Now Reading
Gejala Sosial Punca, Kesan Sampingan Dan Pencegahannya

Gejala Sosial Punca, Kesan Sampingan Dan Pencegahannya

Gejala sosial

Gejala sosial sering berlaku di kalangan remaja yang berumur antara 10 hingga 18 tahun. Ia merupakan masalah yang sentiasa menimbulkan kerisauan kepada komuniti kerana jika tidak dibentuk generasi baru ini boleh merosakkan masyarakat.

Antara jenis atau isu gejala sosial yang melanda atau berlaku di kalangan masyarakat yang kita boleh lihat sering terpampang di surat khabar serta televisyen. Gejala sosial adalah seperti berikut:

1. Penyalahgunaan dadah

Dadah seperti yang kita ketahui berbahaya kepada individu yang mengambilnya kerana penggunaan dadah dengan tujuan yang salah boleh menjejaskan sistem urat saraf.

Penyalahgunaan dadah dilihat sebagai masalah negara yang memerlukan belanja yang besar bagi membendung dan mengatasi masalah ini daripada berleluasa.

Tidak mengira usia, remaja juga turut terdedah kepada penyalahgunaan dadah akibat pergaulan bebas serta untuk keseronokan kerana rasa ingin tahu yang tinggi.

2. Gangster

Kes – kes berkaitan gangsterisme dilihat melibatkan golongan remaja pada peratus yang tertinggi. Kumpulan remaja yang berusia 16 hingga 17 tahun yang dibuang atau dicicir daripada sekolah di Kuala Lumpur telah menubuhkan kumpulan samun.

Malah kebanyakan kes gangsterisme yang menggunakan kekerasan dan alat berbahaya boleh mengakibatkan kematian, kerosakan harta benda awam dan lain – lain.

Kumpulan samun yang terdiri daripada sekumpulan remaja ini akan bergerak dengan motosikal daripada 12 malam hingga awal pagi mencari mangsa untuk menyamun atau meragut.

3. Melepak

Ia merupakan aktiviti yang membuang masa serta tidak produktif. Meskipun ia bukanlah salah satu daripada jenayah tetapi tidak sepatutnya berlaku di kalangan remaja kerana tempat mereka sepatutnya di sekolah dan bukannya mundar – mandir tanpa tujuan.

Waktu melepak mereka tidak mempunyai waktu khusus sama ada siang atau malam. Mereka biasanya berkelompok sekurang – kurangnya 2 orang. Mana – mana tempat yang sesuai boleh menjadi tempat tumpuan lepak mereka dan selalunya gejala ini berlaku sambil merokok di kaki lima.

4. Lari dari rumah

Isu ini sering berlaku di kalangan remaja yang mengalami masalah keluarga akibat kepincangan ibu bapa dalam menguruskan rumahtangga dan keluarga.

Pelbagai faktor atau masalah di rumah yang menjadi sebab mereka mula mencari keseronokan bersama rakan – rakan di luar.

Mereka mungkin tertekan dengan keadaan keluarga, rasa terkongkong, serabut dengan keadaan rumah yang sempit serta adik beradik yang ramai atau dimarahi ibu bapa. Malah terdapat juga isu lari rumah yang disebabkan oleh mengikut teman lelaki, kemiskinan keluarga, pergaduhan di antara ibu bapa dan sebagainya.

5. Gejala bohsia

Berasal daripada perkataan Hokkien, bohsia bermaksud tanpa bunyi. Awek bohsia adalah istilah yang digunakan pada gadis belasan tahun dalam lingkungan umur 13 hingga 17 tahun yang mengoda remaja yang menunggang motor untuk berseronok.

Mereka bergaul bebas sesama mereka dan melakukan hubungan seks atau minum arak untuk kepuasan dan keseronokan mereka. Disebabkan maksiat dilakukan dalam persekitaran yang gelap dan sunyi jadi gadis – gadis ini digelar bohsia. Malah ada di antara mereka yang berkongsi lebih daripada seorang lelaki.

Punca Gejala Sosial

– Kendiri atau Diri Sendiri

Punca gejala sosial bagaimanapun bermula daripada remaja itu sendiri. Mereka dilihat tidak pandai untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang panca – roba ini dan mudah terpengaruh.

