Apabila anda mengalami simptom cirit-birit dan muntah, anda mungkin menyangka bahawa anda hanya mengalami “sakit perut”. Namun, sebenarnya gejala sebegini biasalanya berlaku disebabkan keadaan yang disebut sebagai gastroenteritis (jangkitan cirit-birit).
Dalam keadaan gastroenteritis, perut dan usus anda menjadi sakit dan meradang. Kesakitan ini pula biasanya terjadi kerana jangkitan virus atau bakteria.
Simptom Gastroenteritis
Dengan gastroenteritis, gejala utama yang anda mungkin alami adalah cirit-birit dan muntah berair. Selain itu, anda juga mungkin mengalami sakit perut, kejang, demam, mual dan sakit kepala.
Disebabkan simptom seperti cirit-birit dan muntah, anda juga boleh menjadi dehidrasi. Jadi, perhatikan tanda-tanda dehidrasi seperti kulit dan mulut yang kering, pening kepala dan tekak yang sangat dahaga. Hubungi doktor dengan segera jika anda mempunyai gejala tersebut.
Punca Gastroenteritis
Penyebab utama gastroenteritis adalah jangkitan virus atau bakteria mahupun jangkitan parasit yang jarang berlaku.
Seterusnya, punca biasa bagi gastroenteritis virus adalah norovirus dan rotavirus. Escherichia coli (E. coli), salmonella dan campylobacter pula adalah penyebab gastroenteritis jenis bakteria yang paling biasa. Di samping itu, jenis gastroenteritis parasit biasanya terjadi disebabkan Giardia.
Gastroenteritis virus adalah jenis gastroenteritis yang paling kerap berlaku apabila sekumpulan invidivu terjejas pada masa dan tempat yang sama.
Di samping itu, wabak Norovirus pula boleh menjejaskan kedua-dua golongan iaitu golongan kanak-kanak dan orang dewasa, manakala rotavirus memberi kesan kepada golongan bayi dan kanak-kanak.
Individu yang paling berisiko mendapat gastroenteritis adalah:
- Bayi dan anak-anak muda dengan sistem imun yang tidak matang.
- Golongan tua yang mempunyai sistem imun kurang berkesan, terutamanya mereka yang tinggal di rumah penjagaan.
- Kanak-kanak yang tinggal di pusat jagaan harian, kanak-kanak sekolah dan pelajar yang tinggal di asrama.
- Sesiapa yang mempunyai sistem imun yang lemah, seperti orang yang mempunyai HIV/ AIDS atau pesakit yang sedang menjalani kemoterapi.
- Pengembara.
Diagnosis Gastroenteritis
Doktor mungkin akan mendiagnosis anda dengan gastroenteritis berdasarkan gejala, ujian fizikal dan kadangkala kehadiran kes yang serupa dalam komuniti anda. Ujian najis juga boleh mengesan rotavirus atau norovirus, namun tiada ujian pantas untuk mengesan virus lain yang boleh menyebabkan gastroenteritis. Dalam sesetengah kes, doktor mungkin perlu membuat pemeriksaan pada sampel najis untuk mengetepikan kemungkinan jangkitan bakteria atau parasit lain.
Faktor Risiko Gastroenteritis
Gastroenteritis berlaku di seluruh dunia dan telah menjejaskan individu dari pelbagai umur, bangsa dan latar belakang.
Orang yang mungkin lebih terdedah kepada gastroenteritis termasuklah:
- Kanak-kanak kecil. Kanak-kanak di pusat jagaan atau sekolah rendah mungkin lebih mudah terdedah kerana sistem imun mereka memerlukan masa untuk menjadi matang.
- Orang tua. Sistem imun golongan dewasa lebih cenderung menjadi kurang cekap di usia yang lanjut. Orang tua yang tinggal di rumah kebajikan khususnya, lebih terdedah dengan penyakit ini kerana sistem imun yang lemah dan mereka hidup dalam hubungan rapat dengan orang lain yang mungkin sudah mempunyai virus itu.
- Kanak-kanak bersekolah, pengikut gereja atau penghuni asrama. Tempat di mana orang ramai berkumpul secara rapat boleh menjadi satu persekitaran yang memudahkan berlakunya jangkitan usus.
- Sesiapa yang mempunyai sistem imun yang lemah. Sekiranya sistem imun anda terhadap jangkitan adalah rendah – contohnya jika sistem imun anda terjejas oleh HIV/ AIDS, kemoterapi atau keadaan perubatan lain, anda mungkin berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini.
Rawatan Gastroenteritis
Kebanyakan orang yang mengalami gastroenteritis pulih dalam masa beberapa hari tanpa memerlukan rawatan perubatan selagi mereka kekal hidrat dengan betul. Bagi membantu dalam penjagaan diri yang selesa dan mencegah dehidrasi semasa proses pemulihan, cuba ikuti langkah yang berikut:
- Berhenti makan makanan bersifat pepejal untuk membiarkan perut anda berehat.
- Elakkan produk tenusu, kafein, alcohol dan nikotin.
- Elakkan makanan manis, berlemak atau mempunyai perasa yang banyak.
- Minum banyak cecair setiap hari, ambil hirupan kecil dan kerap termasuk sup yang jernih, minuman sukan bukan berkafein yang dicairkan (cth. Powerade atau Gatorade) dan formula rehidrasi (Gastrolyte) yang boleh didapati tanpa preskripsi dari farmasi.
- Makan makanan yang mudah dicerna secara perlahan dengan tertib seperti keropok, roti bakar, pisang, nasi dan kentang.
- Pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya.
- Elakkan pengambilan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) seperti aspirin, ibuprofen dan diclofenac untuk melegakan kesakitan kerana mereka boleh menjadikan kesakitan perut lebih teruk.
- Paracetamol (contohnya Panadol) boleh diambil untuk demam dan sakit perut tetapi harus digunakan dengan berhati-hati.
Bagi golongan bayi dengan gastroenteritis, biarkan perut bayi berehat selama 15 hingga 20 minit selepas muntah atau cirit-birit, kemudian berikan sedikit cecair kepada mereka. Biarkan bayi menyusu jika ia memang diberi susu ibu. Jika bayi anda menyusu menggunakan botol, berikan cecair pemulihan oral atau formula biasa dalam kadar yang sedikit.
Selain itu, ubat anti-cirit seperti Imodium boleh diambil untuk melambatkan kesand cirit-birit. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, ianya adalah lebih baik jika tubuh anda membersihkan dirinya sendiri daripada virus atau bakteria yang menyebabkan gastroenteritis.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/viral-gastroenteritis/symptoms-causes/syc-20378847