%). Malangnya, peramal terbesar kecederaan buku lali, adalah kecederaan buku lali sebelumnya. Itulah sebabnya diagnosis dan pemulihan yang tepat sejak dahulu lagi adalah sangat penting. Penggunaan pita dan pendakap dilihat membantu mengurangkan insiden kecederaan pergelangan kaki.
2. Ketegangan ‘hamstring’
Ketegangan ‘hamstring’ akut adalah perkara biasa dalam semua sukan larian. Ia sering berlaku dalam pertengahan pecutan. Pencegahan boleh dibuat dengan pemanasan badan yang baik, dan memfokuskan untuk menguatkan otot ‘hamstring’ melalui latihan berat. Seperti kecederaan pergelangan kaki, ketegangan ‘hamstring’ terdahulu adalah faktor risiko besar untuk mengalami kecederaan berulang. Jadi, pemulihan ‘hamstring’ yang betul ketika kali pertama adalah sangat penting.
3. ‘Corked thigh’ (Quad contusion)
‘Corks’ atau lebam boleh berlaku di mana-mana sukan hubungan dan malangnya tidak begitu banyak perkara boleh dilakukan untuk mencegahnya. Menggunakan ais dan mampatan membantu mengelakkan pembengkakan berlebihan di dalam otot.
Petua bermain futsal dengan lebih baik
Berikut adalah petua yang boleh membantu perkembangan anda sebagai pemain futsal yang lebih hebat:
1. Kekal cergas dan sihat
Semasa anda bertanding sebagai pemain futsal, anda perlu mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi agar anda tetap kompetitif. Anda boleh melakukan ini dengan makan secara sihat, berehat secukupnya dan tidak membebankan badan dan minda anda.
Kesihatan dan kesejahteraan mental anda sama pentingnya, kerana anda tidak boleh bermain futsal pada tahap terbaik jika anda mengalami stres atau tidak gembira. Pastikan anda meluangkan masa bersama keluarga dan rakan bagi memberikan anda peluang untuk berehat secara mental.
2. Mempunyai peralatan yang betul
Pada peringkat asas, anda memerlukan peralatan yang tepat. Anda tidak boleh mengharapkan permainan futsal yang memakai kasut luar, kerana ini tidak akan berfungsi dan boleh membahayakan anda. Penjaga gol pula memerlukan peralatan tambahan seperti pelindung lutut, sarung tangan yang direka untuk futsal dan sejumlah peralalatan tambahan pilihan yang lain.
3. Mempunyai kerja berpasukan yang baik
Anda dan pasukan anda perlulah saling mengenali dan memahami cara bermain dengan satu sama lain. Perkara seperti komunikasi lisan, isyarat tangan dan bahasa badan harus difahami dengan baik dan dilatih di lapangan latihan.
Oleh itu, sebagai satu pasukan, anda mesti mengetahui formasi futsal agar dapat berpeluang menjadi pemain yang terbaik.
4. Mengelakkan keletihan
Apabila anda bermain futsal sama ada secara sosial atau di peringkat yang lebih tinggi, anda akan mempunyai banyak peluang untuk bermain permainan tambahan hampir setiap hari dalam seminggu. Walaupun ianya menyeronokkan untuk bermain futsal, kami mengesyorkan agar anda tidak terlalu berdedikasi dengan latihan/ bermain secara berlebihan.
5. Bersikap kreatif dan yakin dengan diri sendiri
Futsal adalah permainan taktikal yang luar biasa di mana pemain mesti mengetahui peranan mereka dalam pasukan dan mengikuti rancangan permainan sekiranya mereka boleh berjaya. Tetapi, ia juga penting untuk tidak membiarkan sistem menghilangkan kreativiti anda.
Hakikatnya, kita semua membuat kesilapan dari semasa ke semasa. Jangan terlalu memikirkan kesalahan yang anda buat, tetapi sebaliknya fokus tentang bagaimana anda boleh memperbaiki diri dan membantu pasukan anda untuk menjadi juara apabila peluang itu muncul.
SUMBER
https://sendaathletics.com/blogs/news/5-reasons-why-you-should-play-futsal
https://futsal.asia/lifestyle/this-is-why-you-should-start-playing-futsal-today/
https://futsalguide.com/beginner-info/futsal-tips/
https://www.walfc.org/learn-all-about-futsal/
https://www.pinned.ph/the-difference-between-football-and-futsal/
https://bodyfocusphysioclinic.com.au/5-most-common-futsal-injuries-how-to-prevent-them/