Mesti ramai yang gemar kan ayam masak padprik ni? Nah, di sini kami ada sediakan resepi ayam masak padprik.
Kenapa dinamakan padprik? Ha untuk yang belum tahu resepi masak padprik ini berasal dari negara Thailand. Bahan penting atau yang wajib ada dalam masakan ini adalah sos ikan, sos tiram dan juga daun limau purut.
Kesemua bahan-bahan diatas adalah tunjang utama yang perlu ada dalam ayam masak padprik kita kali ini ya, baru lah rasanya terangkat. Tips ini dikongsi sendiri oleh tukang masak Thailand tau. Jadi kita belajar ikut teknik masak yang betul ya.
Percayalah ini antara menu masakan yang menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia kalau singgah ke restoran mana-mana. Rasanya yang pedas, masam dan aroma lazat dari limau purut ini betul-betul buat pelanggan kecur liur.
Ayam masak padprik ini boleh dibuat pelbagai versi. Ada yang suka kuah pekat ada yang suka kuah cair. Ini terpulang kepada cita rasa anda nak macam mana. Nak buat kedua-dua versi pun boleh. Boleh cuba di lain hari pula kan.
Sebenarnya, tak susah pun nak buat ayam masak padrik ni. Bagi anda yang baru pertama kali nak belajar resepi ni boleh cuba ya. Yang nak tambat hati suami dan anak-anak pun boleh. Boleh tiruvasi masakan ni. Eh betul lah nak masak ni mudah kan?
Menariknya, resepi ayam masak padprik ni bukan sahaja ada ayam semata-mata. Ia boleh ditambah dengan sayur pilihan anda. Tapi kebiasaannya sayur seperti jagung muda, bunga kubis, lobak dan kacang panjang yang kerap digunakan dalam masakan padprik ni.
Di bawah ni, kami ingin kongsikan resepi ayam masak padprik yang mudah dan sedap untuk anda. Resepi ini kami ambil dari Che Nom ya. Ramai dah yang mencuba resepi ini dan berjaya. Anda perlu cuba juga ya.
Resepi Ayam Masak Padprik
Ini adalah masa yang diperuntukkan oleh Che nom untuk masak ayam padprik ni. Masa penyediaan bahan : 15 minit, masak untuk memasak : 15 minit dan jumlah hidangan: 3 orang makan.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ayam sebanyak 300 gram (Boleh campurkan bahagian isi & tulang)
- 3 sudu besar minyak masak
- 1 sudu besar cili kisar
- 2 ulas bawang putih (diketuk)
- 1 inci halia (dihiris nipis)
- 1 sudu besar kicap manis
- 1 sudu besar sos cili
- 1 sudu kecil pes tomyam
- 1 helai daun limau purut (Boleh lebihkan)
- 1 batang serai (dititik)
- 5 biji cili api (diketuk)
- 1/2 labu bawang besar (hiris kasar)
- Sedikit air
- Sedikit sos ikan (Kalau ada, tak ada pun tak apa)
- Sayur (Boleh pelbagaikan – Bunga kubis, kacang panjang dan capsicum hijau)
Cara penyediaan :
- Panaskan terlebih dahulu minyak masak dalam kuali. Kemudian, tumiskan bawang putih, halia dan juga cili kisar serta pes tomyam sehinggalah naik bau aromanya.
- Masukkan ayam 300 gram tadi dan kacau selama 2 ke 3 minit atas api yang besar.
- Setelah itu, masukkan pula kesemua bahan-bahan lain seperti sayur berserta air. Kacau lagi sehingga kuah menjadi pekat.
- Akhir sekali, dah boleh tutup api dan angkat serta siap untuk dihidangkan bersama dengan nasi putih panas-panas.
Tips:
- Bagi yang suka makan pedas kalau nak yang lebih pedas, boleh tambahkan cili ya.
- Garam tak diperlukan sekiranya anda dah letak sos ikan. Sos ikan tu sendiri pun dah masin.
- Ayam sangat digalakkan untuk potong kecil-kecil ya.
Di bawah ini pula resepi yang ayam masak padprik juga. Cuma ada sedikit perbezaan dari segi penyediaannya. Dah alang-alang kami kongsikan ni anda boleh lah cuba resepi ni di lain hari pulak. Jom tengok resepi kedua ni.
Resepi Kedua Ayam Masak Padprik
Bahan-bahan:
- Ayam yang dipotong dadu
- Garam secukupnya – untuk dilumurkan pada ayam
- 3 ulas bawang putih – ditumbuk sehingga lumat
- 2 hiris halia – ditumbuk sehingga lumat
- 1 sudu besar serbuk cili yang dicampur dengan sedikit air
- 5-6 helai daun limau purut
- 2 batang serai – dititik
- Sos tiram secukupnya
- Sos cili secukupnya
- Kicap manis cap kipas udang (boleh juga jenama lain)
- Garam dan sedikit perasa (Tanpa perasa pun boleh)
- 1 biji bawang holland – dihiris (Boleh juga bawang lain)
- 2-3 tangkai kacang panjang – dihiris
- 1/2 batang lobak merah – dihiris
- Cili padi yang ditumbuk kasar
- Sedikit air
Cara memasak :
- Panaskan minyak dulu ya. Kemudian tumis bawang putih, halia, cili padi dan serai sehingga naik bau atau wangi
- setelah itu, masukkan serbuk cili yang dibancuh dengan sedikit air tadi. Tumis naik sehingga sedikit masak
- Masukkan ayam, kacau sehingga rata dan biarkan ia sedikit kecut
- Tambahkan pula, sos tiram, sos cili dan kicap (agak-agak). Kemudian, perasakan dengan sedikit garam dan perasa secukupnya.
- Masukkan hirisan bawang holland, lobak merah dan sedikit air. Biarkan ia mereneh sebentar
- Akhir sekali, masukkan pula hirisan kacang panjang dan daun limau purut. Kacau rata dan biarkan seketika untuk kacang masak
- Angkat dan siap untuk dinikmati
Penutup
Itu sahaja perkongsian resepi kali ini yang bertemakan ayam masak padprik. Mudah sahaja kan cara-cara nak masak ayam masak paprik ni? Ha, tunggu apa lagi. Lepas dah baca ni boleh cuba di rumah ya. Selamat mencuba!
Sumber