Kalau anda nak tahu, semua orang ada kawan yang memang tidak mahir mengambil gambar langsung. Atau adakah anda kawan tersebut? Jangan risau, kami akan bantu anda menyelesaikan masalah ini untuk mengambil gambar cantik.
Ikuti panduan dan tips fotografi kami untuk mula mengambil gambar ala-ala Nat Geo yang selalu anda impikan. Yang paling ‘best’, anda tak perlu peralatan yang canggih-canggih. Telefon bimbit pun boleh jadi sehebat kamera profesional kalau anda tahu menggunakannya!
1. Kuasai komposisi aturan sepertiga
Pernah dengar tentang komposisi aturan sepertiga? Begini caranya untuk mengambil gambar yang cantik dengan teknik ini. Hidupkan garisan grid pada kamera telefon pintar anda dan anda akan melihat 9 kotak segi empat di skrin telefon. Cari subjek yang menjadi fokus gambar dan letakkannya di sudut kiri atau kanan gambar. Hasilnya adalah gambar yang kelihatan profesional dan kemas!
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja anda dapat menguasai aturan ini, anda boleh bermain dengannya. Komposisi aturan sepertiga ini berguna apabila anda mengambil gambar landskap atau apabila anda ingin memberi fokus pada satu subjek, contohnya seorang wanita dalam bot yang terapung di atas laut. Tetapi, sesetengah gambar nampak lebih baik dengan titik tumpuan visual di tengah-tengah gambar. Jadi, cuba bereksperimen untuk lihat komposisi yang sesuai dengan gambar anda!
2. Latih mata untuk mengatur simetri
Sukar untuk menggambarkan perasaan apabila melihat gambar dengan simetri yang sempurna – kepuasan estetika yang dikaitkan dengan ketenangan, harmoni dan emosi yang menggembirakan. Lihat saja gambar di atas.
Tetapi, cabaran untuk mencapai keseimbangan dalam gambar atau memegang kamera secara lurus untuk mengambil komposisi gambar yang simetri sebenarnya bukanlah semudah yang disangka. Tetapi usaha anda pasti berbaloi! Anda cuma perlu bersabar sahaja.
Tip: Hidupkan mod garisan grid pada kamera anda. Garis-garis ini akan membantu anda untuk memastikan segala-galanya lurus dan meletakkan titik tumpuan visual di tengah-tengah. Atau jika anda gagal mendapatkan simetri, edit foto dengan menggunakan fungsi “Lurus.”
3. Cuba cari cahaya semula jadi
Anda keluar untuk sarapan pagi dan ingin mengambil gambar makanan anda, tetapi gambar yang ditangkap jauh lari daripada warna makanan di hadapan mata? Jangan risau, kami akan beritahu anda rahsia di sebalik gambar makanan yang anda lihat di Instagram — pencahayaan semula jadi!
Pencahayaan dapat “menyalakan” gambar anda daripada baik kepada hebat. Tetapi, kami tidak maksudkan flash kamera! Tiada yang lebih efektif daripada pencahayaan semula jadi, tak kira betapa hebatnya peralatan pencahayaan anda. Jika anda mengambil gambar potret, pencahayaan semula jadi lebih sesuai untuk tona kulit anda manakala cahaya lembut, biasanya semasa matahari terbit atau matahari terbenam, dapat menerangi landskap yang indah. Gunakan pencahayaan semula jadi untuk menyerlahkan warna-warna hidangan anda dan buat kawan-kawan lapar melihatnya!
Walau bagaimanapun, mengambil gambar semasa matahari terik mungkin kurang sesuai kerana pencahayaan yang ‘kasar’ dan terlalu terang. Sebaliknya anda perlu mencari alternatif lain untuk mendapatkan pencahayaan yang lembut.
Contohnya, cuba bermain dengan pencahayaan dan bayang-bayang pencahayaan di tempat redup. Walaupun jauh daripada cahaya langsung, tempat redup juga punya cahaya yang mencukupi untuk menerangi subjek fotografi anda. Contohnya tempat teduh di bawah pokok, di bawah jambatan atau dalam hutan. Jika anda inginkan cahaya yang lebih lembut, cuba bermain dengan cahaya matahari semasa matahari terbenam atau gunakan cahaya matahari yang masuk melalui tingkap.
5. Fokus pada satu subjek
Sebelum anda mengambil gambar, tanya diri anda, “Apa yang saya mahu orang lain lihat?” Mata manusia berfungsi seperti kamera: Ia tertarik kepada subjek yang menjadi fokus dalam gambar. Fotografi yang efektif adalah titik tumpuan dalam satu gambar yang dapat menarik perhatian penonton. Sebab itulah mencari visual utama penting sebelum anda mengambil gambar.
Satu cara yang mudah untuk mencipta titik tumpuan visual adalah dengan mengawal kedalaman medan atau fokus. Dengan mengaburkan butiran di latar belakang gambar, subjek menjadi satu-satunya titik tumpuan visual dalam gambar. Kini telefon pintar telah menjadikannya lebih mudah dengan mod tangkapan potret yang mengunci fokus pada subjek anda.
Tip: Apabila menggunakan kamera telefon pintar, sentuh skrin anda pada subjek sebelum mengambil gambar untuk menetapkan fokus kamera dan mengoptimumkan pencahayaan. Apabila skrin disentuh, ikon berbentuk bulatan atau segi empat tempat akan mengelilingi subjek.
6. Cari perspektif yang unik
Barangkali pemandangan yang anda ambil telah ditangkap berkali-kali sebelumnya, jadi bagaimana untuk menjadikannya lain daripada yang lain?
Kebanyakan orang cenderung untuk mengambil gambar daripada perspektif tahap mata, namun bosan juga kalau semua orang menggunakan sudut yang sama. Terokai sudut lain – bawa kamera anda ke bawah atau berbaring (berhati-hati supaya tidak menganggu perjalanan orang lain!) atau miringkan kamera anda. Mungkin langkah-langkah ini nampak kecil sahaja, namun ia dapat membawa perubahan yang besar untuk gambar anda!
Eksperimen: Cuba ambil gambar dengan nisbah langit yang berbeza dan lihat yang mana satu dapat memberikan perspektif terbaik.
7. Gunakan fungsi HDR
Ada satu mod mengambil gambar yang dipanggil Julat Dinamik Tinggi (HDR), fungsi yang ada dalam kebanyakan kamera telefon pintar kini. Mod tangkapan ini dapat menjadikan warna dalam gambar anda nampak lebih meriah. Kami sukakannya kerana perinciain yang dapat ditangkap melalui mod ini.
Oleh sebab HDR menggabungkan 3 gambar dalam 3 situasi yang berbeza – pencahayaan yang cukup, pencahayaan yang kurang dan pencahayaan yang lebih – dalam satu gambar, gambar yang terhasil pada akhirnya mempunyai perincian yang hebat dan menjadi satu gambar cantik. Malah, gambar itu seakan-akan sama dengan apa yang boleh dilihat oleh mata manusia!
Ada faham, kawan-kawan? Dah tiba masanya anda menguasai kemahiran mengambil gambar dan menghasilkan gambar cantik! Selepas membaca artikel ini, bawa kamera (dan juga kawan yang tak pandai mengambil gambar) untuk praktis. Atau, kalau gambar anda tak boleh diselamatkan lagi, edit sahaja gambar itu!
Sumber:
https://www.traveloka.com/ms-my/explore/tips/tips-fotografi/52599
https://www.infosantai.com/gambar-guna-handphone/
https://www.mstar.com.my/xpose/isuke/2018/12/31/mobile-photography