Now Reading
6 Jenis Susu Pekat Manis dan Perbezaannya

6 Jenis Susu Pekat Manis dan Perbezaannya

susu pekat manis

Di pasaraya atau kedai, terdapat begitu banyak produk susu tin dengan jenama berlainan seperti susu pekat manis, susu cair dan banyak lagi.

Bagi individu yang sudah terbiasa membeli barang dapur sendiri, mereka mungkin sudah agak arif tentang perbezaan susu tin sebegini.

Namun bagaimana pula dengan anda yang baru sahaja mahu mencuba tinggal bersendirian, atau anda yang baru berpindah ke asrama? Pasti ia sedikit mencabar untuk membeli susu tin dengan kegunaan yang betul bukan?

Jadi, dalam artikel ini kami akan membantu anda memahami dengan lebih baik perbezaan susu tin di pasaran berserta dengan kegunaan masing-masing.

1. Susu sejat

Susu jenis ini dihasilkan daripada proses penyejatan air daripada susu. Disebabkan itulah, ia mendapat kepekatannya yang mana susu ini kemudian dihomogenkan serta disterilkan untuk menghalang pertumbuhan bakteria. Susu ini lebih dikenali sebagai susu cair dalam kalangan masyarakat dan biasanya digunakan sebagai ‘topping’ bagi pencuci mulut.

2. Susu pekat manis

Seperti susu sejat, susu pekat manis juga mengalami proses penyejatan air yang sama. Tapi, apa yang membezakan susu pekat manis dan susu sejat adalah susu pekat manis mengandungi gula tambahan yang memanjangkan jangka hayatnya. Sebaliknya, susu sejat tidak mempunyai kandungan sebegitu walaupun jangka hayatnya masih panjang gara-gara proses pempasteuran. Malah, ia juga mempunyai kandungan kalori lebih tinggi dan tidak seharusnya diambil dengan kerap. Ia sememangnya sedap jika dimakan bersama roti atau biskut bagi menambahkan rasa yang manis.

3. Susu isian sejat

Jenis susu ini pula dihasilkan melalui proses yang sama seperti susu sejat, tetapi apa yang membezakan kedua-duanya adalah kandungan lemak dalam susu isian sejat digantikan dengan lemak atau minyak tumbuhan.

4. Susu isian pekat manis

Susu jenis ini adalah sama seperti susu isian sejat di mana kandungan lemaknya digantikan dengan lemak atau minyak tumbuhan. Tapi, ketahui bahawa jenis susu ini mempunyai kandungan gula tambahan, justeru membuatkan ia lebih manis daripada susu isian sejat biasa. Ini juga boleh ditambahkan ke dalam minuman anda untuk meningkatkan rasa dan kemanisannya.

5. Susu krimer manis

Bagi susu jenis ini pula, ia dikategorikan sebagai pemanis dan bukanlah produk susu semata-mata menurut Peraturan-peraturan Makanan 1985. Produk ini dihasilkan daripada gabungan minyak atau lemak tumbuhan atau apa-apa bahan pemanis yang lain.

6. Susu krimer sejat

Sama seperti susu krimer manis, jenis susu ini juga adalah produk yang berasaskan minyak atau lemak sayuran. Krimer ini selalu digunakan dalam minuman seperti teh tarik atau minuman 3 dalam 1 seperti kopi, milo, nescafe dan lain-lain. Anda juga akan biasa melihatnya pada pemanis mulut ABC bersama bahan-bahan lain di dalamnya.

JADI,

Sebelum memilih susu tin tertentu, ketahui dahulu tujuan anda ingin menggunakannya. Ada segelintir susu hanya mempunyai penggunaan tertentu jadi jangan tersalah beli pula!

Kadangkala, ada yang hampir sama dari segi proses pembuatan dan sebagainya, tapi apa yang membezakan mereka semua adalah penambahan gula serta kandungan jenis lemak sahaja. Oleh itu, pastikan anda baca kandungannya dan tarikh luput produk dulu sebelum membeli.

SUMBER

https://rootofscience.com/blog/2020/kesihatan/pemakanan/jenis-susu-dalam-tin-dan-perbezaannya/

https://www.makanlena.com/ketahui-6-jenis-susu-tin-di-pasaran-malaysia

error: Content is protected !!