Mereka tidak pandai menentukan apa yang baik dan buruk kepada mereka akibat terlalu mengikut perasaan dan emosi. Mereka juga tidak tahu bagaimana untuk menghadapi masalah hidup dan tekanan daripada keluarga serta rakan – rakan kerana mengalami pelbagai masalah hidup pada usia yang muda.

– Keluarga

Keluarga merupakan platform penting dalam membentuk peribadi seseorang individu terutama remaja yang baru mula untuk mengenal dunia dan meningkat dewasa.

Nilai murni kekeluargaan dilupakan kerana ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan tidak dapat memberikan perhatian serta kasih sayang pada anak – anak mereka. Akibatnya anda terabai tanpa sokongan daripada ibu bapa terutamanya.

Apabila ibu bapa bertengkar dan bergaduh di hadapan anak – anak, ia sebenarnya memberi kesan kepada jiwa mereka kerana mereka jadi keliru serta tidak tahu untuk bergantung pada siapa.

Anak – anak ketakutan, memberontak dan berdendam pada ibu bapa mereka kerana tidak mendapatkan kasih sayang serta suasana pembesaran yang tidak sihat.

Jiwa anak – anak yang rapuh dan tiada tempat bergantung membuatkan mereka terdedah pada perkara negatif di luar sana.

– Kewangan

Kewangan boleh menjadi faktor dan punca berlakunya gejala sosial terutama di kalangan remaja yang kesempitan hidup, miskin serta terpengaruh pada rakan – rakan yang mempunyai kemewahan hidup.

Akibatnya jenayah seperti mencuri, samun, ragut dan merompak berlaku di kalangan mereka. Malah mereka terpaksa melacur, mengedar dadah serta menjual barangan curi bagi mendapatkan sumber kewangan bagi menampung hidup serta untuk mendapatkan hidup yang lebih baik dan mewah.

– Masyarakat

Komuniti, masyarakat yang pentingkan diri serta tidak peka terhadap kejiranan dan bermasyarakat boleh menjadi punca berlakunya gejala sosial.

Ketidaklibatan mereka membuatkan mereka tidak saling mengenali dalam membendung gejala sosial di kalangan remaja. Mereka tidak merasakan remaja di luar saya sebahagian daripada tanggungjawab mereka yang memerlukan jalan penyelesaian.

– Rakan – rakan

Punca utama gejala sosial yang berlaku pada hari adalah rakan – rakan sebaya. Pengaruh mereka menjadi tarikan bagi remaja untuk mencuba apa yang dilakukan oleh kebanyakan remaja di kalangan mereka.

Mereka tidak mahu ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu kumpulan. Jadi pemilihan rakan yang baik atau bergaul dalam satu kelompok rakan yang baik atau tidak menentukan anak anda sama ada mengikuti golongan yang baik akhlak dan moralnya atau tidak.

– Media massa

Dalam kita tidak sedar, arus kemodenan sedikit sebanyak telah membuatkan media massa menjadi pengaruh yang kuat kepada penggunanya tidak kira sama ada baik atau buruk.

Media massa boleh mempengaruhi budaya, nilai, tingkah laku sesebuah masyarakat. Mengikuti budaya yang dimomokkan di media massa dilihat sebagai budaya yang mengikut trend.

Akibatnya remaja terpengaruh kepada paparan negatif yang dipamerkan seperti vandalisme, adegan berunsur cinta dan lain – lain. Sikap yang kurang moral dibentuk daripada imej yang dipaparkan oleh model – model di kaca televisyen.

Kesan Gejala Sosial

– Disiplin rosak

Penglibatan remaja di dalam kancah sosial boleh merosakkan disiplin mereka. Mereka tidak mahu dikongkong dan inginkan kebebasan dengan menginginkan telefon bimbit dengan pelan data yang tidak dikawal.

Kebebasan yang diterima mereka menyebabkan ibu bapa tidak lagi mengetahui di mana anak mereka berada, akibatnya mereka tidak dapat lagi memantau keberadaan anak mereka.

