Ikan terdiri daripada haiwan yang tinggal dalam air dan bernafas melalui insang iaitu bukaan yang terdapat di kulit mereka. Malah, mereka juga mempunyai sirip bagi membolehkan mereka bergerak dengan baik melalui air.
Namun, tahukah anda bahawa terdapat dua jenis ikan iaitu ikan air masin dan juga ikan air tawar? Ada segelintir individu yang boleh makan kedua-duanya tapi ada juga yang hanya makan satu jenis sahaja.
Dalam artikel ini, kita akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai ikan air masin atau ikan yang dijumpai di laut dan khasiatnya kepada manusia.
Apakah perbezaan ikan air masin (ikan laut) dan ikan air tawar (ikan sungai)?
Secara amnya, ikan air masin tinggal di laut manakala ikan air tawar pula hidup di dalam air tawar seperti sungai dan tasik. Terdapat beberapa aspek yang membezakan kedua-dua jenis ikan ini seperti:
1. Fisiologi ikan
Ikan air tawar mempunyai insang yang berfungsi menyebarkan air agar tidak membiarkan kotoran memasuki insangnya sambil memastikan cecair badan kekal seperti sepatutnya. Malah, ikan jenis ini mempunyai buah pinggang yang besar dan telah berkembang dengan baik bagi memproses sejumlah besar air.
Sebaliknya, ikan air masin kehilangan sejumlah besar cecair dalaman mereka melalui insang kerana proses osmosis. Disebabkan kehilangan tersebut, air masin mengalir masuk untuk menggantikan cecair dalaman dan membentuk keseimbangan yang baik.
2. Suhu dan habitat
Ikan air tawar disesuaikan untuk hidup di pelbagai habitat. Terdapat sesetengah spesis yang dapat bertahan pada suhu rendah (24°C) sementara ada juga yang membiak dengan suhu antara 5°C hingga 15°C. Ikan air masin pula lebih banyak dijumpai di kawasan perairan yang cetek seperti tasik dan sungai, di mana tahap kemasinan air kurang dari 0.05 peratus.
3. Saiz
Tiada perbezaan saiz yang ketara antara kedua-dua jenis ikan. Satu fakta mengenai ikan air masin terbesar adalah jerung paus yang boleh mencapai sehingga 21.5 ton dengan purata panjang iaitu 12.5 meter
Sekarang, mari lihat jenis-jenis ikan laut (ikan air masin)
1. Ikan jenahak
Ikan jenahak mempunyai kandungan nutrisi yang kompleks. Ia dipercayai boleh menurunkan tahap trigliserida dalam badan serta meningkatkan sistem imun badan. Selain itu, ikan ini juga dikatakan boleh membantu mengubati batuk walaupun tiada bukti kajian tertentu daripada bidang sains. Malah, memakan ikan jenahak juga boleh mencegah gastritis yang berlaku kerana pengambilan alkohol atau makanan pedas.
2. Ikan tuna
Harga ikan tuna boleh menjadi sangat mahal setanding dengan kualiti baiknya. Malah, ikan ini juga sangat berkhasiat kerana mengandungi sumber protein lengkap yang diperlukan badan. Di samping itu, ikan tuna juga boleh menyihatkan jantung dengan kandungan omega-3 yang boleh menurunkan kadar trigliserida dan tekanan darah. Ia juga berkemungkinan mencegah pembekuan darah yang mendorong kepada penyakit jantung dan strok. Kandungan vitamin B6 pula membantu meningkatkan penghasilan hemoglobin yang baik untuk peredaran darah dengan lancar. Namun, pengambilannya harus dikawal kerana ia mengandungi merkuri yang boleh membahayakan sistem saraf kita.
