Now Reading
Gangguan Tidur (Sleep Disorder) – Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan

Gangguan Tidur (Sleep Disorder) – Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan

gangguan tidur

Gangguan tidur adalah satu keadaan yang dialami seseorang mempengaruhi keupayaan untuk tidur dengan baik dan secara teratur. Sama ada ia berlaku disebabkan oleh masalah kesihatan atau terlalu banyak tekanan, gangguan tidur menjadi semakin biasa di kalangan masyarakat kini.

Kebanyakan individu mengalami masalah tidur akibat tekanan, jadual yang sibuk, dan pengaruh luar yang lain. Walau bagaimanapun, apabila isu-isu ini mula berlaku secara berkala dan mengganggu kehidupan seharian, ia boleh dikaitkan dengan gangguan tidur.

Bergantung pada jenis gangguan tidur, seseorang mungkin mengalami kesukaran untuk tidur dan berasa sangat lelah sepanjang hari. Kekurangan tidur boleh memberi kesan negatif terhadap tenaga, mood, konsentrasi, dan kesihatan secara keseluruhannya.

Dalam sesetengah kes, gangguan tidur boleh menjadi simptom kepada gangguan kesihatan atau gangguan kesihatan mental yang lain. Masalah tidur ini akan hilang setelah rawatan diperolehi bagi menangani punca yang mendasarinya. Apabila gangguan tidur tidak disebabkan oleh keadaan lain, rawatan biasanya melibatkan gabungan antara rawatan perubatan dan perubahan gaya hidup.

Adalah penting untuk menerima diagnosis dan rawatan segera jika anda mengesyaki anda mungkin mengalami gangguan tidur. Sekiranya dibiarkan tanpa dirawat, kesan negatif gangguan tidur boleh membawa kepada kesan kesihatan yang lebih lanjut. Ia juga boleh mempengaruhi prestasi anda di tempat kerja, menyebabkan ketegangan dalam hubungan, dan menjejaskan keupayaan anda untuk melakukan aktiviti seharian.

Simptom Gangguan Tidur

Simptom gangguan tidur termasuklah mengantuk pada waktu siang dan mengalami masalah tidur pada waktu malam. Sesetengah inidvidu pula mungkin tertidur pada waktu yang tidak sesuai, seperti semasa memandu. Simptom-simptom lain termasuklah:

  • Bernafas dalam corak yang abnormal
  • Merasakan keinginan yang tidak selesa untuk bergerak semasa anda sedang berusaha untuk tidur.
  • Selain itu, pesakit yang mengalami gangguan tidur juga mungkin melakukan pergerakan abnormal sewaktu tidur.
  • Kitaran tidur dan berjaga tidak teratur.

Punca Gangguan Tidur

Terdapat banyak keadaan, penyakit, dan gangguan yang boleh menyebabkan gangguan tidur. Dalam kebanyakan kes, gangguan tidur terjadi akibat masalah kesihatan lain.

Alahan dan Masalah Pernafasan

Alergi, selesema, dan jangkitan pernafasan boleh menjadikan anda sukar untuk bernafas pada waktu malam. Ketidakupayaan untuk bernafas melalui hidung anda juga boleh menyebabkan kesukaran tidur.

Nocturia

Nocturia, atau simptom kerap kencing, boleh mengganggu tidur anda dengan menyebabkan anda bangun pada waktu malam untuk pergi ke tandas. Ketidakseimbangan hormon dan penyakit saluran kencing boleh menyumbang kepada perkembangan keadaan ini. Pastikan anda menghubungi doktor anda sekiranya anda kerap buang air kecil disertai dengan pendarahan atau kesakitan.

Sakit kronik

Kesakitan yang berterusan boleh menyebabkan gangguan tidur. Ia mungkin akan membuatkan anda bangun semasa sedang tidur. Antara sebab utama kesakitan kronik termasuklah:

  • Artritis
  • Fibromialgia
  • Sakit kepala yang berterusan
  • Kesakitan belakang yang berterusan

Dalam sesetengah kes, kesakitan kronik boleh juga disebabkan oleh gangguan tidur. Sebagai contoh, ramai doktor percaya perkembangan fibromialgia mungkin boleh dikaitkan dengan gangguan tidur.

Tekanan dan Kebimbangan

Tekanan dan perasaan cemas sering memberi kesan negatif terhadap kualiti tidur anda. Ia boleh mendorong anda mengalami mimpi buruk, keresahan, bercakap ketika tidur atau berjalan ketika tidur (Somnambulisme) justeru mengganggu tidur anda.

Diagnosis Gangguan Tidur

Untuk melakukan diagnosis gangguan tidur, doktor akan memerhatikan sejarah perubatan, sejarah tidur dan melakukan pemeriksaan fizikal pada anda. Anda juga mungkin akan menjalani ujian tidur, polisomnografi. Maklumat yang akan direkodkan sewaktu ujian termasuklah:

  • Perubahan gelombang otak
  • Pergerakan mata
  • Kadar pernafasan
  • Kadar jantung dan aktiviti elektrik jantung serta otot lain

Jenis ujian tidur lain mungkin akan memeriksa tempoh masa yang anda ambil untuk tidur pada siang hari atau tempoh masa anda berjaga pada siang hari.

Rawatan Gangguan Tidur

Rawatan untuk gangguan tidur bergantung kepada simptom yang anda alami. Ini termasuklah:

  • Tabiat tidur yang baik dan perubahan gaya hidup yang lain, seperti diet dan senaman yang sihat.
  • Terapi perilaku kognitif atau teknik relaksasi untuk mengurangkan kebimbangan serta mendapatkan tidur yang cukup.
  • Menggunakan mesin CPAP (Continuous positive airway pressure) untuk apnea  tidur
  • Terapi lampu terang (pada waktu pagi).
  • Ubat, termasuk pil tidur. Biasanya, pembekal akan mengesyorkan agar anda menggunakan pil tidur dalam tempoh masa yang singkat.
  • Produk semulajadi seperti melatonin. Produk-produk ini boleh membantu bagi sesetengah pesakit, tetapi dikhaskan untuk kegunaan jangka pendek. Pastikan anda memeriksa dengan pembekal penjagaan kesihatan anda terlebih dahulu sebelum anda mengambil mana-mana produk.

Sumber:

https://www.webmd.com/sleep-disorders/default.htm

https://medlineplus.gov/sleepdisorders.html

https://www.healthline.com/health/sleep/disorders

https://en.wikipedia.org/wiki/Sleep_disorder

error: Content is protected !!