Menu lauk pauk pantai timur memang menggoda. Antara yang menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia adalah gulai ikan tongkol. Dengan rasa kuahnya yang manis dan berempah, isi ikannya yang sedap dan segar, siapa tak suka, kan?
Pada musim wabak pandemik ini, orang pantai timur nak merentas negeri pun tak boleh untuk menikmati juadah kegemaran ni kan. Jadi untuk mengubati rindu dengan masakan di kampung halaman bolehlah buat gulai ikan tongkol ini sendiri. Yang penting kena lah tahu resepinya.
Kali ini, kami akan kongsikan dengan anda 3 resepi gulai ikan tongkol yang anda boleh cuba masak sendiri di rumah untuk menghilangkan kerinduan anda kepada menu masakan orang pantai timur ini. Jom kita lihat resepi-resepinya.
GULAI IKAN TONGKOL VERSI PAHANG
Bahan-bahan:
- Ikan Tongkol
- Santan
- Bawang Merah
- Lengkuas
- Kunyit
- Cili Kering
- Asam Keping
Kaedah penyediaan:
1. Ikan tongkol dipotong seketul-ketul dan direbus dengan asam keping dan garam. Setelah masak asingkan isi dari kuah.
2. Kisar bawang merah, lengkuas, kunyit, cili kering dengan sedikit santan.
3. Masukkan bahan yang telah dikisar didalam periuk berisi santan dan masak sehingga gelegak.
4. Masukkan isi ikan tadi.
5. Masukkan asam keping, gula dan garam secukup rasa.
6. Sedia untuk dihidangkan.
GULAI IKAN TONGKOL VERSI KELANTAN
Bahan-bahan:
- Ikan tongkol saiz besar/sederhana besar 2 ekor
- Rempah kari ikan
- Cili kering 10 biji
- Bawang merah 10 ulas
- Bawang puteh 3 ulas
- Lengkuas seinci
- Halia seinci
- Kunyit hidup seinci
- Asam keping
- Gula dan garam
- Santan 1 kg
Kaedah penyediaan:
1. Cuci bersih ikan sebanyak 3 kali, siram dan tapis.
2. Rebus ikan. Masukkan garam dalam 3 sudu besar, dan gula dalam satu sudu. Air masukkan paras ikan tenggelam. Api sederhana. Biarkan menggelegak dalam 20 minit. Jaga airnya jangan sampai kering.
3. Sementara ikan direbus. Kupas bawang merah, bawang besar, halia, lengkuas, dan kunyit. Dan potong cili kering, untuk cili kering cepat lembut rendam air panas sekejap.
4. Kisar hancur semua bahan pada perkara 3, kecuali bawang putih ditumbuk berasingan hingga lumat.
5. Sekarang tiba masa untuk menumis bahan tadi. Masukkan minyak dalam satu senduk dalam periuk menumis. Tumis dulu bawang putih yang ditumbuk tadi, bila dah garing, masukkan bahan yang dikisar tadi. Kacau dalam 5 minit, kemudian masukkan rempah ikan selising tadi. Perlahankan api sedikit kacau hingga pecah minyak.
6. Bila dah pecah minyak, masukkan santan dan masukkan ikan, air ikan tu boleh masuk sekali. Masukkan asam keping dalam tiga empat keping.
7. Kacau perlahan-lahan hingga menggelegak. Masukkan dalam lima ke enam biji cili api, buang tangkai dan basuh terus campakkan dalam periuk gulai. tujuannya adalah nak beri rasa dan aroma lebih sedap lagi kepada gulai tu.
8. Bila menggelegak renehkan dalam 5 minit bagi pecah minyak sikit. Jangan lupa sebelum tu masukkan garam dan gula. Jangan masukkan ajinomoto untuk gulai ini ya.
9. Selepas menggelegak dan siap masukkan bahan perasa, bolehlah hidangkan hidangan anda ini.
GULAI IKAN TONGKOL LEMAK PEDAS
Bahan-bahan:
- 1ekor ikan tongkol sederhana besar potong ikut suka rebus dengan asam keping masuk garam gula secukup rasa.
- 1/2kg santan pekat
Bahan-bahan kisar:
- 10 biji cili kering
- 2 biji bawang merah besar
- 2 ulas bawang putih
- 2 cm lengkuas
- 3cm kunyit hidup
- Cili merah atau cili padi
Kaedah penyediaan:
1. Santan pekat tadi campur dengan 5 gelas air rebus hingga mendidih.
2. Masukkan piring / sudu dalam didihan supaya tidak meruap. Simpan 1/2 gelas untuk kisar, bahan kisar tadi tak perlu masuk air semasa kisar nanti kuahnya tidak cantik.
3. Santan tadi setelah mendidih naik minyak, masuk bahan kisar kacau rata.
4. Masuk garam gula secukup rasa. Biarkan ia mereneh. Masukkan ikan yang dah direbus bersama kuahnya sekali tadi. Biar dia mereneh hingga naik minyak dan berkilat.
5 .Masuk cili besar dan cili padi. Makin lama reneh makin cantik kuahnya
Semua resepi diatas sangat sesuai dihidang untuk makan tengah hari bersama keluarga. Bolehlah anda cuba masak dan hilangkan kerinduan anda kepada gulai ikan tongkol asli dari negeri pantai timur ni kan. Nanti dah tamat PKP, boleh lah anda ke negeri-negeri pantai timur dan rasai sendiri keenakannya. Sementara itu, cubalah dulu resepi yang kami sediakan. Selamat mencuba!
Sumber:
http://anggerikdesazainihasan.blogspot.com/2016/01/resepi-sedapzaini-ikan-tongkol-gulai.html
https://cookpad.com/my/recipes/9726506-gulai-ikan-ayeikan-tongkol-ori-by-teganu
https://www.rasa.my/resipi-gulai-ikan-tongkol-cukup-rasa-lemak-dan-pedas/