Musim cuti telah tiba! Anda telah merancang untuk meraikannya dengan mengadakan perkelahan bersama rakan-rakan di pantai. Setiap orang telah ditugaskan untuk membawa makanan ke perkelahan tersebut. Pelbagai juadah lazat disediakan oleh rakan-rakan anda seperti sosej, bihun goreng, ayam barbeku, kentang putar, salad dan sebagainya. Anda dan rakan-rakan makan makanan yang disediakan sambil menikmati pemandangan pantai di bawah cahaya matahari yang hangat. Pada keesokan harinya, anda bangun pagi dan perut anda terasa memulas. Anda mengalami cirit-birit dan kerap pergi ke tandas untuk membuang air besar. Apa yang sudah terjadi? Anda mungkin menghidap Jangkitan Salmonella.
Nama jangkitan ini yang sebenar adalah “Salmonellosis“, tetapi kebanyakan individu mengenalinya sebagai Salmonella, yang sebenarnya adalah nama bakteria yang menyebabkan jangkitan ini.
Seiring dengan cirit-birit, anda juga boleh mengalami demam beserta rasa sakit dan kekejangan di perut anda. Kebanyakan individu yang dijangkiti salmonella lebih sesuai untuk mengasingkan diri mereka dan bersendirian di rumah selama 4 hingga 7 hari.
Simptom Jangkitan Salmonella
Kebanyakan simptom yang anda alami dari jangkitan salmonella berkaitan dengan perut adalah:
- Kekejangan pada perut
- Najis berdarah
- Cirit-birit
- Rasa sejuk dan menggigil
- Demam
- Sakit kepala
- Sakit perut
- Muntah
Walaupun kebanyakan simptom biasanya tidak berlangsung lebih dari seminggu, dalam beberapa kes, ia boleh mengambil masa beberapa bulan untuk pergerakan usus anda kembali normal.
Punca Jangkitan Salmonella
Bakteria Salmonella hidup dalam usus burung, haiwan reptilia atau amfibia, dan manusia. Kebanyakan jangkitan pada manusia disebabkan oleh makan makanan atau air minuman yang telah dicemari oleh najis.
Makanan yang paling biasa dijangkiti oleh Salmonella adalah:
- Daging, makanan laut dan ayam yang tidak dimasak: Bagi daging, pencemaran biasanya berlaku adalah semasa proses penyembelihan. Makanan laut pula, jika ia disimpan dalam air yang dicemari oleh kuman ini, menyebabkannya dicemari Salmonella.
- Telur mentah: Telur daripada ayam yang dijangkiti mungkin mengandungi bakteria. Terdapat banyak kes penyakit yang berasal dari makanan, kerana makan telur yang mengandung Salmonella. Telur mentah juga terdapat dalam beberapa jenis mayonis dan sos buatan sendiri.
- Buah-buahan dan sayur-sayuran: Ia mungkin dicemari jika ia telah disiram atau dibasuh dalam air yang tercemar. Buah-buahan dan sayur-sayuran juga boleh menjadi tercemar jika seseorang mengendalikan daging mentah dan kemudiannya menyentuh buah tanpa mencuci tangan.
Punca-punca selain makanan termasuklah:
- Kekurangan kebersihan: Penyebab umum pencemaran dan jangkitan adalah permukaan dapur yang tidak dijaga dengan bersih, dan tidak membasuh tangan semasa penyediaan makanan, selepas menggunakan tandas, atau selepas menukar lampin bayi. Seseorang yang tangannya dicemari bakteria ini boleh menyebarkan jangkitan kepada orang lain dengan menyentuh mereka, atau dengan menyentuh permukaan yang kemudian disentuh oleh orang lain.
- Haiwan peliharaan reptilia atau amfibia: Kebanyakan reptilia dan amfibia membawa Salmonella di dalam usus, ia tidak menyakitkan haiwan.. Walau bagaimanapun, bakteria akan ditinggalkan di dalam najis mereka. Keadaan ini dapat menyebarkan kuman ke kulit mereka dan kemudian setiap objek yang disentuh seperti sangkar, mainan, pakaian, perabot, dan permukaan isi rumah.
