Jalan-Jalan Ke Osaka Jepun: Cara Hendak Ke Osaka Dan Lain-Lain Tips!~ Setiap bandar di Jepun mempunyai keunikan tersendiri dan menjadikannya sebuah destinasi yang mesti dikunjungi berdasarkan ciri-ciri keunikan tersebut.
Untuk artikel kali ini , kita akan fokus jalan-jalan di bandaraya Osaka. Terdapat pelbagai tips dan trik menarik disertakan di dalam artikel ini untuk anda merancang percutian anda di Osaka kelak.
Ok jom teruskan membaca.
Jalan-Jalan Osaka: Konichiwa!
Osaka adalah tempat yang strategik untuk memulakan perjalanan anda sekiranya anda ingin menjelajah ke seluruh Jepun. Hal ini kerana, melalui Osaka anda akan dapat akses ke destinasi lain ataupun dari destinasi lain dengan mudah.
Nama panggilan Osaka adalah ‘huge heart city.’ Ini kerana orang-orang mereka mempunyai keperibadian yang menyenangkan dan hati yang besar. Mereka sangat ramah, mengalu-alukan, dan bersikap baik serta mengamalkan amalan bantu-membantu walaupun kepada orang asing.
Osaka sangat terkenal dengan makanannya yang murah dan pelbagai jenis, tempat yang sesuai untuk membeli-belah, dan hiburan malamnya. Ini menjadi salah satu sebab utama mengapa ia adalah tempat wajib untuk dikunjungi terutamanya bagi pelancong yang mempunyai bajet yang rendah tetapi mahukan keselesaan dan keseronokkan yang berganda.
Jalan-Jalan Osaka: Bagaimana hendak pergi ke Osaka?
Semua penerbangan antarabangsa akan tiba di Kansai International Airport (KIX), Jepun. Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX) adalah pintu masuk utama ke Osaka dan bahagian lain dari Wilayah Kansai.
Secara ringkasnya, KIX adalah lapangan terbang antarabangsa Osaka yang menerima penerbangan antarabangsa dan beberapa penerbangan domestik.
Menuju Ke Osaka dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX).
Terdapat banyak pengangkutan awam yang boleh diakses di sekitar lapangan terbang ini. Anda boleh menggunakan kereta api, perkhidmatan bas limosin, atau teksi untuk sampai ke Osaka. Anda perlu membuat keputusan yang bijak dengan mempertimbangkan masa dan faktor lain seperti jumlah bagasi yang anda ada agar tidak membazirkan wang begitu sahaja.
Anda boleh menaiki kereta api bawah tanah atau teksi untuk membawa anda ke destinasi pilihan anda seterusnya di Osaka dari semua stesen tempat berhenti yang dinyatakan di bawah.
- Menaiki Haruka Express
Apabila anda mahu sampai cepat, Haruka Express adalah salah satu caranya. Ia akan berhenti di stesen Tennoji dan Shin-Osaka dengan mengambil masa 35 sehingga 50 minit sahaja.
Dari Lapangan Terbang Kansai, Haruka Express akan berlepas pada setiap 30 minit. Anda tidak perlu risau sekiranya anda terlepas trip sebelumnya. Anda boleh menaiki Haruka Express dengan atau tanpa Japan Rail Pass. Bagi penumpang tanpa JR Pass, harga tiket adalah dalam anggaran 2000 yen (Tennoji) dan 3000 yen (Shin-Osaka).
- JR Kanku Kaisoku dan Kansai Airport Rapid Train
Sekiranya anda mencari alternatif yang lebih murah, JR Kanku Kaisoku dan Kansai Airport Rapid Train adalah antara pilihan yang ada. Ia mengambil masa lebih lama sedikit berbanding Haruka Express (lambat sekitar 15 minit).
Secara anggaran, harga tiket biasanya tidak akan lebih dari 1500 yen untuk kedua-dua hentian, 1000 yen (berhenti di Stesen Tennoji) dan 1200 yen (berhenti di Stesen Osaka).
Harga ini sama untuk pemegang JR Pass dan bukan pemegang JR Pass. Keretapi mengambil masa lebih lama daripada Haruka Express kerana ia berhenti di lebih banyak poin tetapi harganya lebih murah dan sesuai untuk anda yang berbajet rendah.
- Nankai Rapid Airport
Kereta api lain yang boleh anda pilih jika anda tidak mempunyai pas JR adalah kereta api ekspres Nankai Rapit Airport. Ia menghubungkan Lapangan Terbang Kansai ke Namba (anggaran harga tiket ialah Y1130, dan mengambil masa lebih kurang 45 minit).