3. Ikan tenggiri
Ikan tenggiri bukan sahaja sedap malah ia juga baik untuk kesihatan tubuh kita. Ikan ini memiliki 109 kalori dan kaya dengan sumber tenaga yang merupakan sumber baik untuk menambahkan stamina badan. Malah, kandungan proteinnya juga membantu bagi pembentukan otak sementara kalsium pula boleh menjaga dan meningkatkan kesihatan tulang. Ikan tenggiri sangat enak jika dibakar dan dimakan bersama pencicah pedas tapi ia boleh juga dikukus.
4. Ikan siakap
Ikan siakap pastinya menjadi kegemaran terutama jika anda keluar makan malam bersama keluarga di kedai makan. Padankannya dengan lauk tomyam dan sayur sudah mencukupi bagi hidangan makan malam yang enak. Malah, ikan siakap juga berkhasiat serta dikatakan boleh mencegah sakit jantung kerana membantu mengepam darah ke seluruh tubuh dengan lebih baik. Di samping itu, ikan ini juga memiliki kandungan lemak yang rendah. Bagi mereka yang sedang berdiet, ini pastinya pilihan yang baik. Ikan siakap juga dapat meningkatkan metabolisme badan kerana kandungan mineral potassiumnya yang tinggi.
5. Ikan yu
Ikan yu dikatakan sangat berkhasiat kerana kandungan kolagen yang dimiliki. Jadi, secara amnya ia adalah sesuai bagi menguatkan dan meregangkan kulit serta mencegah tanda penuaan. Namun, ikan yu sekarang biasanya ditangkap kerana siripnya dan kemudian ia dibuang kembali ke dalam laut dan mati begitu sahaja. Ini adalah tindakan yang tidak baik dan harus dielakkan. Sekiranya anda mahu makan ikan yu, pastikan ia dibeli dalam keadaan sempurna.
6. Ikan pari
Bagi penggemar masakan asam pedas, anda pastinya sudah terbiasa memakan ikan pari. Ia juga berkhasiat buat badan seperti dapat menurunkan kadar kolesterol dengan kandungan omega 3 dalamnya. Malah, ikan pari juga dikatakan baik bagi kesihatan gigi dan tulang kita. Kandungan kalsium dan phosphorus membantu menguatkan gigi dan tulang bagi mencegah berlakunya kepatahan atau kerapuhan kedua-dua bahagian ini. Bagi mereka dengan penyakit anemia, ikan pari dapat mengatasi masalah kekurangan sel darah merah berdasarkan kandungan zat besi yang boleh meningkatkan penghasilan sel darah merah.
7. Ikan terubok
Ikan terubok kaya dengan protein yang sangat ideal bagi individu yang ingin membina otot. Malah, ia juga membantu anda mengawal berat badan kerana kandungan lemak yang rendah. Ikan terubok juga kaya dengan B12 yang membantu badan menjadi lebih bertenaga, tidak mudah keletihan dalam menjalani aktiviti seharian. Bagi mendapatkan khasiat-khasiat tersebut, cuba sediakannya dengan cara kukus, bakar atau dijadikan sup berbanding cara gorengan biasa.
8. Ikan tongkol
Memasukkan ikan tongkol dalam pemakanan anda sangatlah bermanfaat kerana ia bukan sahaja kaya dengan nutrien malah membantu menurunkan kadar kolesterol yang tinggi. Jadi, ianya baik untuk jantung serta sesuai diambil oleh mereka dengan kadar kolesterol tinggi. Malah, kandungan asid lemak omega-3 serta potassium dalam ikan ini membantu menurunkan tekanan darah tinggi yang seterusnya boleh mencegah serangan jantung. Ia juga adalah jenis ikan air masin yang sangat sesuai bagi mereka yang sedang berdiet kerana rendah kalori dan mengandungi hormon leptin yang membantu dalam proses pembakaran lemak.
SUMBER
https://fish-re.blogspot.com/2017/09/perbezaan-antara-ikan-air-masin-dan.html
https://sciencing.com/different-freshwater-vs-saltwater-fish-6307253.html
https://barammundi.blogspot.com/2011/06/kenali-jenis2-ikan-air-masin-part-2.html
https://may.healthycatchups.com/kakie-ryby-est.html