Now Reading
Kematian tisu badan ‘Gangren’ – Jenis, Punca, dan Rawatan

Kematian tisu badan ‘Gangren’ – Jenis, Punca, dan Rawatan

Gangren

Gangren merujuk kepada kematian tisu badan sama ada berlaku kerana kekurangan aliran darah atau jangkitan bakteria yang serius. Penyakit ini biasanya menjejaskan tangan dan kaki, termasuk jari kaki, jari tangan dan anggota badan. Namun begitu, ia juga boleh berlaku di dalam otot dan organ dalaman anda.

Peluang anda untuk mendapat penyakit Gangren adalah lebih tinggi jika anda mempunyai keadaan asas yang boleh merosak dan mempengaruhi aliran darah seperti penyakit diabetes atau keadaan arteri yang mengeras (aterosklerosis).

Selain itu, rawatan untuk penyakit tersebut mungkin seperti melakukan pembedahan untuk menghilangkan tisu mati, penggunaan antibiotik dan terapi oksigen hiperbarik. Peluang untuk pulih adalah lebih baik jika penyakit ini dikenal pasti lebih awal dan dirawat dengan cepat.

 

Jenis Gangren  

 

– Gangren kering

Gangren kering dicirikan oleh kulit kering dan layu berwarna antara coklat ke biru keunguan atau hitam. Selain itu, Gangren kering berkembang secara perlahan. Ia juga paling biasa berlaku pada individu yang mempunyai penyakit saluran darah arteri seperti aterosklerosis atau menghidap diabetes.

 

– Gangren basah

Gangren jenis ini dirujuk sebagai “basah” sekiranya terdapat jangkitan bakteria pada tisu yang terjejas. Bengkak, melepuh dan penampilan yang basah adalah ciri umum bagi Gangren jenis basah ini.

Ia boleh berkembang selepas keadaan melecur yang serius, luka yang menjadi beku atau kecederaan. Di samping itu, jenis ini sering berlaku pada pesakit diabetes yang tidak sedar bahawa jari atau kaki mereka telah cedera. Jadi, keadaan ini perlu dirawat dengan segera kerana ia mampu tersebar dengan cepat dan boleh membawa maut.

 

– Gangren angin

Gangren angin biasanya menjejaskan tisu otot yang dalam. Jika anda mempunyai keadaan ini, permukaan kulit anda pada mulanya akan kelihatan normal.

Lama-kelamaan, kulit anda boleh menjadi pucat dan kemudian berubah kepada warna kelabu atau merah keunguan. Gelembung pada kulit anda juga menjadi semakin jelas dan kulit yang terjejas mungkin mengeluarkan bunyi seperti retakan ketika anda menekannya. Ini berlaku kerana adanya angin dalam tisu tersebut.

Dalam pada itu, Gangren angin biasanya berlaku disebabkan jangkitan bakteria ‘Clostridium perfringens’ yang berkembang dalam kecederaan atau luka pembedahan yang mempunyai bekalan darah yang kurang. Jangkitan bakteria ini akan menghasilkan toksin yang membebaskan angin seperti namanya, Gangren ‘angin’ dan menyebabkan kematian tisu. Jenis angin ini juga boleh mengancam nyawa seperti Gangren basah.

 

– Gangren dalaman

Gangren yang menjejaskan satu atau lebih organ anda seperti usus, pundi hempedu atau apendiks dipanggil sebagai Gangren dalaman. Jenis Gangren ini berlaku apabila aliran darah ke organ dalaman terhalang. Contohnya, apabila usus anda melalui kawasan otot yang lemah dalam perut anda (hernia) dan menjadi berpintal.

Seterusnya, jenis Gangren dalaman ini boleh menyebabkan demam dan kesakitan yang serius. Jika ia tidak dirawat, Gangren dalaman boleh membawa maut.

 

– Gangren Fournier

Gangren Fournier melibatkan organ genital dan lebih banyak menjejaskan golongan lelaki. Namun begitu, golongan wanita juga boleh mendapatkan Gangren jenis ini. Selain itu, ia biasanya muncul akibat jangkitan pada kawasan genital atau saluran kencing yang menyebabkan kesakitan, kelembutan, kemerahan dan bengkak pada genital.

 

– Gangren sinergistik bakteria progresif (Gangren Meleney)

Jenis Gangren yang jarang berlaku ini biasanya terjadi selepas pembedahan. Kecederaan kulit yang menyakitkan berkembang satu hingga dua minggu selepas pembedahan.

