Glomerulonephritis adalah keradangan pada penapis kecil di buah pinggang (glomeruli). Glomeruli berfungsi dengan membuang lebihan cecair, elektrolit dan sisa dari aliran darah dan mengalirkannya ke dalam air kencing anda. Keadaan glomerulonephritis boleh berlaku secara tiba-tiba (akut) atau secara beransur-ansur (kronik).
Seterusnya, keadaan ini berlaku dengan sendirinya atau sebagai sebahagian daripada penyakit lain, seperti lupus atau diabetes. Keradangan yang teruk atau berpanjangan yang berkaitan dengan glomerulonephritis boleh merosakkan buah pinggang anda. Rawatan yang dibuat pula bergantung pada keadaan yang anda miliki.
Simptom Glomerulonephritis
Gejala glomerulonephritis sering timbul secara perlahan. Anda mungkin tidak menyedari kehadirannya. Tanda-tanda glomerulonephritis sering dijumpai pada pemeriksaan kesihatan rutin dengan penyedia penjagaan kesihatan anda. Penyedia penjagaan kesihatan anda mungkin mahu anda menjalani lebih banyak ujian untuk memeriksa keadaan glomerulonephritis atau penyakit buah pinggang yang lain jika ujian anda menunjukkan masalah seperti berikut:
- Darah dalam air kencing
- Protein dalam air kencing
- Tekanan darah tinggi
- Anemia
Hubungi penyedia perkhidmatan kesihatan anda jika anda melihat salah satu daripada gejala berikut, kerana ini mungkin merupakan tanda-tanda glomerulonephritis atau masalah buah pinggang yang lain:
- Air kencing berwarna merah jambu atau coklat
- Air kencing berbuih
- Bengkak di muka, mata, pergelangan kaki, kaki, atau kawasan perut
- Rasa lebih letih daripada biasa
Punca Glomerulonephritis
Glomerulonephritis sering berlaku disebabkan masalah dengan sistem imun anda. Kadangkala, ia adalah sebahagian daripada keadaan seperti ‘lupus erythematosus’ sistemik (SLE) atau vaskulitis.
Dalam beberapa kes, ia boleh terjadi disebabkan jangkitan, seperti:
- HIV
- hepatitis B dan hepatitis C
- jangkitan injap jantung (endokarditis)
Dalam kebanyakan kes, glomerulonephritis tidak diwarisi dalam keluarga.
Sekiranya anda didiagnosis dengan jenis yang diwarisi, doktor boleh memberi nasihat mengenai kemungkinan jika individu lain dalam keluarga anda juga boleh terjejas.
Mereka mungkin mengesyorkan individu untuk melakukan pemeriksaan, bagi mengenal pasti individu yang berisiko untuk menghidap penyakit ini.
Diagnosis Glomerulonephritis
Berjumpa dengan doktor jika anda melihat adanya darah dalam air kencing anda. Ini tidak selalunya bermaksud bahawa anda menghidap glomerulonephritis, tetapi penyebabnya harus dikaji.
Sekiranya doktor mengesyaki anda mempunyai keadaan ini, mereka biasanya akan meminta anda melakukan:
- ujian darah – untuk mengukur tahap kreatinin
- ujian air kencing – untuk memeriksa darah atau protein dalam air kencing
Sekiranya anda menghidap glomerulonephritis, ujian darah lebih lanjut mungkin diperlukan untuk mengetahui penyebabnya.
Tetapi, jika masalah buah pinggang anda perlu disiasat dengan lebih lanjut, anda mungkin disyorkan untuk melakukan:
- imbasan ultrabunyi – ini dilakukan untuk memeriksa ukuran buah pinggang anda, memastikan tiada penyumbatan dan mencari masalah lain yang boleh hadir.
- biopsi – ini dilakukan untuk membuang sampel kecil tisu buah pinggang, yang dilakukan menggunakan anestetik tempatan untuk menjadikan kawasan tersebut kaku. Mesin ultrabunyi akan mencari buah pinggang anda dan jarum kecil digunakan untuk mengambil sampel.
Faktor Risiko Glomerulonephritis
Perkara berikut boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat keadaan ini:
- Gangguan sistem darah atau limfa
- Pendedahan kepada pelarut hidrokarbon
- Sejarah kanser
- Jangkitan seperti jangkitan strep, virus, jangkitan pada jantung atau bisul
Banyak keadaan dapat menyebabkan atau meningkatkan risiko keadaan ini termasuk:
- ‘Amyloidosis’ (gangguan di mana protein yang disebut ‘amyloid’ terbentuk di organ dan tisu)
- Gangguan yang mempengaruhi membran bawah glomerular, bahagian buah pinggang yang membantu menyaring sisa dan cecair tambahan dari darah.
- Penyakit saluran darah, seperti vaskulitis atau polyarteritis.
- Glomerulonephritis segmental fokus (parut glomeruli).
- Penyakit membran bawah anti-glomerular (gangguan di mana sistem imun menyerang glomeruli).
- Sindrom nefropati analgesik (penyakit buah pinggang kerana penggunaan ubat penghilang rasa sakit, terutamanya NSAID).
- Henoch-Schönlein purpura (penyakit yang melibatkan bintik-bintik ungu pada kulit, sakit sendi, masalah gastrousus dan glomerulonephritis).
- Nefropati IgA (gangguan di mana antibodi yang dipanggil IgA terbentuk di tisu buah pinggang).
- Nupritis Lupus (komplikasi buah pinggang lupus).
- GN membranoproliferatif (bentuk glomerulonephritis yang berlaku kerana penumpukan antibodi tidak normal di buah pinggang).
Rawatan Glomerulonephritis
Rawatan untuk keadaan ini bergantung pada punca dan keparahan keadaan anda. Kes ringan mungkin tidak memerlukan rawatan.
Contohnya, jika tekanan darah tinggi yang menyebabkan kerosakan pada glomeruli anda, rawatan mungkin akan mem fokuskan untuk mengawal tekanan darah anda. Ubat-ubatan tertentu yang disebut perencat ‘angiotensin-converting enzyme’ (ACE) dan penghambat reseptor angiotensin (ARB) dapat membantu mengawal tekanan darah anda.
Beberapa kes boleh sembuh dengan sendirinya. Sekiranya anda mengalami keradangan tekak yang menyebabkan glomerulonephritis, glomeruli anda mungkin sembuh sendiri setelah anda mengambil antibiotik untuk merawat jangkitan strep.
Mengetahui punca kerosakan pada glomeruli anda akan membantu penyedia perkhidmatan kesihatan anda untuk memutuskan rawatan yang tepat untuk anda.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/glomerulonephritis/symptoms-causes/syc-20355705