Leher anda mempunyai empat kelenjar bersaiz kacang yang dipanggil kelenjar paratiroid. Penyakit hipoparatiroidisme berlaku apabila kelenjar ini tidak menghasilkan hormon paratiroid yang mencukupi, dibuang secara pembedahan, rosak atau juga apabila badan anda tidak menerima kesan daripada hormon itu. Hormon paratiroid mengawal tahap vitamin dan mineral penting dalam darah seperti vitamin D dan kalsium.
Selain itu, anda juga mungkin mendapat penyakit hipoparatiroidisme kerana anda mempunyai satu lagi keadaan yang boleh mempengaruhi kadar paratiroid di dalam badan seperti tahap magnesium yang rendah.
Badan anda menggunakan kandungan kalsium untuk mengekalkan fungsi saraf, otot dan jantung anda. Tahap kalsium yang rendah boleh mengakibatkan gejala kekejangan otot yang ringan hingga yang serius, kesemutan, masalah jantung dan kejang. Berita baiknya adalah anda boleh merawat keadaan ini.
Rawatan yang dibuat kebanyakannya untuk memastikan tubuh anda mempunyai kadar kalsium dan vitamin D yang cukup. Ini boleh dilakukan dengan memakan makanan seimbang, mengambil makanan tambahan dan mengawasi paras darah. Sekiranya anda mengikuti pelan rawatan anda dan berjumpa doktor dengan kerap, anda boleh menjalani kehidupan yang aktif dan baik walaupun dengan keadaan hipoparatiroidisme.
Punca Hipoparatiroidisme
Hipoparatiroidisme berlaku apabila kelenjar paratiroid anda tidak mengeluarkan hormon paratiroid yang mencukupi. Anda mempunyai empat kelenjar paratiroid yang terletak di leher iaitu di bahagian belakang kelenjar tiroid.
Faktor-faktor yang boleh menyebabkan hipoparatiroidisme termasuklah:
- Hipoparatiroidisme selepas pembedahan. Penyebab hipoparatiroidisme yang paling biasa terjadi selepas berlakunya kerosakan tidak sengaja atau penyingkiran kelenjar paratiroid semasa pembedahan. Pembedahan ini selalunya dibuat untuk rawatan penyakit kelenjar tiroid atau untuk kanser tekak atau leher.
- Penyakit autoimun. Sistem imun anda menghasilkan antibodi terhadap tisu paratiroid dan menolaknya seolah-olah paratiroid adalah benda asing. Dalam proses ini, kelenjar paratiroid akan berhenti mengeluarkan hormon mereka.
- Hipoparatiroidisme keturunan. Bagi faktor ini, anda sama ada dilahirkan tanpa kelenjar paratiroid atau paratiroid itu tidak berfungsi dengan betul. Beberapa jenis hipoparatiroidisme keturunan dikaitkan dengan kekurangan kelenjar yang menghasilkan hormon lain.
- Rawatan radiasi kanser yang meluas pada muka atau leher anda. Radiasi boleh menyebabkan kemusnahan pada kelenjar paratiroid anda, seperti rawatan iodin radioaktif untuk hipertiroidisme.
- Tahap magnesium yang rendah dalam darah. Ini boleh menjejaskan fungsi kelenjar paratiroid anda. Tahap magnesium yang normal diperlukan untuk berlakunya rembesan optimum bagi hormon paratiroid.
Simptom Hipoparatiroidisme
Beberapa simptom keadaan kalsium darah yang rendah adalah:
- Kekejangan otot atau kekejangan di bahagian kaki, bahagian pinggang atau muka.
- Kesemutan di jari tangan, jari kaki atau bibir.
- Kebimbangan dan kemurungan.
- Kegagalan jantung.
- Degupan jantung yang tidak teratur.
- Tekanan darah rendah.
- Sawan.
Kadar kalsium rendah dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan:
- Katarak.
- Masalah pergigian.
- Kecelaruan pergerakan seperti gegaran.
- Keguguran rambut dan kuku yang rapuh.
Diagnosis Hipoparatiroidisme
Sejarah perubatan dan ujian fizikal akan dijalankan sekiranya doktor mengesyaki anda mempunyai penyakit hipoparatiroidisme.
– Ujian darah
Penemuan keadaan seperti di bawah selepas ujian darah dilakukan mungkin menunjukkan keadaan hipoparatiroidisme:
- Tahap kalsium darah yang rendah.
- Tahap hormon paratiroid yang rendah.
- Tahap fosforus darah yang tinggi.
- Tahap magnesium darah yang rendah.
Doktor anda juga boleh meminta anda melakukan ujian air kencing untuk menentukan sama ada badan anda mengeluarkan kalsium dengan terlalu banyak ataupun tidak.
Faktor Risiko Hipoparatiroidisme
Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko anda mengalami hipoparatiroidisme termasuklah:
- Pembedahan leher yang baru dilakukan terutamanya jika melibatkan tiroid.
- Sejarah keluarga dengan penyakit hipoparatiroidisme.
- Mempunyai keadaan autoimun atau endokrin tertentu, seperti penyakit Addison yang menyebabkan kelenjar adrenal anda menghasilkan hormone paratirioid yang sedikit.
Rawatan Hipoparatiroidisme
Supplemen kalsium dan vitamin D boleh mengekalkan keadaan hipoparatiroidisme seperti sedia ada. Makanan yang sihat juga dapat membantu anda. Doktor akan menasihatkan anda untuk:
- Mengehadkan makanan yang mengandungi fosfat, seperti soda dan minuman ringan lain. Ini boleh menarik kalsium daripada tulang anda.
- Makan makanan yang tinggi dalam kadar kalsium seperti produk tenusu rendah lemak, sayur hijau gelap seperti kolard hijau dan kale, serta makanan dengan kalsium tambahan seperti bijirin dan jus oren.
Seorang pakar pemakanan boleh membantu merancang pemakanan anda bagi memastikan anda atau anak anda dalam keadaan sihat. Doktor anak anda juga akan memeriksanya dengan kerap untuk melihat agar perkembangannya berada di landasan yang betul.
SUMBER
https://www.healthline.com/health/hypoparathyroidism
https://www.webmd.com/women/hypoparathyroidism-rare
https://www.endocrineweb.com/conditions/hypoparathyroidism/hypoparathyroidism