Diagnosis Jangkitan Salmonella
Doktor akan bertanya mengenai simptom, sebarang penyakit yang sedia ada, perubahan diet atau tabiat penyediaan makanan, sentuhan dengan haiwan peliharaan, dan destinasi pelancongan untuk mencari punca masalah.
- Cirit-birit dan muntah biasanya merupakan petunjuk yang jelas mengenai gastroenteritis.
- Ujian darah dan najis boleh membantu menentukan punca jangkitan.
Faktor Risiko Jangkitan Salmonella
Faktor yang boleh meningkatkan risiko jangkitan Salmonella termasuklah aktiviti yang boleh membawa anda berhubung dengan bakteria salmonella dan masalah kesihatan yang melemahkan daya tahan anda terhadap jangkitan secara umum.
– Peningkatan pendedahan
- Perjalanan antarabangsa. Jangkitan Salmonella, termasuklah jenis bakteria yang menyebabkan demam typhoid, adalah lebih biasa terjadi di negara-negara membangun dengan sanitasi yang kurang baik.
- Memiliki haiwan peliharaan atau reptilia. Sesetengah haiwan peliharaan, terutamanya burung dan reptilia, boleh membawa bakteria Salmonella.
– Gangguan perut atau usus
Badan anda mempunyai banyak sistem pertahanan semula jadi terhadap jangkitan salmonella. Sebagai contoh, asid perut yang kuat boleh membunuh banyak jenis bakteria Salmonella. Tetapi beberapa masalah perubatan atau ubat-ubatan boleh juga melemahkan pertahanan semula jadi ini. Contohnya termasuk:
- Antacid. Fungsinya adalah untuk mengurangkan keasidan perut anda justeru membolehkan lebih banyak bakteria Salmonella bertahan di dalamnya.
- Penyakit radang usus. Gangguan ini merosakkan lapisan usus anda, menjadikan bakteria salmonella mudah membiak.
- Penggunaan antibiotik. Pengambilan antibiotik juga boleh mengurangkan jumlah bakteria “baik” dalam usus anda, yang mungkin menjejaskan keupayaan anda untuk melawan jangkitan Salmonella.
– Masalah imun
Masalah perubatan atau ubat-ubatan berikut mungkin meningkatkan risiko anda untuk menghidapi Salmonella dengan merosakkan sistem kekebalan tubuh anda.
- AIDS
- Penyakit sel sabit
- Malaria
- Ubat anti-penolakan diambil selepas pemindahan organ
- Kortikosteroid
Rawatan Jangkitan Salmonella
– Ubat-ubatan
Oleh kerana jangkitan Salmonella boleh menyebabkan dehidrasi, rawatan akan memberi tumpuan kepada menggantikan cecair dan elektrolit dalam badan anda. Kes-kes yang teruk mungkin memerlukan kemasukan ke hospital dan cairan dimasukkan terus ke dalam vena (intravena). Di samping itu, doktor anda mungkin mengesyorkan:
- Anti-diarrheal. Ubat-ubatan seperti Loperamide (Imodium A-D) boleh membantu melegakan kekejangan, tetapi ia juga boleh memanjangkan cirit-birit yang berkaitan dengan jangkitan salmonella.
- Antibiotik. Sekiranya doktor anda mengesyaki bahawa bakteria Salmonella telah memasuki salur darah anda atau jika anda mempunyai kes yang teruk atau sistem imun yang lemah, doktor boleh menetapkan antibiotik untuk membunuh bakteria. Antibiotik tidak memberi manfaat dalam kes-kes yang tidak rumit. Malah, antibiotik boleh memanjangkan tempoh anda membawa bakteria tersebut dan menjangkiti orang lain, dan ia boleh juga meningkatkan risiko ulangan untuk anda.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/salmonella/symptoms-causes/syc-20355329
https://www.webmd.com/food-recipes/food-poisoning/what-is-salmonella#1