Now Reading
Kaki Bengkak (Swollen Leg)

Kaki Bengkak (Swollen Leg)

kaki bengkak

Pengenalan

Kaki bengkak (Edema) yang boleh terjadi kerana beberapa punca tertentu. Sesetengah punca kaki bengkak diakibatkan oleh kecederaan ringan dan jelas yang mudah dirawat. Namun begitu, jika ia berlaku kerana keadaan kesihatan lain yang serius, ia mungkin memerlukan perhatian perubatan segera.

Penyebab yang berkemungkinan

Penyebab biasa bagi kesakitan ini adalah pembengkakan pada kaki dan pergelangan kaki.

Secara lazimnya, bengkak pada kaki dan pergelangan kaki terjadi kerana pengumpulan cecair di kawasan-kawasan ini yang disebut sebagai edema.

Edema biasanya disebabkan:

  • Berdiri atau duduk dalam satu posisi yang sama buat masa terlalu lama.
  • Makan terlalu banyak makanan masin.
  • Berat badan berlebihan.
  • Mengandung.
  • Mengambil ubat tertentu seperti ubat tekanan darah, pil kontraseptif, antidepresan atau steroid

Selain itu, Edema juga boleh disebabkan:

  • Kecederaan seperti ketegangan atau lekukan
  • Sengatan atau gigitan serangga
  • Darah beku
  • Jangkitan

Bila perlu menghubungi doktor

Walaupun bengkak di bahagian bawah kaki biasanya tidak perlu dibimbangkan, kadangkala ia boleh menjadi tanda bagi keadaan yang lebih serius. Berikut adalah beberapa garis panduan umum yang boleh membantu anda mengenal pasti jika bengkak yang dialami memerlukan perjumpaan dengan doktor atau lawatan terus ke bilik kecemasan.

Anda perlu menjadualkan temu janji dengan doktor anda secepat mungkin jika:

  • Anda mempunyai penyakit hati dan mengalami bengkak pada kaki anda.
  • Kawasan bengkak berwarna merah dan berasa hangat apabila disentuh
  • Suhu badan lebih tinggi daripada biasa.
  • Anda hamil dan mengalami pembengkakan secara tiba-tiba atau teruk.
  • Anda telah mencuba ubatan di rumah, tetapi ia tidak berhasil.
  • Bengkak anda semakin teruk.

Anda perlu pergi ke hospital dengan segera jika anda mengalami bengkak pada kaki dan pergelangan kaki ditambahkan dengan simptom seperti:

  • Rasa sakit, tekanan atau sesak di kawasan dada.
  • Pening.
  • Kekeliruan.
  • Berasa ringan atau lemah.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Doktor anda akan melakukan pemeriksaan fizikal dan bertanyakan tentang simptom anda. Bersedialah untuk menerangkan:

  • Di mana kemunculan bengkak tersebut.
  • Waktu bengkak anda cenderung menjadi lebih teruk.
  • Sebarang simptom lain yang anda mungkin alami.
  • Sebarang faktor yang membuatkan bengkak kelihatan lebih baik atau lebih teruk.

Untuk membantu diagnosis punca bengkak, doktor akan menjalankan satu atau lebih ujian berikut:

  • Ujian darah, termasuklah kiraan darah, kajian fungsi buah pinggang dan hati serta elektrolit untuk menilai pelbagai organ.
  • X-ray untuk melihat tulang dan tisu lain.
  • Ultrabunyi untuk memeriksa organ, saluran darah dan tisu.
  • Elektrokardiogram untuk menilai fungsi jantung

Sekiranya keadaan bengkak anda berkaitan dengan tabiat, gaya hidup atau kecederaan ringan, doktor mungkin mencadangkan rawatan di rumah. Namun, jika ia berpunca daripada keadaan kesihatan yang serius, doktor akan cuba merawat keadaan tersebut.

Bengkak boleh dikurangkan dengan pengambilan ubat-ubatan preskripsi seperti diuretik. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini boleh menyebabkan kesan sampingan dan biasanya digunakan hanya jika ubat-ubatan di rumah tidak berkesan.

Rawatan

Terdapat beberapa rawatan yang anda boleh cuba di rumah jika bengkak di kaki dan pergelangan kaki anda menjadi semakin teruk. Rawatan ini boleh membantu melegakan pembengkakan tersebut:

  • Menaikkan kaki anda apabila anda berbaring. Kaki mesti dinaikkan supaya ia berada pada paras yang sedikit tinggi. Anda boleh meletakkan bantal di bawah kaki untuk menjadikannya lebih selesa.
  • Kekal aktif dan fokus pada senaman regangan dan pergerakan kaki.
  • Mengurangkan pengambilan garam bagi mengurangkan jumlah bendalir serta bengkak di kaki anda.
  • Elakkan memakai pakaian jenis getah dan ketat di sekitar paha anda.
  • Pakai stoking sokongan atau stoking mampatan.
  • Berdiri atau bergerak sekurang-kurangnya sekali setiap jam, terutamanya jika anda duduk atau berdiri untuk jangka masa yang panjang.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/323265.php

https://www.nhs.uk/conditions/oedema/

https://www.healthline.com/health/foot-leg-and-ankle-swelling#treatment

error: Content is protected !!