Pengenalan
Jardiance (empagliflozin) adalah ubat diabetes oral yang membantu mengawal kadar gula dalam darah. Ia berfungsi dengan membantu buah pinggang menyingkirkan glukosa dari aliran darah anda.
Kegunaan Jardiance
Jardiance digunakan bersama diet dan senaman untuk meningkatkan kawalan gula darah pada individu dewasa dengan penyakit diabetes mellitus jenis 2.
Ia juga digunakan untuk menurunkan risiko kematian akibat serangan jantung, strok atau kegagalan jantung pada orang dewasa yang menghidap diabetes jenis 2, serta pada masa yang sama menderita akibat penyakit jantung.
Namun begitu, ubat ini tidak digunakan untuk merawat diabetes jenis 1.
Langkah berjaga-jaga & Amaran Penggunaan Jardiance
Sebelum mengambil ubat ini, berbincanglah dengan doktor mengenai sejarah kesihatan anda. Jardiance mungkin tidak sesuai untuk anda sekiranya anda mempunyai keadaan perubatan tertentu. Ini termasuklah:
- Tekanan darah rendah. Ubat ini boleh menyebabkan tekanan darah rendah pada sesetengah orang.
- Penyakit buah pinggang. Ubat ini telah menyebabkan kerosakan buah pinggang pada sesetengah orang. Sekiranya anda menghidap penyakit buah pinggang, anda mungkin lebih berisiko untuk mendapat kesan sampingan yang serius. Ubat ini mungkin tidak selamat untuk anda.
- Sejarah jangkitan yis genital yang kronik. Sekiranya anda pernah mengalami jangkitan yis genital kronik atau berulang pada masa lalu, anda mungkin lebih berisiko mendapat jangkitan yis yang serius dengan penggunaan Jardiance. Pastikan anda berbincang dengan doktor mengenai jangkitan yis genital yang anda alami dulu.
Kesan Sampingan Jardiance
Jardiance boleh menyebabkan kesan sampingan ringan atau serius. Senarai berikut mengandungi beberapa kesan sampingan utama yang mungkin berlaku semasa mengambil ubat ini. Namun, ia tidak merangkumi semua kesan sampingan yang berkemungkinan berlaku.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai kesan sampingan Jardiance lain, atau petua mengenai cara mengatasi kesan sampingan yang dikhuatiri berlaku, berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi anda.
Kesan sampingan yang biasa berlaku termasuklah:
- jangkitan saluran kencing, dengan gejala seperti terasa panas semasa kencing, kencing yang lebih kerap dan warna air kencing yang keruh.
- jangkitan yis faraj, dengan gejala seperti kegatalan dan rasa sakit ketika membuang air kecil.
Sekiranya anda mempunyai simptom jangkitan ini, hubungi doktor anda. Anda mungkin memerlukan rawatan dengan mengambil ubat di kaunter farmasi atau yang dipreskripsikan oleh doktor.
Kesan sampingan serius Jardiance jarang berlaku, tetapi boleh berlaku. Hubungi doktor anda sekiranya anda mempunyai kesan sampingan yang serius.
Hubungi 911 jika gejala anda mungkin mengancam nyawa atau jika anda berfikir bahawa anda memerlukan bantuan kecemasan. Kesan sampingan yang serius dan simptomnya boleh merangkumi perkara berikut:
1. Hypotension (tekanan darah rendah). Gejala boleh merangkumi:
- pening lalat
- berasa pening atau terjatuh ketika berdiri
- kulit basah
- hilang kesedaran
- kemurungan
2. Kerosakan buah pinggang. Gejala boleh merangkumi:
- jarang membuang air kencing
- bengkak pada kaki dan pergelangan kaki
- kekeliruan
- keletihan
3. Peningkatan tahap kolesterol lipoprotein berkepadatan rendah (LDL)
Kontraindikasi Jardiance
Jardiance dikontraindikasikan pada pesakit yang mempunyai sejarah hipersensitiviti yang serius terhadap empagliflozin atau komponen yang tidak aktif dalam Jardiance.
Ia juga dikontraindikasikan pada pesakit dengan gangguan buah pinggang yang teruk atau penyakit buah pinggang tahap akhir, serta individu yang memerlukan rawatan dialisis.
Interaksi Jardiance
Interaksi ubat boleh mengubah cara ubat berfungsi atau meningkatkan risiko anda mendapat kesan sampingan yang serius. Artikel ini tidak mengandungi semua kemungkinan interaksi ubat yang boleh terjadi.
Simpan senarai semua produk yang anda gunakan (termasuk ubat preskripsi/ bukan preskripsi dan produk herba) dan kongsikan kepada doktor dan ahli farmasi anda. Jangan mula, henti atau ubah dos ubat-ubatan tanpa kebenaran doktor anda.
Ubat beta-blocker (seperti metoprolol, propranolol, tetes mata glaukoma seperti timolol) boleh mencegah degupan jantung yang cepat / berdebar-debar yang biasanya dirasakan apabila tahap gula dalam darah anda turun terlalu rendah (hypoglycemia).
Gejala lain seperti pening, lapar, atau berpeluh, tidak dipengaruhi oleh ubat ini. Banyak ubat boleh mempengaruhi tahap gula dalam darah anda, menjadikannya lebih sukar untuk dikawal.
Sebelum anda memulakan, menghentikan, atau menukar sebarang ubat, berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi anda mengenai bagaimana ubat tersebut boleh mempengaruhi gula dalam darah anda.
Periksa gula dalam darah secara berkala seperti yang diarahkan dan kongsikan hasilnya dengan doktor anda. Beritahu doktor dengan segera jika anda mempunyai gejala gula dalam darah tinggi atau rendah.
Doktormungkin perlu menyesuaikan ubat diabetes, program senaman atau diet mengikut keadaan anda.
Di samping itu, jika anda perlu membuat ujian air kencing, biasanya keputusannya akan menunjukkan positif glukosa. Pastikan pegawai perubatan dan semua doktor yang terlibat mengetahui bahawa anda menggunakan ubat ini.
Dos Jardiance
Dos Jardiance yang disyorkan ialah 10 mg sekali sehari pada waktu pagi, diambil dengan atau tanpa makanan. Pada pesakit yang tiada masalah dengan pengambilan ubat ini, dos boleh ditingkatkan menjadi 25 mg.
Pada pesakit dengan ‘volume depletion’, anda disyorkan untuk memperbaiki keadaan ini sebelum memulakan pengambilan Jardiance.
Sumber: