Kita selalu mendengar berita bayi tercekik ketika makan atau sedang menyusu. Kadangkala, perkara ini berlaku begitu cepat tanpa disedari.
Baru-baru ini, terdapat satu kes di Indonesia berdasarkan sumber ‘World of Buzz’ yang mana seorang bayi berusia dua bulan mati tercekik selepas makan buah pisang. Si ibu mengatakan bahawa dia hanya menyuap dua sudu pisang sahaja kepada anaknya. Malah, si ibu juga berkata dia tidak tahu bahawa bayi yang berusia lebih muda dari enam bulan tidak boleh memakan makanan pejal (solid) seperti itu.
Jadi, adakah kematian bayi tercekik ini boleh dikatakan berpunca daripada kecuaian si ibu? Bolehkah kita mengelakkan kejadian sebegini sebenarnya?
Bilakah bayi bersedia untuk menerima makanan pejal?
Bagi bayi yang baru lahir, kebanyakan organ dan sistem dalam mereka masih tidak berkembang dengan sepenuhnya. Jadi, sebagai ibu bapa atau penjaga kepada si bayi, pastikan anda mengambil tahu tentangnya terlebih dahulu bimbang kejadian tercekik ini berlaku.
Biasanya, bayi sudah boleh menerima makanan selain susu ibu atau susu formula apabila mereka mencecah umur enam bulan. Ketika ini, mereka mungkin akan menunjukkan tanda-tanda mudah yang boleh dilihat dan difahami.
Berdasarkan sebuah artikel oleh ‘theAsianparent’, terdapat beberapa tanda yang menunjukkan bayi anda sudah bersedia bagi makanan pejal.
Antaranya seperti:
- Boleh duduk dengan bantuan.
- Boleh mengangkat kepala dan mengekalkan kedudukan itu.
- Mempunyai berat 2 kali ganda daripada berat lahir.
- Menunjukkan minat ketika melihat anda makan.
- Boleh menyimpan makanan dalam mulut tanpa meleleh.
Panduan pemakanan bayi
- 0 hingga 4 bulan
Bayi dalam lingkungan umur ini tidak dapat menghadam makanan dengan baik. Jadi, mereka hanya boleh mendapatkan nutrisi yang mencukupi melalui susu ibu ataupun susu formula sahaja.
- 4 hingga 6 bulan
Pada umur ini, bayi masih lagi perlu diberi makan susu ibu atau susu formula. Namun, usia mereka mencecah enam bulan, inilah masanya anda perlu melakukan perubahan dalam pemakanan si bayi.
- 6 hingga 10 bulan
Bayi dalam umur sebegini biasanya sudah mula boleh menerima makanan pejal. Namun, pastikan anda sentiasa akan makanan yang diberi kerana makanan pejal yang tidak betul boleh menyebabkan bayi anda tercekik dengan mudah.
- 10 bulan hingga setahun
Biasanya, bayi seusia ini sudah mula mengalami pertumbuhan gigi jadi mereka boleh makan makanan pejal dengan lebih baik. Ketika ini, mereka juga biasanya sudah boleh memegang makanan mereka sendiri.
Sampel pemakanan bayi
Pemakanan bayi yang baik boleh memberi kebaikan dalam pertumbuhan dan keperluan nutriennya. Oleh itu, ibu bapa dan penjaga haruslah mengambil berat akan apa yang diberikan kepada bayi mereka sejak awal lagi.
Berikut merupakan satu senarai makanan yang boleh diberikan kepada bayi anda setelah berumur enam bulan. Ketahui juga bahawa ini hanyalah sekadar satu cadangan yang boleh anda ikuti atau ubah mengikut kesesuaian bayi anda.
- Buah-buahan seperti pisang, pir dan epal yang dipurikan.
- Sayur-sayuran seperti lobak merah, labu dan bunga kubis yang dipurikan.
Apabila si bayi sudah mula terbiasa dengan makanan sebegitu, anda boleh teruskan dengan makanan seperti:
- Roti, nasi, pasta dan mi yang kosong dan tidak pedas.
- Susu dan makanan tenusu.
- Ayam, daging, ikan, telur (lembut dan dalam saiz kecil).
Cara Elak Bayi Tercekik Dengan Tips Ini
Walaupun setiap bayi adalah berbeza, maka cara pemakanan mereka juga mungkin berbeza-beza. Jadi, pastika anda mengambil beberapa langkah seperti di bawah untuk mengurangkan masalah yang boleh berlaku kepada si bayi anda.
- Perkenalkan satu makanan sahaja pada satu masa dan tunggu 3 hingga 4 hari sebelum memperkenal makanan baharu.
- Kenal pasti sebarang tanda atau alahan selepas anda memberi makan pada bayi anda.
- Catat makanan yang telah diberi bagi memudahkan urusan anda kemudian.
- Mulakan dengan sesuatu yang mudah tanpa perisa (tawar) seperti bubur dan lama-kelamaan tambah sedikit perisa (manis, masin, masam) agar bayi anda tidak terlalu terkejut dengan rasa yang baharu.
- Elakkan memberi makanan yang banyak pada satu masa kerana ini mungkin menyebabkan bayi anda tercekik.
Secara kesimpulannya, pemakanan bayi perlu dititik beratkan oleh ibu bapa dan penjaga. Ia memainkan peranan penting dalam perkembangan awal si bayi dan hanya boleh dikawal oleh kita sahaja. Oleh itu, pastikan anda memberi yang terbaik sahaja buat bayi anda agar dia dapat membesar dengan sihat.
SUMBER