Now Reading
Kaedah Memudarkan Jeragat

Kaedah Memudarkan Jeragat

Kaedah Memudarkan Jeragat

Kaedah memudarkan jeragat sangat penting bagi sesiapa yang tidak selesa dengan penampakan jeragat bintik berwarna coklat pada wajah. Ia terdiri daripada sekumpulan sel kulit yang mengandungi sejenis pigmen iaitu melanin. Berbeza daripada tahi lalat yang menonjol, jeragat adalah rata. Jeragat biasanya tidak menyakitkan atau membahayakan.

Apakah Yang Menyebabkan Jeragat?

Kulit mengandungi sel yang dipanggil ‘melanocytes’ yang berfungsi menghasilkan pigmen melanin. Melanin membantu melindungi kulit daripada sinaran ultra ungu (UV) yang dihasilkan oleh matahari. Pendedahan terhadap cahaya matahari boleh menggalakkan melanocytes mengeluarkan lebih banyak melanin. Jeragat merupakan pembentukan melanin pada lapisan luar kulit anda.

Individu berkulit cerah lebih cenderung mendapat Jeragat. Namun, walaupun mereka menghasilkan jumlah melanin yang kurang berbanding individu berkulit lebih gelap, melanocytes pada kulit mereka akan menghasilkan lebih banyak melanin dengan pendedahan terhadap cahaya matahari.

Sesetengah jeragat berada pada wajah dalam jangka masa yang panjang. Manakala yang lain, cenderung berlaku pada musim panas dek kerana peningkatan pendedahan terhadap matahari. Namun ia akan hilang apabila musim sejuk tiba atau dengan cara mengelakkan pendedahan terus terhadap cahaya matahari. Jeragat yang berpunca dari keturunan cenderung berkurang dengan usia. Manakala , jeragat yang diakibatkan oleh pendedahan cahaya matahari berkemungkinan untuk meningkat seiring usia.

Sebenarnya, tiada seorang individu pun yang dilahirkan dengan kulit berbintik walaupun ia mungkin ada dalam genetik mereka. Pencetus utama jeragat adalah pendedahan yang berpanjangan terhadap matahari.

Jadi, sekiranya anda memiliki jeragat dan ingin menghilangkannya, berikut merupakan 7 kaedah memudarkan jeragat untuk anda pertimbangkan:

Kaedah memudarkan jeragat dengan memakai pelindung matahari (sunscreen)

Pelindung matahari tidak boleh menghilangkan jeragat, tetapi ia menghalang pembentukan jeragat baru. Oleh itu, anda perlu memakai pelindung matahari sepanjang tahun, walaupun dalam cuaca yang mendung.

  • Tahap SPF bagi pelindung matahari yang disyorkan adalah sebanyak 30 atau lebih tinggi dari itu.
  • Sapukan pelindung matahari pada kulit sekurang-kurangnya 15 minit sebelum anda keluar dari rumah.
  • Sapu semula pelindung matahari setiap dua jam, dan dengan segera selepas berenang atau berpeluh secara berlebihan.

Kaedah memudarkan jeragat dengan rawatan laser

Rawatan laser menggunakan cahaya yang tertumpu yang disasarkan pada kawasan kulit yang rosak. Terdapat pelbagai jenis laser yang tersedia. Menurut kajian pada tahun 2015, laser 1064 Q-Switched Nd YAG berkesan untuk merawat bintik-bintik gelap. Hasil kajian telah menunjukkan bahawa rawatan menggunakan laser ini telah berjaya mencerahkan lebih daripada 50% jeragat pada 62% peserta.

Secara umumnya, rawatan laser adalah kaedah yang selamat dan mengurangkan risiko pembentukan parut. Walau bagaimanapun, kesan sampingan lain yang mungkin berlaku, termasuklah:

  • Gatal-gatal
  • Bengkak
  • Kemerahan
  • Kulit berkerak
  • Mengelupas
  • Jangkitan
  • Perubahan warna kulit

Jika anda mempunyai sejarah penyakit Herpes oral, anda mungkin perlu mengambil ubat antiviral sebelum menjalani rawatan laser ini kerana laser boleh merangsang keradangan Herpes di sekeliling mulut anda.

