Now Reading
Jangkitan Cacing Kerawit (Pinworm infection) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Jangkitan Cacing Kerawit (Pinworm infection) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

cacing kerawit

Jangkitan cacing kerawit adalah jenis jangkitan cacing usus yang paling biasa berlaku dan salah satu jangkitan yang paling umum di seluruh dunia. Cacing kerawit (pinworm) adalah cacing yang nipis dan putih, berukuran 1/4 hingga 1/2 inci (kira-kira 6 hingga 13 milimeter).

Apabila individu yang dijangkiti tidur, cacing kerawit betina akan bertelur sebanyak beribu-ribu di lipatan kulit sekitar dubur. Kebanyakan individu yang dijangkiti tidak mempunyai simptom, tetapi ada juga yang mengalami kegatalan dubur dan ketidakselesaan ketika tidur.

Selain itu, jangkitan cacing kerawit biasanya berlaku pada kanak-kanak yang bersekolah, dan telur mikroskopik cacing ini ini mudah tersebar dari satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain. Rawatan melibatkan pengambilan ubat-ubatan oral yang membunuh cacing kerawit dan mencuci pakaian tidur, cadar katil dan pakaian dalam. Bagi mendapatkan hasil terbaik, seluruh keluarga perlu menerima rawatan juga.

Simptom Jangkitan Cacing Kerawit

Kebanyakan individu yang dijangkiti tidak mempunyai apa-apa simptom. Sekiranya anda mengalaminya, ia mungkin termasuk mana-mana yang berikut:

  • Kegatalan pada dubur, terutamanya pada waktu malam.
  • Tidur yang terganggu.
  • Kegatalan pada kawasan faraj – jika cacing dewasa bergerak ke faraj.
  • Iritasi.
  • Kesakitan abdomen yang datang dan hilang.

Punca Jangkitan Cacing Kerawit

Penyebab jangkitan cacing kerawit ini adalah kurang kebersihan.

Telur dipindahkan dari dubur individu yang dijangkiti ataupun melalui mulut mereka, yang kemudian menjangkiti diri atau mencemari permukaan lain. Sekiranya orang lain menyentuh permukaan yang sudah dicemari itu dan kemudian menyentuh mulut mereka, mereka mungkin akan menelan telur dan dijangkiti juga.

Di samping itu, cacing kerawit betina biasanya meletakkan telur di sekeliling dubur dan faraj. Telur boleh dipindahkan dari dubur kepada:

  • Cadar katil.
  • Karpet.
  • Tangan.
  • Tuala.
  • Seluar dan pakaian.

Malah, cacing kerawit betina juga boleh melepaskan lendir gatal apabila meletakkan telurnya. Ini secara tidak langsung akan mendorong kita menggaru kawasan yang terjejas pada dubur atau faraj. Daripada tangan, telur dapat dipindahkan ke objek apa pun yang disentuh, termasuk:

  • Peralatan bilik mandi, seperti berus gigi, sikat dan berus.
  • Secara terus ke tangan orang lain.
  • Perabot.
  • Permukaan dapur dan bilik mandi.
  • Peralatan dapur.
  • Mainan.

Menelan telur

Telur boleh bertahan sehingga 3 minggu pada apa-apa permukaan. Jika disentuh, ia akan dipindahkan ke tangan individu. Kemudian, sekiranya tangan itu kemudian menyentuh mulut, terdapat risiko yang serius untuk menelan telur dan dijangkiti.

Menghirup udara dicemari telur

Telur mikroskopik boleh disebarkan melalui udara dan kemudian disedut melalui hidung ketika bernafas dan ditelan. Ini boleh berlaku apabila seseorang menggoncang tuala atau cadar. Telur kemudian akan menetas di usus 1 hingga 2 bulan selepas ditelan. Selepas itu, cacing kerawit betina boleh bertelur dengan lebih banyak lagi.

Kurang kebersihan diri di kalangan kanak-kanak

Kanak-kanak kecil lebih cenderung untuk dijangkiti kerana mereka biasanya kurang teliti mengenai cucian tangan. Selain itu, mereka juga mungkin mengalami jangkitan jangka panjang kerana pendedahan terhadap telur secara berterusan. Golongan kanak-kanak juga biasanya bersentuhan dengan satu sama lain, dan ini menjadikan jangkitan ulangan menjadi lebih cenderung.

Kesesakan

Jangkitan Cacing Kerawit adalah lebih biasa berlaku dalam keadaan yang sesak.

Kebersihan haiwan kesayangan

Cacing kerawit yang menjejaskan manusia tidak boleh menjangkiti haiwan atau haiwan peliharaan. Walau bagaimanapun, sesetengah telur mikroskopik boleh mendarat di atas bulu haiwan dan kemudian dipindahkan ke tangan manusia apabila menyentuh atau bermain dengannya. Jadi, ianya adalah penting untuk mengingati bahawa masalahnya bukanlah terletak pada haiwan peliharaan tetapi lebih kepada cara penjagaan kebersihan sendiri.

Diagnosis Jangkitan Cacing Kerawit

Jangkitan Cacing Kerawit ini boleh menyebabkan jangkitan usus. Sekiranya doktor berfikir bahawa anda mungkin mempunyai jangkitan ini, beliau mungkin meminta anda membuat “ujian pita”. Sebaik sahaja anda bangun pada waktu pagi, anda akan meletakkan sekeping pita jelas di sekeliling dubur anda, kemudian mengupasnya dengan perlahan-lahan Mana-mana telur cacing kerawit akan melekat pada pita, dan ini boleh dilihat oleh doktor menggunakan mikroskop di makmal.

Faktor Risiko Jangkitan Cacing Kerawit

Faktor risiko jangkitan cacing kerawit ini termasuklah:

  • Usia muda. Jangkitan cacing kemungkinan besar berlaku pada kanak-kanak berusia 5 hingga 10. Telur mikroskopik mudah tersebar kepada ahli keluarga, penjaga, atau kanak-kanak lain di sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak. Namun, ianya jarang berlaku pada kanak-kanak yang lebih muda dari umur 2 tahun.
  • Tinggal di ruang yang sesak. Orang yang tinggal di institusi lebih berisiko tinggi mendapat jangkitan cacing ini.

Rawatan Jangkitan Cacing Kerawit

Untuk merawat jangkitan ini, doktor boleh mencadangkan ubat pyrantel pamoate (Reese’s Pinworm Medicine) atau memberi ubat kepada semua ahli keluarga anda bagi mencegah jangkitan dan pengulangan kejadian yang sama.

Ubat anti-parasit dengan preskripsi yang paling biasa diberikan untuk jangkitan cacing adalah:

  • Mebendazole
  • Albendazole (Albenza)

Anda mungkin mempunyai kesan sampingan gastrousus ringan semasa rawatan dilakukan, dan anda biasanya perlu mengambil sekurang-kurangnya dua dos untuk menyingkirkan jangkitan ini secara sepenuhnya.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/pinworms

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pinworm/symptoms-causes/syc-20376382

https://www.medicalnewstoday.com/articles/175134

error: Content is protected !!