Gangguan mieloproliferatif kronik adalah sejenis kanser darah yang jarang berlaku dan mempunyai banyak simptom yang berbeza tanpa sebab yang jelas. Oleh sebab itu, ia boleh menjadi keadaan yang sukar untuk didiagnosis. Penjagaan dan rawatan selama bertahun-tahun adalah perkara biasa bagi masalah ini.
Punca Gangguan Mieloproliferatif Kronik
Doktor masih mencari punca kepada gangguan ini. Setakat ini, apa yang diketahui adalah jika anda mempunyai gangguan mieloproliferatif kronik, anda mempunyai mutasi gen (perubahan) pada sel-sel sumsum tulang anda. Ini menjadikan tubuh anda tidak dapat menghasilkan jumlah dan jenis sel darah yang betul.
Selain itu, anda juga tidak dilahirkan dengan mutasi ini. Ia berlaku apabila anda menjadi dewasa. Beberapa teori menyatakan bahawa mempunyai virus atau berada di sekeliling bahan kimia atau radiasi yang toksik boleh menyebabkan hal ini berlaku.
Simptom Gangguan Mieloproliferatif Kronik
Tanda-tanda bahawa anda mempunyai salah satu gangguan ini termasuklah:
- Anemia (tidak mempunyai sel darah merah mencukupi untuk membawa oksigen).
- Sesak nafas.
- Kulit pucat.
- Rasa lemah dan keletihan.
- Kurang selera makan.
- Pendarahan yang berlebihan (walaupun anda mendapat luka kecil).
- Jangkitan sinus.
- Jangkitan kulit.
- Jangkitan saluran kencing (UTI).
- Sakit kepala.
- Mudah lebam.
- Berpeluh pada waktu malam.
- Demam.
- Petekia (bintik merah kecil di bawah kulit anda).
Diagnosis Gangguan Mieloproliferatif Kronik
Pada peringkat awal penyakit ini, kebanyakan individu tidak mengalami sebarang simptom. Ini menjadikannya satu cabaran untuk doktor membuat diagnosis dengan betul. Sebarang tanda yang muncul sering dianggap sebagai masalah kesihatan yang lain.
Anda mungkin perlu berjumpa doktor yang pakar dalam masalah gangguan mieloproliferatif kronik ini untuk didiagnosis. Ujian darah akan dilakukan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesihatan anda. Seterusnya, bagi mengesahkan diagnosis, biopsi sumsum tulang juga sering dilakukan.
Jarum berongga akan dimasukkan ke dalam tulang pinggul atau tulang dada anda semasa proses biopsi tersebut. Kemudian, sampel darah, sumsum tulang atau tulang akan dikeluarkan dan dihantar ke makmal. Di sana, ia boleh diperiksa di bawah mikroskop untuk mencari kehadiran sel-sel kanser.
Rawatan Gangguan Mieloproliferatif Kronik
Gangguan ini sukar untuk disembuhkan. Doktor biasanya akan memberi tumpuan dengan cuba membuatkan sel darah anda kembali ke tahap yang normal. Beberapa cara yang paling biasa dilakukan ialah:
- Kemoterapi: Ubat dengan dos yang kuat digunakan untuk membunuh sel darah tambahan di dalam badan anda. Anda boleh mendapatkannya melalui IV atau diberikan pil yang diambil melalui mulut.
- Terapi radiasi: Sinar-X berkuasa tinggi atau jenis sinaran lain boleh mengurangkan jumlah sel darah yang anda miliki dan boleh melegakan simptom anda.
- Flebotomi: Satu unit darah boleh dikeluarkan daripada anda untuk mengurangkan jumlah sel darah merah.
- Terapi gen: Ubat-ubatan baharu mungkin dapat menghalang atau membaiki gen mutasi yang menyebabkan gangguan mieloproliferatif kronik ini.
- Terapi hormon: Hormon tertentu boleh memanjangkan jangka hayat sel darah normal anda atau mendorong sumsum tulang anda untuk menghasilkan darah normal dengan lebih banyak. Terapi hormon juga boleh mengurangkan beberapa kesan sampingan gangguan jenis ini.
- Pemindahan sel stem: Jika anda mempunyai kes gangguan mieloproliferatif kronik yang serius, anda mungkin perlu menjalani pemindahan sel stem. Semasa prosedur ini, sumsum tulang yang sihat daripada penderma akan dipindahkan kepada anda. Ini adalah satu-satunya rawatan yang berpotensi untuk menyembuhkan gangguan ini, tetapi ia bukanlah rawatan untuk semua orang.
- Ujian klinikal: Kajian ini menguji rawatan kanser baharu untuk melihat sama ada rawatan ini berfungsi dengan baik atau juga lebih baik daripada rawatan yang ada. Dalam sesetengah kes, rawatan ini mungkin menjadi pilihan terbaik anda. Anda mungkin antara individu pertama untuk mencuba pembedahan atau rawatan baru, sambil memainkan peranan penting dalam penyelidikan kanser.
- Menunggu dengan teliti: Jika gangguan mieloproliferatif kronik anda sangat ringan dan anda tidak mempunyai sebarang simptom tertentu, doktor mungkin menyarankan anda supaya menunggu sahaja sebelum memulakan apa-apa rawatan. Sesetengah individu pulih selama beberapa tahun dengan hanya mengambil aspirin harian untuk mengelakkan pembekuan darah dan membuat lawatan berjumpa doktor yang biasa.
SUMBER
https://www.webmd.com/cancer/chronic-myeloproliferative-disorders#1
https://www.docdoc.com/id/info/condition/gangguan-pertumbuhan-sel-sumsum-tulang-mieloproliferatif
https://www.mayoclinic.org/departments-centers/myeloproliferative-disorders-group/ovc-20201578