Doktor anda juga boleh mengesyorkan ubat atau krim lain sebelum prosedur dijalankan. Beliau juga boleh menasihatkan anda untuk mengelakkan pengambilan ubat atau penggunaan produk tertentu sebelum prosedur dijalankan. Beritahu doktor anda terlebih dahulu mengenai sebarang ubat atau krim yang anda gunakan.

Pemulihan rawatan laser mungkin akan mengambil masa sehingga dua minggu dan anda perlu melakukan beberapa sesi rawatan untuk mencapai hasil yang diinginkan.

Kaedah memudarkan jeragat dengan Cryosurgery

Cryosurgery menggunakan suhu sejuk yang tinggi dalam bentuk nitrogen untuk membekukan dan memusnahkan sel-sel kulit yang tidak normal pada kulit anda. Cryosurgery secara umumnya adalah selamat dan ia tidak memerlukan penggunaan anesthesia. Pemulihan dari rawatan ini hanya mengambil masa yang sekejap. Namun begitu, sesetengah kesan sampingan yang boleh berlaku adalah seperti hipopigmentasi, pendarahan, dan melepuh. Walau bagaimanapun cyosurgery jarang menyebabkan parut pada kulit anda.

Kaedah memudarkan jeragat dengan krim pemudar topikal

Krim pemudar atau juga dipanggil krim pelunturan, boleh didapati di farmasi dan melalui preskripsi. Apa yang membimbangkan, pada zaman ini, terdapat banyak krim pemudar yang mengandungi bahan seperti hydroquinone dalam jumlah yang tinggi di pasaran. Walaupun bahan ini dianggap sebagai agen yang bagus bagi menahan penghasilan melanin dan mencerahkan kawasan kulit yang gelap, penggunaan krim hidroquinone topikal boleh menyebabkan:

  • Keradangan
  • Kekeringan
  • Pembakaran
  • Melepuh
  • Perubahan Warna Kulit

Pada tahun 1982, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (Food and Drug Association) telah menganggap produk pemutihan yang mengandungi sehingga 2% hydroquinone secara umumnya selamat dan berkesan.

Namun, pada tahun 2006, bukti baru telah ditemui yang menunjukkan bahawa hydroquinone boleh menyebabkan kanser, serta boleh mengakibatkan kegelapan dan kemusnahan sel kulit. Hal ini telah mencalonkan hydroquinone untuk dikaji secara terperinci di bawah Program Toksikologi Kebangsaan (National Toxicology Program).

Kaedah memudarkan jeragat dengan krim retinoid topikal

Krim retinoid adalah sebatian yang mengandungi vitamin A dan ia digunakan untuk memperbaiki kulit yang rosak serta mengurangkan bintik hitam. Menurut Kajian yang dilakukan pada tahun 2014, krim retinoid boleh melindungi kulit dengan menyerap radiasi ultraviolet B, justeru itu, ia boleh membantu mencegah jeragat baru daripada terbentuk.

Krim retinoid boleh didapati di farmasi, dengan preskripsi atau tanpa preskripsi. Kesan sampingan yang biasa berlaku kepada pengguna krim retinoid adalah:

  • Kemerahan
  • Kekeringan
  • Iritasi Kulit
  • Kulit mengelupas
  • Peningkatan sensitiviti kulit

Kaedah memudarkan jeragat dengan pengelupasan kimia

Kaedah pengelupasan kimia menggunakan penyelesaian kimia untuk mengeksfoliasi dan mengelupaskan kawasan kulit yang rosak. Bagi menghilangkan bintik, pengelupasan kimia yang mengandungi asid glikolik atau asid trichloroacetic berfungsi dengan cara menembusi lapisan tengah kulit dan membentuk kulit baru di kawasan yang terjejas.

Kesan sampingan dari pengelupasan kimia mungkin boleh menyebabkan:

  • Sensasi menyengat pada kulit
  • Kulit mengelupas
  • Kulit menjadi kemerahan
  • Kulit merengsa
  • Kulit berkerak
  • Bengkak

Pengelupasan kulit sederhana memerlukan anda untuk meletakkan produk pengelupasan kulit pada wajah dan menggunakan salap topical.  Selain itu, anda juga perlu mengambil antiviral preskripsi selama dua minggu, dan mengelakkan pendedahan terhadap cahaya matahari sehingga kulit anda sembuh.