 

Punca Gangren

Penyakit mungkin berlaku kerana salah satu atau beberapa sebab berikut:

  • Kekurangan bekalan darah. Darah anda membekalkan oksigen dan nutrien untuk sel-sel dan komponen sistem imunisasi seperti antibodi. Ini adalah penting agar badan anda dapat mencegah jangkitan. Tanpa bekalan darah yang betul, sel-sel tidak dapat bertahan dan tisu anda boleh mereput.
  • Bakteria. Jika bakteria yang berkembang tidak dikesan setelah tempoh yang lama, jangkitan boleh berlaku dan mengakibatkan kematian tisu. Ini akhirnya akan menyebabkan penyakit tersebut.
  • Trauma. Luka yang traumatik, seperti luka tembakan atau kecederaan kerana kemalangan kereta boleh menyebabkan bakteria menyerang tisu yang jauh di dalam badan. Apabila tisu tersebut dijangkiti, penyakit tersebut boleh berlaku.

 

Simptom Gangren

Apabila penyakit ini menjejaskan kulit anda, tanda-tanda dan simptom keadaan adalah seperti:

Sekiranya anda mempunyai jenis Gangren yang menjejaskan tisu di bawah permukaan kulit anda, seperti Gangren angin atau Gangren dalaman, anda mungkin mendapati keadaan seperti:

  • Tisu yang terjejas bengkak dan sangat menyakitkan.
  • Mengalami demam yang tidak serius dan secara amnya berasa tidak sihat.

Keadaan yang dikenali sebagai kejutan septik boleh berlaku jika jangkitan bakteria yang berasal daripada tisu Gangren tersebar ke seluruh badan anda. Tanda dan simptom kejutan septik termasuklah:

  • Tekanan darah rendah.
  • Kemungkinan untuk demam, walaupun suhu lebih rendah daripada biasa 36 C.
  • Kadar denyutan jantung yang deras.
  • Pening kepala.
  • Sesak nafas.
  • Kekeliruan.

 

Diagnosis Gangren

Ujian yang dibuat boleh membantu untuk membuat diagnosis penyakit tersebut termasuk:

  • Ujian darah. Bilangan sel darah putih yang tidak normal sering menunjukkan adanya jangkitan. Doktor anda juga mungkin akan melakukan ujian darah untuk mencari kehadiran bakteria tertentu atau kuman yang lain.

 

  • Ujian pengimejan. Sinar-X, imbasan tomografi berkomputer (CT scan) atau imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI scan) boleh digunakan untuk melihat struktur badan seperti organ dalaman, saluran darah atau tulang. Ini boleh membantu doktor untuk menilai sejauh mana penyakit Gangren telah merebak. Ujian ini juga boleh membantu doktor anda melihat sebarang angin yang terdapat di bawah kulit anda.

‘Arteriogram’ adalah sejenis ujian pengimejan yang digunakan untuk memberi gambaran arteri anda. Semasa ujian ini, pewarna akan disuntik ke dalam aliran darah dan gambar sinar-X diambil untuk menentukan sejauh mana darah mengalir melalui arteri anda. Selain itu, ujian arteriogram boleh membantu doktor mengetahui jika ada mana-mana arteri anda yang tersumbat.

  • Pembedahan. Pembedahan boleh dilakukan untuk menentukan sejauh mana Gangren telah tersebar dalam badan anda.
  • Cecair atau kultur tisu. Satu kultur cecair daripada lepuh (blister) pada kulit anda boleh diperiksa untuk mengesan bakteria ‘Clostridium perfringens’, yang menjadi penyebab umum Gangren angin. Selain itu, doktor anda juga boleh melihat sampel tisu di bawah mikroskop untuk mencari tanda-tanda kematian sel.

 

Faktor Risiko Gangren

Beberapa faktor boleh meningkatkan risiko anda mendapat penyakit tersebut. Ini termasuklah:

  • Diabetes. Sekiranya anda menghidap diabetes, badan anda tidak menghasilkan insulin hormon yang mencukupi (yang membantu sel anda mengambil gula dalam darah) atau sudah kebal kepada kesan insulin. Tahap gula dalam darah yang tinggi juga akhirnya boleh merosakkan saluran darah dan mengurangkan atau mengganggu aliran darah ke bahagian badan anda.
  • Penyakit saluran darah. Arteri yang sempit dan mengeras (aterosklerosis) serta gumpalan darah juga boleh menghalang aliran darah ke kawasan badan anda.
  • Kecederaan serius atau pembedahan. Apa-apa proses yang menyebabkan trauma pada kulit dan tisu asas anda, termasuk kecederaan atau luka yang membeku meningkatkan lagi risiko anda mengalami Gangren. Tambahan lagi, anda lebih berisiko mendapat penyakit ini jika anda mempunyai keadaan yang menjejaskan aliran darah ke kawasan yang tercedera.
  • Merokok. Orang yang merokok mempunyai risiko mendapat penyakit Gangren yang lebih tinggi.
  • Obesiti. Obesiti sering diiringi penyakit diabetes dan vaskular, tetapi tekanan daripada berat tambahan sahaja boleh juga memampatkan arteri, menyebabkan aliran darah berkurang dan meningkatkan risiko jangkitan dan penyembuhan luka yang lambat.
  • Sekatan imun (immunosuppression). Jika anda mempunyai jangkitan bersama virus kekurangan imun manusia yang juga dikenali sebagai ‘Human immunodeficiency virus (HIV), menjalani kemoterapi atau terapi radiasi, ini boleh menjejaskan keupayaan tubuh anda untuk melawan jangkitan.
  • Ubat atau dadah yang disuntik. Dalam keadaan yang jarang berlaku, ubat-ubatan dan dadah yang telah disuntik telah terbukti boleh menyebabkan jangkitan bakteria yang mendorong kepada penyakit Gangren.

