Now Reading
Halba (Fenugreek)

Halba (Fenugreek)

halba

Pengenalan

Halba atau fenugreek (nama saintifik: Trigonella foenum-graecum) adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari Asia Barat dan Mediterranean. Ia mempunyai tiga daun berbentuk bujur yang berwarna hijau atau kuning dan boleh dimakan secara mentah atau dikeringkan.

Daun dan biji Halba boleh digunakan untuk memasak dan sebagai ubat-ubatan. Biji Halba juga dikenali sebagai biji methi yang merupakan ramuan utama dalam masakan kari masyarakat India serta masakan Turki, Parsi, Eritrean, Ethiopia, dan Mesir. Oleh kerana rasanya yang manis, seperti bau dan rasa sirap maple, biji Halba juga ditambahkan ke sirap maple tiruan, gula-gula, ais krim, minuman, tembakau, sabun dan barang kosmetik.

Biji Halba telah dimakan selama ribuan tahun. Ahli arkeologi telah menemui biji Halba di Iraq yang berusia 4000 SM!

Bukan hanya biji Halba baik untuk masakan, tetapi ia juga memiliki beberapa manfaat kesihatan yang menakjubkan. Mari kita lihat dengan lebih dekat komposisi biji Halba untuk mengetahui mengapa ia berfungsi sebagai suplemen herba yang berkesan.

Kegunaan Halba

Kencing Manis. Sesetengah penyelidikan menunjukkan bahawa dengan memakan biji Halba yang dicampur ke dalam makanan, ia dapat menurunkan paras gula darah pada pesakit kencing manis jenis 2. Walau bagaimanapun, pengambilan 5-50 gram biji halba sebanyak sekali atau dua kali sehari seolah-olah berkesan namun dos yang lebih rendah daripada 2.5 gram tidak menunjukkan sebarang kesan. Bagi pesakit kencing manis jenis 1, mengambil 50 gram serbuk biji Halba sebanyak dua kali sehari seolah-olah boleh mengurangkan jumlah gula dalam air kencing.

Tempoh haid yang menyakitkan (dysmenorrhea). Mengambil sebanyak 1800-2700 mg biji sebanyak tiga kali setiap hari selama 3 hari pertama tempoh haid diikuti oleh 900 mg tiga kali sehari untuk baki dua kitaran haid boleh mengurangkan kesakitan pada wanita dengan tempoh haid yang menyakitkan. Malah, keperluan untuk mengambil ubat tahan sakit juga dikurangkan.

• Prestasi senaman. Terdapat hasil yang bertentangan mengenai kesan Halba terhadap prestasi senaman. Beberapa kajian awal menunjukkan bahawa mengambil 500 mg suplemen (Indus Biotech, India) selama 8 minggu boleh mengurangkan lemak badan dan meningkatkan tahap testosteron, tetapi ia tidak mengubah kekuatan otot atau daya tahan pada lelaki muda. Walau bagaimanapun, kajian lain menunjukkan bahawa mengambil 500 mg ekstrak Halba (Torabolic, Indus Biotech) setiap hari selama 8 minggu bp;eh mengurangkan lemak badan dan meningkatkan prestasi senaman dalam kumpulan lelaki muda yang sama. Selain itu, kajian awal lain menunjukkan bahawa mengambil 300 mg suplemen (Fenu-FG, Indus Biotech Private Limited, Pune, India) setiap hari mungkin membantu lelaki melakukan lebih banyak tekan tubi. Tetapi ia nampaknya tidak membantu mereka mengangkat berat atau melakukan lebih banyak latihan lain.

Pedih ulu hati. Penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan produk tertentu (FenuLife, Frutarom Belgium) sebelum dua hidangan besar boleh mengurangkan simptom pedih ulu hati.

• Kolesterol tinggi. Terdapat bukti yang bercanggah tentang kesan Halba pada tahap kolesterol. Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan biji Halba boleh mengurangkan paras lipoprotein berkepekatan rendah (LDL atau kolesterol “jahat”). Tetapi kesan biji Halba terhadap lipoprotein berkepekatan tinggi (HDL atau kolesterol “baik”) dan trigliserida adalah tidak konsisten.