Kaedah memudarkan jeragat dengan rawatan semulajadi

Terdapat beberapa ubat-ubatan semulajadi yang boleh memudarkan bintik-bintik hitam tetapi tiada yang terbukti secara saintifik boleh menghilangkannya. Walau bagaimanapun, kebanyakan rawatan tradisional tidak akan mendatangkan komplikasi apabila digunakan secara sederhana.

Rawatan semulajadi tersebut termasuklah:

  • Jus lemon: Sapukan jus lemon secara langsung pada kulit anda dengan menggunakan bola kapas dan bilas dengan air. Jus lemon boleh membantu mencerahkan kulit anda dan memudarkan bintik hitam.
  • Madu: Campurkan madu dengan garam atau gula dan jadikannya sebagai skrub. Madu boleh membantu mencerahkan jeragat atau bintik hitam.
  • Buttermilk: Sapukan buttermilk secara langsung ke kulit anda. Biarkannya selama 10 minit sebelum membasuhnya dengan air suam. Anda juga boleh menjadikannya sebagai ‘mask’ dengan cara menggabungkan buttermilk dengan oat. Buttermilk mengandungi asid laktik yang berkesan untuk mencerahkan bintik-bintik hitam pada kulit wajah anda.
  • Krim masam: Sapukan krim masam secara langsung ke kulit anda, kemudian bilas selepas beberapa minit. Seperti buttermilk, krim masam mengandungi asid laktik yang boleh memudarkan jeragat.
  • Yogurt: Sapukan yogurt secara langsung pada kulit anda dan biarkan selama beberapa minit. Yogurt juga mengandungi asid laktik yang sama seperti buttermilk dan krim masam.
  • Bawang: Sapukan bawang ke atas kulit anda, kemudian bilas kulit anda dengan air suam. Bawang bertindak sebagai ejen pengelupasan dan boleh membantu memudarkan jeragat.

Sekiranya anda mengalami sebarang kerengsaan sewaktu mencuba sebarang rawatan tradisional di atas, hentikan rawatan tersebut serta-merta.

Bilakah anda perlu berjumpa dengan doktor?

Jeragat bukanlah sejenis kanser, tetapi ia mungkin dikelirukan dengan kanser kulit. Pendedahan terhadap cahaya matahari yang berlebihan adalah faktor risiko bagi jeragat dan juga melanoma. Melanoma dan jeragat lebih cenderung terbentuk pada individu yang mempunyai kulit yang cerah berbanding mereka yang mempunyai kulit gelap.

Sekiranya anda melihat sebarang kelainan pada jeragat atau perubahan dari segi saiz, warna dan bentuk jeragat, berjumpalah dengan doktor atau pakar kulit anda kerana mereka boleh menentukan jeragat yang anda miliki adalah kes kecemasan yang serius atau tidak.

Jangan bimbang kerana jeragat merupakan keadaan biasa dan ia tidak berbahaya. Namun, ramai individu yang ingin mencuba memudarkan jeragat atas alasan kecantikan dan kosmetik dengan melakukan rawatan dermatologi. Rawatan jenis invasif seperti terapi laser dan pengelupasan kimia berkesan untuk merawat masalah jeragat tetapi kedua-duanya memerlukan tempoh penyembuhan yang lama dan boleh mengakibatkan kesan sampingan yang serius.

Kesimpulannya,

Jika anda ingin memudarkan jeragat anda, berbincanglah dengan doktor atau ahli dermatologi terlebih dahulu bagi menentukan kaedah penyingkiran yang terbaik buat anda. Tidak mengira kaedah mana yang anda pilih, adalah penting untuk mengamalkan penjagaan terhadap cahaya matahari yang selamat setiap masa untuk mencegah kemunculan bintik-bintik baru.

Sumber:

https://www.healthline.com/health/beauty-skin-care/how-to-get-rid-of-freckles

https://www.medicinenet.com/freckles/article.htm

https://www.stylecraze.com/articles/13-simple-ways-to-get-rid-of-freckles/

https://food.ndtv.com/beauty/5-natural-ways-to-get-rid-of-freckles-on-face-1816282

error: Content is protected !!