Baru-baru ini, isu gangguan sumber air di beberapa buah kawasan di Selangor berlaku sekali lagi. Sebahagian kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan air selepas loji rawatan air di Sungai Semenyih ditutup kerana pencemaran bau yang berlaku dan telah memberi kesan kepada hampir 1.6 juta penduduk.
Pihak berkenaan telah mengenal pasti punca pencemaran bau itu yang berpunca daripada pembuangan sisa bahan haram seperti minyak hitam, lemak makanan dan sisa industri. Jadi, aliran sumber air itu diberhentikan seketika agar ia tidak diakses oleh penduduk setempat dan menyebabkan masalah lain yang lebih serius.
Memandangkan masalah ini sudah sering berlaku, ramai penduduk yang tidak berpuas hati dan meminta pihak berkenaan untuk mengambil tindakan dengan selanjutnya. Apakah pandangan anda tentang hal ini sekiranya anda adalah salah seorang penduduk yang terjejas? Mampukah anda bertahan tanpa sumber air yang bersih selama beberapa hari? Apakah yang anda akan lakukan?
Mari ketahui bagaimana kita boleh menggunakan air sebaik mungkin sekiranya isu ini berlaku di kawasan tempat tinggal kita dengan mengambil langkah seperti di bawah.
Dapatkan sumber air yang bersih
Antaranya adalah dengan membeli air mineral di kedai serbaneka berhampiran atau memasak air di rumah kita. Hal ini adalah supaya ia dapat dijadikan sebagai air minuman atau sebagai keperluan harian kita dalam melakukan pelbagai aktiviti lain. Contohnya, sekiranya kita mahu menyediakan makanan atau membasuh bahan-bahan masakan seperti sayur, ayam, daging dan sebagainya. Ini adalah untuk mengelakkan diri daripada mendapat penyakit seperti cirit-birit. Penyakit ini boleh didapati sekiranya kita minum air daripada sumber yang tercemar. Selain itu, lebihkan stok air bersih anda bagi tujuan kecemasan kerana isu gangguan ini boleh berlarutan sehingga seminggu.
Menadah air hujan
Air hujan boleh digunakan untuk keperluan seharian seperti mandi atau membasuh pakaian. Namun begitu, sumber air ini tidak boleh digunakan sebagai minuman kerana ia mengandungi bakteria dan akan memudaratkan kesihatan kita. Sekiranya kita mahu menggunakan air hujan sebagai minuman, ia perlulah dimasak terlebih dahulu supaya dapat menghilangkan bakteria-bakteria yang terdapat di dalamnya. Antara contoh bakteria adalah seperti E.coli yang boleh menyebabkan masalah perut dan usus seperti cirit-birit dan muntah. Ia juga lebih berisiko bagi golongan kanak-kanak dan golongan orang tua kerana sistem imun mereka lebih rendah dan mudah dijangkiti penyakit.
Tidak mengutamakan aktiviti yang menggunakan air secara berlebihan
Ini termasuklah aktiviti seperti membasuh kereta, membasuh baju mahupun menyiram pokok bunga. Walaupun kegiatan ini dilihat penting buat sesetengah masyarakat, namun utamakan diri kita dahulu. Kesemua aktiviti itu boleh diteruskan setelah gangguan bekalan air pulih semula. Oleh itu, kita perlulah menggunakan sumber air untuk melakukan perkara utama sahaja agar air tersebut dapat digunakan dengan lebih cermat dan baik.
Berjimat-cermat dalam penggunaan air
Ketika sumber air bersih anda adalah terhad, berjimat-cermat ketika menggunakan air yang tinggal kerana itu merupakan satu-satunya sumber air yang kita ada. Ini dapat dilakukan dengan mengehadkan kuantiti air yang diperlukan sahaja ketika membuat aktiviti seharian supaya sumber air tersebut dapat digunakan dengan lebih lama. Walaupun kita mahu berjimat-cermat, pastikan air yang diminum juga mencukupi supaya badan kekal hidrat dan segar sepanjang hari.
Kurangkan makan di restoran atau kedai makan di kawasan yang terjejas
Memandangkan tempat-tempat ini juga mengalami isu air yang sama seperti kita, tidakkah anda tertanya-tanya bagaimanakah restoran atau kedai makan mendapatkan sumber bekalan air mereka? Adakah ia daripada sumber yang benar-benar bersih? Jadi, sekiranya boleh, elakkan makan di tempat-tempat yang terjejas dan dapatkan makanan kering yang mudah dan tidak perlu dimasak. Jika berkeupayaan, anda boleh pergi makan di restoran atau kedai makan di luar kawasan yang terjejas, namun itu mungkin sedikit menyusahkan sekiranya mereka terletak agak jauh daripada kawasan tempat tinggal anda.
SUMBER:
https://www.nst.com.my/opinion/letters/2018/03/348275/selangor-hot-water-over-water-crisis
https://link.springer.com/content/pdf/10.1023/A:1012256903509.pdf