• Peningkatan susu ibu. Terdapat beberapa laporan yang menyatakan bahawa pengambilan kapsul atau meminum teh Halba sejurus selepas melahirkan bayi dapat meningkatkan pengeluaran susu pada wanita menyusukan bayi. Bagaimanapun, Halba kelihatan seperti banyal membantu apabila ia diamalkan setelah satu atau dua hari selepas melahirkan bayi. Tetapi tidak semua penyelidikan bersetuju dengan hasil tersebut. Beberapa kajian lain menunjukkan bahawa pengambilan Halba kurang bermanfaat daripada kurma.

• Kemandulan lelaki. Kajian awal mencadangkan bahawa pengambilan minyak biji Halba secara oral sebanyak tiga kali sehari selama 4 bulan boleh meningkatkan kiraan sperma dalam kalangan lelaki dengan kepekatan sperma yang rendah. Tetapi pengambilan bahagian lain biji Halba nampaknya tidak menunjukkan kesan tersebut.

• Pengurangan berat badan. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa ekstrak biji Halba dapat mengurangkan pengambilan lemak harian pada lelaki yang berlebihan berat badan sekiranya ia diambil secara oral pada dos 392 mg sebanyak tiga kali sehari selama 2-6 minggu. Tetapi dos yang lebih rendah dilihat tidak mempunyai kesan terhadap berat badan, nafsu makan, atau perasaan kenyang. Menambah 4 atau 8 gram serat Halba untuk sarapan pagi dilihat boleh meningkatkan perasaan kenyang dan mengurangkan rasa lapar pada waktu makan tengah hari. Tetapi ia tidak jelas jika ia boleh mengurangkan berat badan.

Penyakit Parkinson. Penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan ekstrak biji Halba (Indus Biotech Private Limited, Pune) sebanyak dua kali sehari selama 6 bulan tidak memperbaiki simptom  penyakit Parkinson.

Sista ovari (sindrom ovarium polikistik). Terdapat hasil yang bertentangan mengenai kesan terhadap sista ovari. Penyelidikan mencadangkan bahawa pengambilan ekstrak biji Halba (Goldarou Pharmaceutical Co. Isfahan Iran) setiap hari selama 8 minggu tidak memperbaiki simptom bagi  wanita dengan sista ovari. Walau bagaimanapun, kajian awal lain menunjukkan bahawa mengambil 1000 mg ekstrak biji halba tertentu (Furocyst, Cepham Inc., Piscataway, NJ) setiap hari dapat mengurangkan saiz sista ovari dan membantu mengawal tempoh kitaran haid.

Lebih banyak bukti diperlukan untuk menilai biji halba bagi penggunaan-penggunaan tersebut:

Keguguran rambut.

• Kanser.

• Bibir kering.

• Batuk kronik.

• Sembelit.

• Ekzema.

• Demam.

• Gout.

• Pengerasan arteri (aterosklerosis).

• Angin Pasang.

Penyakit buah pinggang.

Ulser mulut.

• Masalah seksual (disfungsi erektil, ED).

• Perut tidak selesa.

• Keadaan-keadaan lain.

Kesan Sampingan Halba

Halba adalah SELAMAT jika diambil secara oral dalam jumlah yang biasa dalam makanan. Ia juga MUNGKIN SELAMAT jika diambil secara oral dalam jumlah yang sesuai untuk tujuan perubatan (jumlah yang lebih besar daripada yang biasa didapati dalam makanan) selama 6 bulan.

Kesan sampingan yang mungkin dailami akibat ketidaksesuaian dengan pengambilan Halba termasuklah cirit-birit, sakit perut, kembung, angin dalam badan, pening kepala, sakit kepala dan bau seperti “sirap maple” dalam air kencing. Ia boleh menyebabkan hidung tersumbat, batuk, muka bengkak, dan reaksi alahan yang teruk bagi individu yang hipersensitif. Selain itu, ia juga mungkin menurunkan gula darah.