Anak – anak yang berbohong tentang keberadaan mereka menjadi terbiasa untuk terus berbohong agar mereka mendapatkan kebebasan mereka.

Perlahan – lahan ibu bapa tidak sedar bahawa anak – anak mereka semakin jauh dan rosak, terjerumus dengan pelbagai perkara negatif.

Pada ketika itu, anak – anak yang bermasalah tidak akan menerima sebarang nasihat lagi kerana mereka terlalu jauh daripada hubungan akrab yang sepatutnya terbina di antara ibu bapa dan anak.

Tiada lagi disiplin di dalam diri mereka disebabkan mereka tidak dipupuk dengan sikap disiplin terutama disiplin diri sejak awal lagi.

– Hilang hormat

Berbeza dengan masa kini, ibu bapa dan guru – guru di sekolah di pandang tinggi dan dihormati pada zaman dahulu. Mereka akan bercakap sopan dan lemah lembut sebagai tanda adab dan hormat.

Tidak sama seperti remaja masa kini yang biadap dan tidak menghormati ibu bapa dan guru – guru. Terdedah kepada gejala sosial yang buruk membuatkan mereka tidak lagi mengetahui adab dan cara menghormati.

Ibu bapa hanya membekalkan harta benda serta wang ringgit yang mereka rasakan penting bagi anak mereka sebagai tanda kasih sayang.

Tetapi mereka silap bahawa ia memberikan anak – anak mereka peluang untuk melayari sesuatu yang tidak sepatutnya.

Anak – anak yang tidak mendapatkan kasih sayang dan perhatian tidak lagi merasakan ibu bapa penting di dalam hidup mereka kerana terlalu dimanjakan dan dibiarkan tanpa pantauan.

Akibatnya anak – anak jadi hilang hormat pada guru kerana tiada kerjasama di antara ibu bapa dan sekolah dalam memastikan anak mereka tidak terpengaruh kepada gejala sosial.

Mereka hanya menunding jari pada sekolah dan meletakkan sekolah sebagai punca masalah yang berlaku pada anak – anak mereka. Walhal, tiada didikan ibu bapa tentang moral dan adab kerana semua itu patutnya bermula di institut keluarga.

Pencegahan Gejala Sosial

– Luangkan masa bersama anak

Bagi mengelakkan anak – anak daripada terpengaruh kepada gejala sosial, bataskan masa anda di antara kerja dan anak – anak. Anak – anak adalah amanah Tuhan yang perlu dijaga dan diberi perhatian.

Ibu bapa berperanan mendidik anak – anak daripada rumah serta memberikan kasih sayang secukupnya dan bukan sekadar wang ringgit sahaja.

Pastikan juga hubungan rapat di antara ibu bapa dan anak – anak terbentuk agak hubungan yang dicipta berdasarkan kepercayaan itu mengikat anak – anak anda untuk sentiasa ingat bahawa anda sentiasa ada untuk mereka.

Mereka dapat merasakan perhatian yang diberikan tanpa mereka perlu lagi mencari perhatian negatif daripada gejala sosial yang negatif.

– Tindakan dan Pemantauan

Ibu bapa yang mempunyai hubungan rapat dengan anak – anak pastinya dapat terus memantau tindak tanduk dan perilaku anak – anak mereka. Anak – anak mereka akan terbiasa bersikap jujur dan memberitahu keberadaan mereka sebenarnya.

Ibu bapa juga perlulah memantau penggunaan telefon bimbit anak – anak sama ada ia digunakan dengan baik untuk tidak. Ambil tahu tentang dengan siapa mereka berkawan dan bergaul serta pantau perbualan anak – anak anda melalui aplikasi komunikasi.

Langkah pencegahan ini lebih baik bagi membendung tingkah laku anak anda agar mereka tidak salah memilih jalan mereka. Beri mereka pendedahan tentang apa yang baik dan tidak baik untuk mereka, dari situ mereka akan belajar menilai.

SUMBER

https://repo.uum.edu.my/2177/1/57.pdf

https://www.utusanborneo.com.my/2018/02/10/cegah-gejala-sosial-sebelum-parah

https://www.myhealth.gov.my/program-pencegahan-masalah-sosial-remaja/

error: Content is protected !!