 

Rawatan Gangren

Tisu yang telah rosak disebabkan penyakit Gangren tidak dapat diselamatkan, tetapi langkah-langkah boleh diambil untuk mencegah ianya daripada berkembang. Doktor anda boleh memilih satu atau lebih daripada pilihan rawatan ini, bergantung kepada betapa seriusnya penyakit Gangren anda.

 

– Pembedahan

Doktor anda boleh melakukan prosedur pembedahan untuk membuang tisu mati, yang membantu menghentikan Gangren daripada tersebar dan membolehkan tisu sihat untuk sembuh. Selain itu, doktor juga boleh membaiki saluran darah yang rosak atau berpenyakit untuk meningkatkan aliran darah ke kawasan yang terjejas. Kadangkala, lebih daripada satu pembedahan mungkin diperlukan untuk menghapuskan semua tisu mati atau yang tisu yang dijangkiti.

Jika pembedahan rekonstruktif diperlukan, doktor anda mungkin akan menggunakan cantuman kulit untuk membaiki kerosakan pada kulit yang terjejas kerana penyakit Gangren. Semasa cantuman kulit dibuat, doktor akan mengeluarkan kulit yang sihat dari bahagian lain badan anda. Seterusnya, ia biasanya berada di tempat tersembunyi kerana pakaian anda. Kemudian, doktor akan berhati-hati menyebarkannya ke kawasan yang terjejas. Kulit yang sihat boleh ditampal atau dijahit dengan beberapa jahitan kecil. Prosedur ini hanya boleh dilakukan jika bekalan darah yang mencukupi dapat dibekalkan kepada kulit yang rosak.

Dalam kes-kes Gangren yang serius pula, bahagian badan yang terjejas seperti jari kaki, jari tangan atau anggota badan mungkin perlu dikeluarkan secara pembedahan (dipotong). Dalam sesetengah kes, anda juga mungkin akan dipadankan dengan anggota badan tiruan (prostesis).

 

– Antibiotik

Antibiotik yang diberikan melalui vena (intravena), atau yang diambil melalui mulut boleh digunakan untuk merawat Gangren yang telah dijangkiti.

Jika anda perlu menjalani pembedahan untuk membuang tisu mati, doktor anda mungkin akan menetapkan antibiotik tertentu agar tiada pembedahan lanjut diperlukan dan jangkitan anda telah pulih. Di samping itu, doktor juga akan menetapkan antibiotik yang diambil semasa anda melengkapkan terapi oksigen hiperbarik.

 

– Terapi oksigen hiperbarik

Selain antibiotik dan pembedahan, terapi oksigen hiperbarik juga boleh digunakan untuk merawat Gangren. Di bawah tekanan dan kandungan oksigen yang meningkat, darah anda dapat membawa oksigen yang lebih banyak. Darah yang kaya dengan oksigen akan melambatkan pertumbuhan bakteria yang berkembang pesat dengan ketiadaan oksigen dan membantu luka yang dijangkiti untuk sembuh dengan lebih mudah.

Dalam terapi jenis ini, anda akan berada di dalam ruang khas yang biasanya terdiri daripada meja empuk yang boleh meluncur ke dalam tiub plastik yang jelas. Pada masa yang sama, ruang ini diberi penekanan dengan oksigen tulen dan tekanan di dalam ruang itu akan meningkat perlahan-lahan hingga kira-kira 2.5 kali lebih daripada tekanan atmosfera biasa. Terapi oksigen hiperbarik bagi Gangren angin biasanya akan berlangsung sekitar 90 minit dan anda mungkin memerlukan dua hingga tiga rawatan setiap hari.

Rawatan lain untuk Gangren mungkin termasuk penjagaan sokongan yang melibatkan cecair, nutrien dan ubat tahan sakit untuk melegakan rasa ketidakselesaan anda.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gangrene/symptoms-causes/syc-20352567#:~:text=Gangrene%20refers%20to%20the%20death,your%20muscles%20and%20internal%20organs.

https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/guide/gangrene-causes-symptoms-treatments

https://www.medicalnewstoday.com/articles/158770

https://www.healthline.com/health/gangrene

error: Content is protected !!