  • Kehamilan: Halba adalah TIDAK SELAMAT digunakan sewaktu kehamilan dalam jumlah yang lebih banyak daripada yang dimasukkan dalam masakan. Ia boleh menyebabkan malformasi pada bayi, serta kontraksi awal. Pengambilan sebelum kelahiran juga boleh menyebabkan bayi yang baru lahir memiliki bau badan yang luar biasa, dan boleh dikelirukan dengan “penyakit kencing sirap maple”. Bagaimanapun, bau ini mendatangkan kesan jangka panjang.
  • Ibu menyusu: Halba adalah MUNGKIN SELAMAT digunakan untuk meningkatkan aliran susu ibu dalam jangka pendek. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa mengambil 1725 mg Halba tiga kali sehari selama 21 hari tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan pada bayi.
  • Kanak-kanak: Halba adalah TIDAK SELAMAT apabila diambil secara oral bagi kanak-kanak. Sesetengah laporan mengaitkan teh Halba dengan kehilangan kesedaran pada kanak-kanak. Bau badan yang luar biasa yang menyerupai sirap maple juga boleh berlaku pada kanak-kanak yang meminumnya.
  • Alahan terhadap tumbuh-tumbuhan dari keluarga Fabaceae: Individu yang alah terhadap tumbuhan keluarga Fabaceae, seperti kacang soya, kacang, dan kacang hijau mungkin juga alah terhadap Halba.
  • Kencing manis: Halba boleh menjejaskan tahap gula darah pada individu yang menghidap kencing manis. Perhatikan jika anda mengalami tanda-tanda gula darah rendah (hypoglycemia) dan pantau gula darah anda dengan teliti jika anda menghidap kencing manis di samping pengambilan Halba.

Interaksi Halba

• Ubat kencing manis (ubat antidiabetes) berinteraksi dengan HALBA

Halba mungkin mengurangkan gula darah dan ubat kencing manis juga digunakan untuk menurunkan gula darah. Mengambil bersama ubat kencing manis boleh menyebabkan gula darah anda menjadi terlalu rendah. Pantau gula darah anda dengan teliti. Dos ubat kencing manis anda mungkin perlu diubah.Beberapa ubat yang digunakan untuk kencing manis termasuk glimepiride (Amaryl), glyburide (DiaBeta, Glynase PresTab, Micronase), insulin, pioglitazone (Actos), rosiglitazone ( Avandia), chlorpropamide (Diabinese), glipizide (Glucotrol), tolbutamide (Orinase), dan lain-lain.

• Ubat-ubatan yang memlambatkan pembekuan darah (ubat Antikoagulan/Antiplatelet) berinteraksi dengan HALBA

Halba mungkin melambatkan pembekuan darah. Mengambil bersama ubat-ubatan yang juga melambatkan pembekuan darah mungkin meningkatkan risiko lebam dan pendarahan. Beberapa ubat yang memperlambat pembekuan darah termasuk aspirin, clopidogrel (Plavix), diclofenac (Voltaren, Cataflam, yang lain), ibuprofen (Advil, Motrin, yang lain), naproxen (Anaprox, Naprosyn, yang lain), dalteparin (Fragmin), enoxaparin (Lovenox), heparin, warfarin (Coumadin), dan lain-lain.

• Warfarin (Coumadin) berinteraksi dengan HALBA

Warfarin (Coumadin) digunakan untuk melambatkan pembekuan darah. Halba juga mungkin boleh memperlahankan pembekuan darah. Mengambil Halma bersama warfarin (Coumadin) mungkin meningkatkan risiko lebam dan pendarahan. Pastikan darah anda sentiasa dipantau. Dos warfarin (Coumadin) anda mungkin perlu diubah.

Dos Halba

Dos berikut telah dikaji dalam penyelidikan saintifik:

SECARA ORAL:

• Untuk kencing manis: 5-50 gram serbuk biji Halba diambil sebanyak satu atau dua kali sehari selama 4 hari hingga 24 minggu atau;.Satu dos 1 gram ekstrak biji Halba setiap hari.

• Untuk haid yang menyakitkan (dysmenorrhea): 1800-2700 mg biji Halba sebanyak tiga kali setiap hari untuk 3 hari pertama haid, diikuti dengan 900 mg tiga kali sehari untuk dua kitaran haid seterusnya.

• Untuk meningkatkan nafsu seksual: 600 mg ekstrak biji Halba (Libifem, Gencor Pacific Ltd.) setiap hari untuk dua kitaran haid.

• Untuk meningkatkan prestasi seksual: 600 mg ekstrak biji Halba (Testofen, Gencor Pacific Ltd) setiap hari secara tunggal atau diambil bersama magnesium 34 mg, zink 30 mg, dan vitamin B6 10 mg, selama 6-12 minggu.

SUMBER

https://blog.prepscholar.com/fenugreek-benefits-side-effects

https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-733/fenugreek

https://www.rxlist.com/fenugreek/supplements.htm

error: Content is protected !!