Pasembur Penang merupakan satu juadah yang sememangnya sangat sinonim dengan Pulau Pinang yang berada di utara tanah air kita. Sememangnya perjalanan ke Pulau Pinang ini walaupun mengambil masa yang agak lama dari ibu kota, tetapi keunikan dan kepelbagaian budaya di Pulau Pinang menjadikan Pulau Pinang syurga makanan di Malaysia.
Amat merugikan sebenarnya sekiranya anda menjejakkan kaki di sini tetapi tidak mencuba sendiri pasembur penang. Di tempat lain, mungkin masyarakat kita lebih mengenali juadah istimewa ini dengan nama Rojak Mamak tetapi di Pulau Pinang, rojak yang dipenuhi dengan kuah kacang dan kuah ubi serta selalunya dicampur dengan pilihan makanan laut ini lebih dekat di hati masyarakat di sini.
Pasembur penang yang merupakan rojak campuran yang selalunya merupakan campuran timun, telur rebus, cucur, tauhu, kentang rebus goreng, hirisan sengkuang taugeh rebus, daun salad dan pelbagai pilihan makanan laut lain seperti udang, obor-obor dan macam-macam lagi! Semestinya adunan campuran ini memberikan rasa yang menarik sekali sehingga sekali cuba nak lagi!
Sebab itu, penulis pada kali ini ingin membuat satu koleksi komen-komen yang menarik di tempat tumpuan pelancong dan tempatan restoran serta gerai di Pulau Pinang yang menjadikan pasembur penang ini sebagai menu utama mereka. Review atau komen ini sangat penting lagi-lagi untuk pemahaman para pelancong dari luar Pulau Pinang kerana review ini akan membantu mereka membuat pilihan yang betul sekaligus menjimatkan masa, tenaga dan wang dan membuatkan pengalaman percutian mereka di Pulau Pinang lagi berbaloi dan menyeronokkan!
Jom redah Pulau Pinang!
GANI FAMOUS PASEMBUR
Gani Famous Pasembur ini mendapat tempat di beberapa laman web review makanan yang lain dan turut juga mendapat tempat 3 Teratas di Google Review. Di Google Review, Gani Famous Pasembur ini menerima 3.8 bintang daripada 5 bintang secara keseluruhannya. Juga di Google Review ini, Gani Famous Pasembur ini mengumpul sebanyak 570 komen atau review.
Tempat ini menerima pelbagai komen yang agak pelbagai daripada segi rasanya. Sekiranya anda ingin mencuba, boleh saja, kerana banyak juga komen yang mencadangkan tempat ini dan tidak kurang juga yang berminat dengan kelembutan rojak ini di sini. Cuma, perlu beringat juga kerana majoriti komen juga menyebut harga yang agak tinggi terutamanya harga makanan laut yang dipilih untuk dimasukkan ke pasembur penang ini turut dinyatakan. Sekiranya anda seorang yang “adventurous” dan suka mencuba, boleh sahaja mencuba kerana ini semestinya adalah pengalaman yang menarik di Pulau Pinang.
KAREEM PASEMBUR ROJAK
Kareem Pasembur Rojak ini merupakan gerai jalanan stail Pulau Pinang yang mendapat review tertinggi di Pulau Pinang. Sekiranya anda ingin menikmati suasana tempatan sambil duduk melepak melihat suasana bandar raya Pulau Pinang ini, semestinya gerai pasembur ini merupakan pilihan yang terbaik. Dengan 406 review di Google Review dan secara keseluruhannya menerima 4.2 bintang daripada 5.0 bintang, gerai Kareem Pasembur Rojak ini boleh dikatakan sebagai tempat makan yang menerima maklumbalas yang positif daripada yang pernah mengunjungi gerai ini.
Original, asli, terbaik di Pulau Pinang merupakan kata-kata yang selalu digunakan oleh para reviewer untuk gerai ini. Rata-rata reviewer juga mempunyai status “Local Guide” yang bermaksud mereka sememangnya tinggal di Pulau Pinang juga membanjiri komen review di Google Review ini. Jadi bolehlah anda mencuba makan pasembur penang di sini sekirannya anda ingin mencari sesuatu yang autentik dan asli yang menjadi pilihan lokal.
PASEMBUR KING (HUSSAIN)
Setakat tarikh artikel ini ditulis, gerai Pasembur KING (Hussain) ini adalah gerai pasembur yang paling tinggi menerima review daripada pelbagai pengguna Google! Gerai Pasembur KING (Hussain) ini berada selesa dengan 4.6 bintang daripada 5 bintang! Hebat bukan? Mesti ramai yang tak menyangkakan gerai kecil comel molek yang berada di Medan Selera Renong ini yang berdekatan dengan Padang Kota Lama ini akan menjadi sebegini popular di mata pengguna Google. Mana tidaknya gerai ini telah mengutip 750 review daripada netizen-netizen yang menggunakan Google Review ini!
Rata-rata memberikan pujian terhadap kesedapan dan layanan mesra pemilik serta pekerja di gerai pasembur penang ini. Salah satu komen yang diberikan oleh pengguna yang bernama Muhamad Fidaus Abd Latif juga memberikan komen bahawa beliau telah berborak dan beramah mesra dengan pemilik gerai Pasembur KING (Hussain) ini sendiri pada bulan April 2021.
Menurut komen beliau, pemilik gerai pasembur penang ini memaklumkan sendiri pada beliau bahawa resepi pasembur penang di gerai ini memiliki keunikan tersendiri. Menu pasembur penang di gerai ini menggunakan lebih 33 bahan-bahan yang diadun rapi untuk mendapatkan rasa yang unik dalam kuah rojak mamak yang popular ini!
Ada juga pengunjung lain yang turut memberikan komen bahawa gerai pasembur penang ini telah menjadi pilihan utama merak sejak sekian lama. Ramai juga menyatakan gerai ini menjadi tempat pilihan kerana lokasinya yang berada di tepi laut di bandar Georgetown turut menyajikan pemandangan yang sangat cantik dan menarik. Semestinya menjadi tempat yang sangat sesuai untuk bersantai terutamanya padang petang hari sambil menghadap pemandangan laut.
Ratusan Gerai dan Restoran Lain
Semestinya Pulau Pinang yang dijolok sebagai pulau mutiara negara ini menjadi tuan rumah kepada ratusan lagi gerai-gerai pasembur penang yang asli dan original. Walaupun ketiga-ketiga gerai pasembur penang yang dinyatakan di sini menerima komen dan rating yang paling popular di Google. Semestinya turut ada gerai atau restoran pasembur penang lain yang turut menjadi pilihan hati bukan? Jadi, gerai pasembur penang yang mana satu kah pilihan hati anda?
SUMBER
https://saji.my/pasembur-penang/
https://penangfoodie.com/top-5-best-pasembur-to-eat-in-penang/