Now Reading
Jenis Buasir Yang Perlu Anda Tahu!

Jenis Buasir Yang Perlu Anda Tahu!

Jenis Buasir

Jenis buasir adalah penting anda mengetahui penyebab serta simptomnya. Buasir adalah pembengkakan kusyen vaskular yang tidak normal. Kusyen vaskular dubur bertindak untuk membantu ‘sphincter’ dubur dalam mengekalkan ketegangan. Apabila kusyen ini membesar secara tidak normal, ia boleh menyebabkan simptom dan mendorong kepada sejenis penyakit patologi dikenali sebagai buasir.

Lazimnya, buasir terbahagi kepada beberapa tahap dan sering terjadi dalam kalangan individu berusia 45 hingga 65 tahun.

Buasir dikelaskan mengikut saiznya iaitu:

Tahap 1

Berada dalam rektum.

Tahap 2

Prolaps melalui dubur sewaktu membuang air besar tetapi akan berkurangan.

Tahap 3       

Prolaps melalui dubur sewaktu membuang air besar tetapi memerlukan bantuan untuk mengurangkannya (melalui pembedahan/ laser).

Tahap 4       

Prolaps kekal dengan kukuh.

Faktor Risiko Buasir

Faktor-faktor risiko utama puasir adalah penegangan berlebihan yang berpunca daripada masalah sembelit kronik, peningkatan usia dan peningkatan tekanan dalam perut seperti kehamilan, batuk kronik atau ‘ascites’.

Faktor risiko lain bagi buasir adalah jisim pelvik atau abdomen, sejarah keluarga, kegagalan jantung atau hipertensi portal.

Ciri Klinikal Buasir

Buasir biasanya terjadi sekali dengan pendarahan rektum berwarna merah terang yang tidak menyakitkan. Ia terjadi selepas anda membuang air dan sering dilihat sama ada pada tisu kertas atau tempat duduk tandas. Namun, biasanya darah akan kelihatan di atas najis anda dan tidak bercampur.

Simptom lain yang anda mungkin alami termasuklah ‘pruritus’ (disebabkan oleh rembesan lendir dan kerengsaan yang kronik), rektum yang membesar atau sekiranya terdapat benjolan pada dubur dan kekejangan (disebabkan oleh keletihan ketika membuang air besar atau rembesan lendir).

Buasir prolaps yang besar boleh mendorong kepada trombosis. Keadaan ini sangat menyakitkan dan pesakitnya dikategorikan sebagai pesakit kecemasan.

Seterusnya, pemeriksaan biasanya kelihatan biasa melainkan buasir telah berada pada tahap yang parah. Buasir trombosis kelihatan seperti jisim berwarna ungu/ biru, ‘oedematous’, tegang dan jisim lembut perianal.

Jenis Buasir

Buasir dalaman (Internal Hemorrhoids)

Buasir dalaman berada di bahagian lapisan rektum dan tidak kelihatan dengan jelas melainkan ia membesar dengan ketara, sehingga boleh disentuh. Buasir jenis ini biasanya tidak menyakitkan dan boleh dikesan melalui pendarahan rektum dengan pergerakan usus.

Kadangkala, buasir dalaman juga boleh menjadi prolaps atau menonjol di luar dubur. Jika hal ini terjadi, anda mungkin dapat melihat atau menyentuhnya. Ia mungkin kelihatan atau terasa seperti pad kulit yang lembap berwarna merah muda (pink) berbanding kawasan sekitarnya. Pada tahap ini, buasir tersebut mungkin menyakitkan kerana dubur adalah bahagian tubuh yang padat dengan saraf yang sensitif. Namun, buasir prolaps biasanya boleh masuk semula ke dalam dubur dengan sendirinya. Jika tidak, ia boleh ditolak ke dalam dengan perlahan.

Buasir luaran (External Hemorrhoids)

Buasir luaran berada di bawah kulit yang mengelilingi dubur dan kedudukannya adalah lebih rendah berbanding buasir dalaman. Ia boleh disentuh apabila ia membengkak dan boleh menyebabkan:

  • Kegatalan.
  • Kesakitan.
  • Pendarahan ketika membuang air besar.

Jika buasir luaran menjadi prolaps dan menonjol keluar (biasanya semasa membuang air besar), anda boleh melihat dan menyentuhnya.

Gumpalan darah kadangkala terbentuk dalam jenis buasir ini dan boleh menyebabkan keadaan yang sangat menyakitkan digelar trombosis. Jika buasir menjadi trombosis, ia kelihatan agak menakutkan dengan warna ungu atau biru, dan berdarah.

Walaupun begitu, buasir trombosis biasanya tidaklah begitu serius. Ia akan sembuh dengan sendiri dalam masa beberapa minggu. Sekiranya anda tidak dapat menanggung rasa sakit kerana buasir jenis ini, doktor akan membantu mengeluarkan darah beku daripada buasir trombosis untuk melegakan kesakitan.

Diagnosis Buasir

Bagi mendiagnosis masalah buasir, ianya adalah penting untuk mengasingkan masalah kesihatan lain seperti kanser, penyakit keradangan usus atau penyakit divertikular.

Perbezaan perianal lain yang perlu dipertimbangkan termasuklah fisur dubur, abses perianal atau fistula dubur. Jenis buasir luaran biasanya dikenali sebagai ‘tag kulit’ dalam penyakit fisur dubur.

Pemeriksaan

Biasanya, ujian proktoskopi akan dijalankan untuk mengesahkan diagnosis buasir. Sekiranya anda mengalami pendarahan yang ketara atau berpanjangan mahupun memiliki simptom anemia, doktor akan melakukan kiraan darah penuh dan saringan pembekuan darah.

Sumber:

https://www.healthline.com/health/types-of-hemorrhoids

https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/ConditionsAndTreatments/haemorrhoids

https://teachmesurgery.com/general/anorectal/haemorrhoids/

https://gialliance.com/4-types-of-hemorrhoids-how-they-are-treated/

error: Content is protected !!