Pengenalan
Hilang selera makan berlaku apabila anda mempunyai keinginan untuk makan yang berkurangan. Ia juga mungkin dikenali sebagai kurang selera makan yang baik atau tiada selera makan. Istilah perubatan bagi keadaan ini adalah anoreksia.
Pelbagai keadaan boleh menyebabkan penurunan selera makan anda. Ini mungkin boleh melibatkan antara penyakit mental dan fizikal.
Sekiranya anda mengalami kehilangan selera makan, anda juga mungkin mempunyai simptom berkaitan, seperti penurunan berat badan atau kekurangan zat makanan. Ini boleh menjadi serius sekiranya ia tidak dirawat, jadi ianya adalah penting untuk mencari punca yang menyebabkan penurunan selera makan dan merawatnya dengan segera.
Penerangan
Hilangan selera makan secara perubatan dirujuk sebagai anoreksia. Ia boleh terjadi disebabkan pelbagai keadaan dan penyakit. Sesetengah keadaan boleh bersifat sementara dan berbalik, seperti hilang selera kerana kesan ubat-ubatan. Selain itu, ada juga keadaan yang boleh menjadi lebih serius, seperti yang berpunca daripada kanser. Sebarang pengurangan selera makan yang berterusan harus dinilai oleh pakar penjagaan kesihatan.
Seterusnya, penyebab hilang selera makan termasuklah kehamilan, masalah metabolik, penyakit hati kronik, COPD, demensia, HIV, hepatitis, hipotiroidisme, kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung, kokain, heroin, kelajuan, kemoterapi, morfin, kodin dan antibiotik.
Penyebab yang berkemungkinan
Beberapa keadaan boleh menyebabkan penurunan selera makan. Dalam kebanyakan kes, selera makan anda akan kembali normal apabila keadaan atau puncanya dirawat.
– Bakteria dan virus
Hilang selera makan boleh terjadi disebabkan bakteria, virus, kulat atau jangkitan lain pada mana-mana tempat. Berikut adalah beberapa punca yang mungkin menyebabkannya:
- Jangkitan saluran pernafasan
- Keradangan paru-paru
- Gastroenteritis
- Kolitis
- Jangkitan kulit
- Meningitis
Selepas rawatan yang betul untuk penyakit ini, selera makan anda akan kembali normal.
– Penyebab psikologi
Terdapat pelbagai sebab psikologi yang boleh menyebabkan selera makan menurun. Ramai orang dewasa yang lebih berumur hilang selera makan mereka, walaupun pakar tidak pasti apa sebabnya.
Selera makan anda mungkin juga berkurangan apabila anda sedih, bersedih, atau bimbang. Kebosanan dan tekanan juga dikaitkan dengan selera makan yang menurun.
Gangguan makan, seperti anoreksia nervosa juga boleh menyebabkan penurunan selera makan secara keseluruhanya. Seseorang yang mempunyai anoreksia nervosa membiarkan dirinya kelaparan atau menggunakan kaedah lain untuk mengurangkan berat badan.
Orang yang mempunyai keadaan ini biasanya mempunyai kurang berat badan dan takut dengan kenaikan berat badan. Di samping itu, anoreksia nervosa juga boleh menyebabkan malnutrisi.
– Keadaan perubatan
Keadaan perubatan berikut boleh menyebabkan selera makan menurun:
- Penyakit hati kronik
- Kegagalan buah pinggang
- Kegagalan jantung
- Hepatitis
- HIV
- Demensia
- Hipotiroidisme
Kanser juga boleh menyebabkan hilang selera makan, terutamanya jika kanser tertumpu di kawasan berikut:
- Kolon
- Perut
- Ovari
- Pankreas
Seterusnya, kehamilan juga boleh menyebabkan hilang selera makan semasa trimester pertama.
– Ubat-ubatan
Sesetengah ubat-ubatan dan dadah boleh mengurangkan selera anda. Ini termasuklah dadah haram seperti kokain, heroin dan amphetamine bersama ubat-ubatan yang dipreskripsikan.
Beberapa ubat preskripsi yang mengurangkan selera makan termasuk:
- antibiotik tertentu
- Kodeine
- Morfin
- ubat kemoterapi
Bila perlu menghubungi doktor
Hilang selera makan yang berterusan boleh menyebabkan penurunan berat badan dan kekurangan zat makanan. Ianya adalah penting bagi orang untuk mengetahui faktor yang menyebabkan hilang selera makan mereka, kerana membiarkannya tanpa rawatan boleh menjadi serius.
Individu boleh memaklumkan pada doktor jika mereka hilang selera makan untuk tempoh yang lama. Jika mereka menyedari terdapat hilang berat badan yang tidak dijangka atau secara cepat, mereka juga harus berjumpa doktor mereka.
Tambahan lagi, individu perlu mendapatkan bantuan perubatan jika mereka melihat sebarang gejala lain di samping hilang selera makan, seperti:
- Sakit perut
- Demam
- Sesak nafas
- Batuk
- Degupan jantung yang cepat atau tidak teratur
Apa yang boleh diharapkan di klinik
Seorang doktor akan melihat semua gejala yang dialami seseorang, dan menggunakannya untuk mengenal pasti punca hilang selera mereka.
Doktor juga boleh memeriksa abdomen seseorang dengan tangan mereka untuk mengenal pasti sebarang kembung, ketulan atau kelembutan yang luar biasa. Ini dapat membantu mereka mengetahui jika gangguan gastrointestinal menyebabkan hilang selera makan atau tidak.
Selain itu, seorang doktor juga boleh menjalankan ujian untuk membantu mereka mengenal pasti punca masalah tersebut. Ujiannya termasuklah:
- Ujian darah
- Sinar-X perut
- Endoskopi, di mana kamera membolehkan doktor melihat ke dalam badan
Rawatan
Rawatan untuk masalah hilang selera makan bergantung kepada puncanya. Sekiranya penyebabnya adalah jangkitan bakteria atau virus, anda tidak memerlukan rawatan tertentu kerana selera makan anda akan segera kembali normal sebaik sahaja jangkitan anda sembuh.
– Penjagaan di rumah
Jika masalah hilang selera makan berlaku disebabkan keadaan perubatan seperti kanser atau penyakit kronik, ianya adalah sukar untuk merangsang selera makan anda. Walau bagaimanapun, menikmati makanan dengan makan bersama keluarga dan rakan-rakan, memasak makanan kegemaran anda, atau keluar makan di restoran boleh membantu meningkatkan selera makan.
Untuk membantu mengatasi masalah kekurangan selera, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk memfokuskan diri untuk makan hanya satu hidangan berat setiap hari, dengan makanan ringan di antaranya. Makan makanan secara kerap juga boleh membantu, dan ini biasanya lebih mudah pada perut berbanding makanan yang berat.
Senaman ringan juga boleh membantu meningkatkan selera makan. Untuk memastikan anda mendapat nutrien yang mencukupi daripada makanan, makanan perlu mempunyai kadar kalori dan protein yang tinggi. Anda juga mungkin mahu mencuba minuman cecair protein.
Ia boleh jadi berguna untuk menyimpan diari harian tentang apa yang anda makan dan minum dalam tempoh beberapa hari hingga seminggu. Ini akan membantu doktor menilai pengambilan pemakanan anda dan sejauh mana selera makan anda menurun.
– Rawatan perubatan
Semasa temujanji, doktor anda akan cuba membuat gambaran menyeluruh tentang gejala hilang selera makan anda. Mereka akan mengukur berat dan ketinggian anda dan membandingkannya dengan purata bagi populasi.
Anda juga akan ditanya mengenai sejarah perubatan, sebarang ubat yang anda ambil dan diet anda. Bersedia untuk menjawab pertanyaan mengenai:
- Bila gejala bermula
- Sama ada gejala adalah ringan atau teruk
- Berapakah berat badan anda yang telah turun
- Jika terdapat sebarang kejadian yang mencetuskannya
- Jika anda mempunyai sebarang gejala lain
Anda mungkin perlu menjalankan ujian untuk mencari punca penurunan selera makan anda. Ujian yang mungkin dilakukan termasuk:
- Ultrabunyi abdomen anda.
- Ujian darah lengkap.
- Ujian hati, tiroid dan fungsi buah pinggang anda (ini biasanya hanya memerlukan sampel darah).
- siri GI atas, merangkumi sinar-X yang memeriksa kerongkong, perut dan usus kecil anda.
- Imbasan CT kepala, dada, perut atau pelvis anda.
Dalam beberapa kes, anda akan diuji untuk kehamilan dan HIV. Urin anda pula boleh diuji untuk mengesan dadah.
Sekiranya selera menurun anda telah menyebabkan kekurangan zat makanan, anda mungkin akan diberikan nutrien melalui saluran intravena.
Doktor anda juga boleh menetapkan ubat oral untuk merangsang selera makan anda.
Sekiranya hilangselera anda adalah akibat faktor seperti kemurungan, gangguan makan atau penyalahgunaan dadah, anda mungkin akan dirujuk kepada pakar kesihatan mental.
Dalam pada itu, hilang selera makan disebabkan ubat-ubatan boleh dirawat dengan menukar dos atau menukar preskripsi anda. Jangan sekali-kali menukar ubat tanpa berunding dengan doktor anda terlebih dahulu.
SUMBER
https://www.medicinenet.com/loss_of_appetite/symptoms.htm