Herbalife Malaysia adalah syarikat pemasaran bertingkat yang menjual makanan tambahan dan produk penjagaan diri di lebih daripada 90 negara di seluruh dunia.
Salah satu produk mereka adalah program penurunan berat badan Herbalife, yang menggunakan shake sebagai pengganti makanan dan makanan tambahan untuk membantu menguruskan badan.
Walaupun diet jenis cepat seperti program Herbalife dapat membantu seseorang untuk menurunkan berat badan dalam jangka masa pendek, namun produk mereka agak mahal dan mungkin tidak dapat diterima.
Adakah ia membantu menurunkan berat badan?
Diet Herbalife dirancang untuk membantu individu menurunkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan kalori dengan mengganti makanan dan meningkatkan metabolisme dengan makanan tambahan.
Tidak ada kajian penuh mengenai program penurunan berat badan Herbalife, tetapi shake pengganti makanan nampaknya membantu mengurangkan berat badan.
Shake Pengganti Makanan Herbalife Malaysia
Setiap hidangan (dua sudu atau 25 gram) campuran shake pengganti makanan Herbalife mengandungi (1):
- Kalori: 90
- Lemak: 1 gram
- Karbohidrat: 13 gram
- Serat: 3 gram
- Gula: 9 gram
- Protein: 9 gram
Apabila dicampurkan dengan 240 mL susu tanpa lemak, campuran ini menyediakan 170 kalori setiap hidangan dan bertujuan untuk menggantikan makanan rendah kalori.
Secara amnya, shake dapat membantu menurunkan berat badan apabila digunakan hingga 1 tahun. Kajian menyarankan shake mungkin lebih berkesan untuk penurunan berat badan jangka pendek daripada diet rendah kalori tradisional.
Hanya satu kajian, yang ditaja oleh Herbalife, telah menguji keberkesanan ramuan Herbalife secara khusus. Kajian ini mendapati bahawa individu yang menggantikan 2 hidangan sehari dengan Herbalife shake akan kehilangan purata 12.5 paun (5 kg) dalam masa 12 minggu.
Kajian kekurangan faedah jangka panjang shake, tetapi sekurang-kurangnya satu kajian menunjukkan bahawa mereka dapat membantu mencegah kenaikan berat badan selama beberapa tahun.
Kajian kedua mendapati bahawa individu yang menggunakan shake selama 3 bulan sebelum beralih kepada diet rendah kalori, beratnya kurang selepas 4 tahun berbanding mereka yang hanya berdiet.
Secara keseluruhannya, kajian menunjukkan bahawa shake dapat membantu individu menurunkan berat badan dalam jangka masa pendek, tetapi strategi diet dan gaya hidup tambahan mungkin diperlukan untuk penurunan berat badan jangka masa panjang dan mengekalkan berat badan.
Kelebihan Herbalife Malaysia
Selain membantu menurunkan berat badan, program Herbalife Malaysia mempunyai beberapa kelebihan lagi.
– Mudah dan senang
Shake sebagai pengganti makanan yang digunakan dalam diet Herbalife Malaysia boleh menarik individu yang sibuk atau mereka yang tidak mempunyai masa atau minat untuk memasak.
Untuk membuat shake, apa yang perlu anda lakukan adalah mencampurkan 2 sudu serbuk dengan 240 mL susu tanpa lemak dan kemudian menikmatinya. Serbuk juga boleh dicampur dengan ais atau buah untuk minuman smoothie.
Minum shake tanpa perlu memasak boleh mengurangkan masa yang dihabiskan untuk merancang, membeli-belah, dan menyediakan makanan. Program Herbalife juga sangat senang diikuti.
– Shake berasaskan soya mungkin baik untuk jantung anda
Bahan utama dalam kebanyakan pengganti makanan Herbalife Malaysia adalah protein isolate soya, sejenis serbuk protein yang berasal daripada kacang soya.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa makan protein soya dapat menurunkan kadar kolesterol dan mengurangkan risiko penyakit jantung anda. Walau bagaimanapun, hampir 50 gram sehari diperlukan untuk mendapatkan kesan ini.
Dua hidangan shake Herbalife Malaysia hanya mengandungi 18 gram, jadi makanan tambahan berasaskan soya perlu disertakan ke dalam diet anda.
– Terdapat formula bebas soya dan susu
Bagi mereka yang mempunyai alahan atau kepekaan terhadap susu kacang soya atau susu lembu, Herbalife Malaysia menawarkan shake sebagai alternatif pengganti makanan yang diperbuat daripada protein kacang pea, beras, dan bijan.
Produk ini juga diperbuat daripada bahan-bahan yang tidak diubah suai, bagi mereka yang ingin mengelakkan GMO.
Kelemahan diet Herbalife
Setiap produk atau program mempunyai kebaikannya tetapi tidak semua kebaikan tidak mempunyai kelemahannya. Ini merupakan kelemahan diet Herbalife Malaysia :
– Shake merupakan makanan yang diproses
Shake Herbalife Malaysia diperbuat daripada bahan-bahan yang diproses, seperti protein isolated, gula, gam, serat, vitamin sintetik, perisa tiruan, dan pengemulsi.
Salah satu kelemahan terbesar adalah ia mengandungi gula yang sangat tinggi – 40 peratus kalori dalam setiap hidangan yang berasal daripada gula tambahan, terutama fruktosa.
– Boleh membuatkan anda lapar
Walaupun shake Herbalife digambarkan sebagai shake pengganti makanan, ia tidak mengandungi kalori yang cukup untuk menjadi makanan yang sebenar.
Apabila dicampur dengan susu tanpa lemak, shake hanya mempunyai 170 kalori, yang mungkin akan membuatkan anda berasa sangat lapar sepanjang hari.
– Mahal
Setiap bekas campuran pengganti makanan Herbalife Malaysia mengandungi 30 hidangan dan harganya lebih daripada RM100. Mungkin harga pengganti makanan Herbalife ini berpatutan bagi sesetengah individu tetapi ia merupakan antara produk dengan harga yang tinggi.
– Makanan tambahan herba boleh menyebabkan kerosakan hati
Makanan tambahan ini belum diuji keberkesanannya dan tidak diatur oleh mana-mana agensi kerajaan untuk menentukan kualiti atau ketulenan.
Penting untuk memerhatikan jika anda mengalami sebarang simptom reaksi buruk terhadap makanan tambahan, kerana hal ini boleh berlaku.
– Tidak sesuai untuk semua orang
Program diet Herbalife Malaysia mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Individu yang mempunyai alahan, kepekaan tinggi atau intoleransi terhadap ramuan dalam shake atau makanan tambahan tidak boleh mengikuti program ini.
Produk Herbalife Malaysia ini bergantung pada sesetengah individu, ada yang baik untuk mereka ada yang menerima kesan negatif. Dapatkan khidmat nasihat daripada doktor dahulu untuk mengetahui sama ada ia benar sesuai untuk anda.