- Bas limosin
Bas limosin adalah pilihan yang baik sekiranya penginapan anda tidak berdekatan dengan stesen keretapi atau sekiranya anda membawa banyak bagasi dan tidak mahu menggunakan kereta api bawah tanah. Bas-bas ini akan menurunkan anda dan menjemput anda di beberapa poin di bandar Osaka.
- Kereta Sewa/ Teksi
Anda sangat tidak digalakkan untuk memilih kereta sewa atau teksi biasa kerana harga tambang yang agak mahal sedangkan anda mempunyai pilihan lain yang lebih murah dan lebih realistik.
Tips: Perkara pertama yang perlu dilakukan semasa anda tiba di lapangan terbang Kansai adalah, cari Kaunter Pusat Maklumat Pelancong Kansai (Travel Desk of Kansai Tourist Information Center). Di sini anda boleh mendapatkan maklumat penting mengenai pengangkutan, tiket, dan juga tempat penginapan serta lain-lain maklumat berkaitan.
Jalan-Jalan Osaka : Tempat penginapan terbaik di Osaka.
Tempat penginapan yang paling disarankan adalah di daerah Namba atau Umeda. Sebabnya, kedua-dua tempat ini berada di pusat bandar Osaka. Ia mempunyai akses paling mudah kepada pengangkutan awam dan senang untuk mencari tempat penginapan.
Keretapi sehala dari lapangan terbang dan stesen paling banyak dihubungkan di dua daerah ini. Ini akan memudahkan perjalanan percutian anda.
Sekiranya anda pilih untuk menginap di daerah Namba, anda boleh berjalan-jalan di sekitar Dotonbori dan Shinsaibashi. Ia adalah antara tempat yang terkenal dan menarik di Osaka, terutamanya untuk aktiviti membeli-belah dan makan.
Manakala, Umeda adalah tempat penginapan yang paling sesuai jika anda juga mempunyai perancangan untuk melancong di luar Osaka. Ini kerana Umeda sangat dekat dengan stesen keretapi yang boleh menghubungkan anda ke tempat lain seperti Kobe dan juga Kyoto.
Jalan-Jalan Osaka: Osaka Amazing Pass.
Osaka Amazing Pass adalah satu tiket khas yang boleh digunakan di lebih 35 tempat terkenal di sekitar Osaka. Ia menyediakan akses tanpa had ke pengangkutan awam yang disediakan. Anda boleh memilih Osaka Amazing Pass untuk pas sehari atau dua hari berdasarkan tempoh tempoh penginapan anda di Osaka.
Tidak seperti JR Pass yang mempunyai limit pembeli tertentu, setiap orang yang berkunjung ke Osaka boleh membeli Osaka Amazing Pass.
Walau bagaimanapun, untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun, anda perlu mendapatkan Enjoy Eco Card untuk membolehkan mereka menggunakan pengangkutan awam. Untuk kanak-kanak di bawah dua tahun, semua tiket pengangkutan awam adalah percuma.
Osaka Amazing Pass adalah pilihan yang tepat terutamanya untuk yang mempunyai rancangan mengelilingi bandar dengan menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api dan bas. Seperti yang kita ketahui, rangkaian pengangkutan Jepun terkenal dengan harganya yang tinggi dan kad ini sangat membantu untuk menjimatkan anda.
Tips: Dapatkan Osaka Amazing Pass melalui website Traveloka.
Jalan-Jalan Osaka: Tempat-Tempat Menarik Di Osaka.
Dengan Osaka Amazing Pass, anda boleh mengunjungi semua tempat yang terkenal di Osaka seperti:
● Universal Studios Jepun,
● Akuarium Osaka Kaiyukan,
● Kuil Shitennoji,
● Bangunan Langit Umeda,
● Abeno Harukas,
● Taman Minoo, dan lain-lain.
Selain itu, anda juga tidak boleh ketinggalan untuk mengunjungi Pasar Kuromon. Di pasar ini anda boleh mencari tempat yang menjual pelbagai jenis makanan yang terkenal. Ia juga dikenali sebagai Osaka’s Kitchen. Di sini, anda boleh mendapatkan apa sahaja jenis makanan yang anda mahukan!
Tempat lain yang terkenal dengan makanan dan destinasi membeli-belah yang juga boleh anda kunjungi ialah Minami, Shinsekai, Dotonbori, Shinsaibashi Shopping Arcade, Amerikamura, dan Namba Parks. Semua tempat ini wajib dikunjungi untuk melengkapkan perjalanan Osaka anda.
Kesimpulan
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda terutamanya kepada sesiapa yang berhajat untuk melancong ke Jepun terutamanya di Osaka satu hari nanti.
Sekian.
Sumber:
https://www.japan-guide.com/e/e2157.html\
https://www.willflyforfood.net/the-first-timers-travel-guide-to-osaka-japan/