Now Reading
Gejala Pedih Ulu Hati (Heartburn)

Gejala Pedih Ulu Hati (Heartburn)

pedih ulu hati

Pengenalan

Gejala pedih ulu hati adalah kerengsaan pada esofagus, iaitu tiub yang menghubungkan kerongkong dan perut anda. Keadaan ini terjadi disebabkan oleh asid perut. Ia menyebabkan ketidakselesaan yang membakar di bahagian atas perut atau di bawah tulang dada anda.

Walaupun namanya berkaitan dengan jantung, pedih ulu hati sebenarnya tiada kena mengena dengan hati atau juga dikenali sebagai jantung. Namun, sesetengah simptomnya adalah serupa dengan serangan jantung atau penyakit jantung.

Penerangan

Gejala pedih ulu hati termasuklah:

  • Sakit seperti terbakar di dada yang biasanya berlaku selepas makan dan mungkin terjadi pada waktu malam.
  • Kesakitan yang semakin memburuk apabila anda baring atau membongkok.
  • Rasa pahit atau berasid di dalam mulut.

Penyebab yang berkemungkinan

Gejala pedih ulu hati yang berlaku sesekali adalah perkara biasa dan jarang menjadi punca yang perlu anda ambil perhatian.

Asid refluks yang berulang mengakibatkan diagnosis penyakit refluks gastroesofagus (GERD atau GORD) dan boleh memberi kesan serius kepada kesihatan anda. Di samping itu, keadaan ini juga mungkin menjadi petunjuk bagi isu-isu kesihatan yang lain.

Seterusnya, penyakit refluks gastroesofagus boleh terjadi pada individu daripada pelbagai peringkat umur dan penyebabnya sering dikaitkan dengan faktor gaya hidup seperti obesiti, merokok dan tahap latihan yang rendah.

Bila perlu menghubungi doktor

Dapatkan bantuan segera sekiranya anda mengalami kesakitan atau tekanan di dada yang teruk, terutamanya apabila digabungkan dengan tanda dan gejala lain seperti sakit di lengan, rahang atau kesukaran untuk bernafas. Kesakitan dada mungkin merupakan gejala bagi serangan jantung yang amatlah berbahaya.

Buat temu janji dengan doktor jika:

  • Gejala pedih ulu hati berlaku lebih dari dua kali seminggu.
  • Tanda-tanda tersebut masih berterusan walaupun setelah menggunakan ubat-ubatan tidak dipreskripsi.
  • Anda mengalami kesukaran untuk menelan.
  • Anda berasa mual atau muntah secara berterusan.
  • Anda mengalami penurunan berat badan kerana selera makan yang tidak baik atau kesukaran untuk makan.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Bagi menentukan jika pedih ulu hati anda adalah gejala GERD, doktor mungkin mengesyorkan anda melakukan beberapa ujian seperti:

  • Sinar-X (X-ray) untuk melihat bentuk dan keadaan esofagus serta perut anda.
  • Endoskopi, untuk memeriksa keabnormalan di kerongkong anda. Sampel tisu (biopsi) juga boleh diambil untuk dianalisis.
  • Ujian asid ambulatori untuk mengenal pasti bila dan berapa lama yang diperlukan sebelum asid perut masuk ke kerongkong anda. Monitor asid yang diletakkan di dalam esofagus anda dihubungkan pada komputer kecil yang dipakai di pinggang atau tali pada bahu anda.
  • Ujian pergerakan esofagus, untuk mengukur pergerakan dan tekanan di kerongkong anda.

Rawatan

Selain daripada perubahan gaya hidup, masalah gejala pedih ulu hati juga boleh dikurangkan dengan menggunakan ubat-ubatan seperti:

  • Antasid
  • Perencat pam proton (PPI)
  • Penyekat histamin-2

Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini boleh memberi kesan sampingan tertentu. Jadi, pastikan anda mendapat kebenaran daripada doktor dahulu sebelum mengambilnya.

RUJUKAN

https://www.webmd.com/Pedih Ulu Hati-gerd/guide/understanding-Pedih Ulu Hati-basics

https://www.medicalnewstoday.com/articles/9151.php#treatment

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/Pedih Ulu Hati/diagnosis-treatment/drc-20373229

error: Content is protected !!