Now Reading
Gelombang Kedua COVID-19 di Malaysia?

Gelombang Kedua COVID-19 di Malaysia?

gelombang kedua covid-19 di malaysia

Walaupun kadar kes positif COVID-19 di Malaysia adalah berkurangan berbanding bulan lalu, namun ia bukan petanda bahawa kita boleh menjadi leka dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Dengan perintah PKP yang dilanjutkan sehingga 9 Jun ini, rakyat semestinya kekal mengambil langkah-langkah pencegahan seperti sebelumnya kerana kita masih belum memenangi perjuangan ini. Malah, ianya tidak diketahui bila dunia akan kembali bebas daripada wabak ini.

Kerajaan telah memutuskan memberi pelonggaran kepada beberapa syarat PKP seperti membolehkan sektor tertentu untuk kembali beroperasi, membolehkan 4 orang individu daripada keluarga yang sama untuk menaiki kereta persendirian dan banyak lagi. Namun, jika ada pihak yang menggunakan kelonggaran ini dengan tujuan yang salah, nescaya ada kemungkinan bahawa gelombang kedua COVID-19 boleh berlaku di negara kita.

Kebimbangan ini juga telah diperkatakan oleh Datuk Dr Amar Singh seperti yang ditulis dalam artikel TheStar baru-baru ini. Menurutnya lagi, “Dengan kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP), ada segelintir masyarakat yang mengabaikan prinsip utama pencegahan COVID-19 yang telah dilatih dalam dua bulan terdahulu”. Ini termasuklah penjarakan sosial, kebersihan tangan, penggunaan topeng muka serta perjumpaan berkumpulan. Ia membimbangkan kerana tindakan ini boleh meningkatkan kadar kebolehjangkitan antara individu.

Memandangkan kebanyakan kes COVID-19 yang dikesan adalah bersifat asimptomatik atau tidak mempunyai gejala tertentu, ini meningkatkan lagi risiko penyebaran COVID-19 terhadap mana-mana individu.

Gelombang kedua COVID-19 boleh menjadi lebih buruk berbanding sekarang memandangkan vaksin atau penawarnya masih belum ditemui. Jika dibandingkan dengan kes HIV, walaupun virus ini juga masih berada dalam kalangan masyarakat, namun pihak saintis telah berjaya mengembangkan ubat untuk mengurangkan kesannya dan masyarakat juga telah belajar untuk hidup dengan keadaan ini.

Malah, pandemik influenza 1918 atau juga dikenali sebagai ‘Spanish flu’ berterusan sehinggalah ia betul-betul tamat pada 1920 iaitu 2 tahun selepas wabak itu mula dikesan.

Virus boleh sentiasa bermutasi dan kembali

Walaupun sehingga kini kadar kes COVID-19 semakin berkurangan, namun sifat semula jadi virus yang boleh bermutasi tidak dapat dinafikan. Ini juga yang terjadi pada wabak influenza 1918 yang mempunyai tiga gelombang besar. Bermula pada Mac 1918, ia memuncak pada gelombang kedua yang berlaku pada penghujung tahun yang sama. Namun, pada ketika itu, mutasi yang terjadi adalah lebih serius berbanding yang pertama. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika Syarikat, gelombang kedua tersebutlah yang bertanggungjawab terhadap kebanyakan kes kematian di negara itu.

Gelombang ketiga pula berlaku pada awal tahun 1919 dan bertahan sehingga pertengahan tahun sebelum ia surut perlahan-lahan.

Mahukah kita menjadi seperti negara Korea Selatan dan China dengan gelombang kedua COVID-19?

Di Wuhan, pihak berkuasa di pusat Coronavirus China sudah mula menguji 11 juta penduduknya setelah enam kes COVID-19 baru dilaporkan baru-baru ini. Ini adalah kes positif pertama yang dikesan selepas hari ke-35 sejak perintah berkurung di bandar itu ditamatkan.

Perkara sama juga terjadi di Korea Selatan apabila ada kluster baru dengan lebih 100 kes COVID-19 yang dikesan berkaitan dengan kawasan hiburan di Itaewon. Justeru itu, pihak kerajaan di sana telah mengarahkan penutupan kelab malam serta merta.

Jadi, ini sudah menampakkan bahayanya jika masyarakat mengambil ringan akan wabak yang sedang melanda sekarang. Apabila gelombang kedua berlaku, ia mungkin menjadi semakin sukar ditangani kerana saintis terpaksa membuat kajian baru berdasarkan kriteria virus yang sentiasa berubah-ubah.

Ini akan melambatkan lagi proses penyediaan vaksin atau penemuan penawar COVID-19 yang ditunggu-tunggu. Jika ini berlaku, ia bermakna lebih banyak mangsa yang akan menjadi korban kepada wabak ini hinggalah penyelesaiannya ditemui.

JADI,

Apakah yang boleh kita lakukan untuk memastikan gelombang kedua COVID-19 ini tidak berlaku di Malaysia? Bolehkah ia dicegah dengan lebih awal sebelum ianya terlambat?

Dengan perayaan Hari Raya yang akan tiba tidak lama lagi, pastikan anda semua mengambil langkah pencegahan sama seperti sebelum ini dengan betul. Jangan endahkan perintah dan nasihat pakar dan marilah kita sama-sama membantu semua ‘frontliners’ yang bertungkus lumus dalam menangani wabak COVID-19 ini.

SUMBER

https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/05/13/senior-doctor-warns-of-covid-19-second-wave-if-complacency-sets-in

https://www.dw.com/en/coronavirus-when-will-the-second-wave-of-infections-hit/a-53435135

https://www.cbsnews.com/news/coronavirus-outbreas-china-south-korea-fears-second-wave-infections

https://www.bloomberg.com/news/articles/2020-05-14/asia-s-virus-taming-stars-disappointed-by-resurgence-of-cases

error: Content is protected !!